Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 21, 2014

Tok Ku Tuan Besar 2

Sebagai negeri terawal yang menerima kedatangan Islam di alam Melayu, Terengganu telah menempa sejarah sebagai sebuah pusat pendidikan dan penyebaran Islam pada pertengahan abad ke-19M dan awal abad ke-20M.  Negeri Terengganu ketika itu dipenuhi para alim ulama dan masyarakat Islam begitu khusyuk melaksanakan solat dan zikir. Malah, penduduk Terengganu pada masa itu lebih tinggi nisbah keagamaannya jika dibandingkan dengan penduduk negeri-negeri yang lain di Tanah Melayu.[i]

Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang melawat Terengganu antara Mac hingga April 1838 pernah mencatatkan bukti yang menunjukkan betapa pesatnya perkembangan ilmu pengetahuan di Terengganu pada ketika itul. Menurutnya, orang-orang Terengganu pada masa itu dari segi kesedaran ilmu pengetahuan lebih tinggi daripada orang-orang di Pahang dan Kelantan yang sama dilawatinya. Pelajar-pelajar Terengganu juga pada masa itu lebih banyak menggunakan kitab-kitab Arab daripada kitab-kitab jawi, tulisan jawi mereka elok kerana tradisi penggunaan tulisan ini dan perkembangannya berlaku sejak zaman Batu Bersurat lagi dan bacaan al Quran mereka termasyhur keluar dari Terengganu.

Gandingan antara para intelektual tempatan dan para penghijrah dari luar menjadikan Terengganu pada akhur abad ke-19M sebagai sebuah negeri yang paling giat dengan perkembangan pengajian ilmu dan keagamaan. Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan pelawat Inggeris bernama G. W Earl yang menyebut bahawa Terengganu pada masa itu ramai dengan wali dan ulama-ulama.[ii]

Salah seorang tokoh ulama yang mencipta sejarah dalam negeri Terengganu ialah Syed Muhammad bin Zainal Abidin al-Idrus yang juga dikenali dengan gelaran Tok Ku Tuan Besar. Tok Ku Tuan Besar mempunyai peranan yang cukup besar dalam mencorakkan Islam di negeri Terengganu, khususnya pada zaman pemerintahan Sultan Omar (1839-1876M) sehingga beliau pernah diberi penghormatan dan pengiktirafan dengan gelaran Syeikhul Ulama dan Tuan Besar Paduka Indera[iii]. Tok Ku Tuan Besar juga pernah diiktiraf sebagai Bapa Kesusasteraan Terengganu di atas jasanya dan peranannya dalam perkembangan sastera berunsurkan Islam.

Asal usul Tok Ku Tuan Besar mempunyai hubungan rapat dengan kedatangan dan kehadiran orang Arab keturunan Syed ke negeri Terengganu. Bapanya, Syed Zainal Abidin adalah seorang peniaga beras yang sering berulang alik antara Pulau Jawa dan Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu ketika itu), dipercayai telah bertemu dengan keluarga al-Idrus yang menetap di negeri Terengganu, dan akhirnya beliau telah dikahwinkan dengan anak salah seorang daripada mereka. Perempuan yang menjadi isteri beliau sebenarnya adalah anak kepada Syed Muhammad Mustaffa bin Ahmad atau Tok Makam Lama iaitu keturunan al-Idrus yang pertama datang ke negeri Terengganu.[iv]

Syed Muhammad bin Zainal Abidin dilahirkan pada malam datuknya, Tok Makam Lama meninggal dunia, iaitu pada malam khamis, 28 Rejab 1207H bersamaan 18 Februari 1795M di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Semasa zaman kanak-kanak, beliau telah menuntut ilmu di Makkah dan selepas itu berulang alik ke Bukit Bayas untuk mempelajari ilmu agama dari Syeikh Abdul Kadir yang juga dikenalli dengan  nama Tok Syeikh Bukit Bayas.

Syed Muhammad merupakan seorang pelajar yang tekun, cergas dan mempunyai ingatan yang sangat kuat. Oleh sebab itu, beliau amat disayangi oleh gurunya iaitu Syeikh Abdul Kadir sehingga menasihatinya menyambung pengajian ke Makkah bagi membolehkannya menjadi seorang ulama. Pengajiannya di tanah suci menurut pola pendidikan yang biasa dilalui oleh ulama-ulama yang lain. Sepanjang pengajiannya, Syed Muhammad dapat menguasai Bahasa Arab dan ilmu-ilmu berkaitan yang terkandung dalam bahan-bahan rujukan untuk karangannya dengan baik sebagaimana terbukti dalam karya penulisannya.

Semasa di Makkah, Syed Muhammad telah berkahwin dengan seorang gadis Terengganu setelah bertemu dengannya pada musim haji. Akhirnya, beliau bersama isterinya kembali ke negeri Terengganu dan memulakan pengajarannya di sebuah surai kecil bertempat di kampong asalnya di Chabang Tiga. Apabila pengajarannya mendapat sambutan dan meningkat, sebuah masjid telah didirikan bagi menggantikan surau tersebut, dan pada masa yang sama, pondok turut dibangunkan bagi menjayakan institusi pengajian yang sedang berkembang itu.

Kemunculan Syed Muhammad bin Zainal Abidin (Tok Ku Tuan Besar) banyak member sumbangan ke arah pengukuhan akidah ahlu sunnah wal jamaah. Beliau juga telah menghasilkan penulisan yang bersangkutan dengan bidang usuluddin iaitu Diya’ ‘Uqud al-Durratayn fi Tarjamah Kalimatay al-Syahadatayn yang lebih dikenali sebagai Syahadah Tok Ku. Syahadah ini dibaca dengan berirama sajak, kemudian diikuti oleh orang ramai. Bacaan ini dibuat setiap kali pengajaran dimulakan dan biasanya bacaan tersebut dilakukan berulang kali. Ini diikuti dengan ulasan secara mendalam tentang kandungan risalah kecil tersebut. Selain itu, Tok Ku Tuan Besar juga mengarang sebuah risalah kecil yang berjudul Targhib al-Sibyan fi Hifz ‘Aqa’id al-Iman yang merupakan perbahasan rukun iman secara khusus dalam kehidupan mereka. Terdapat juga dua lagi karangan dalam bentuk puisi nazam iaitu al-Jawahir al-Saniyyah dan al-Durrah al-Fakhirah.

Kitab al-Jawahir al-Saniyyah membicarakan persoalan akidah yang berhubung dengan soal makrifat melalui perbahasan sifat-sifat yang wajib, mustahil dan harus,sejarah hijrah Nabi, keluarga dan keturunannya serta para sahabat, soal keimanan dengan rukun-rukun iman yang enam terutamanya soal kiamat iaitu syurga dan neraka. Tiap-tiap persoalan dipecahkan kepada 40 bahagian yang berlainan. Pendekatan yang dibuat adalah menurut akidah Ahlu Sunnah wal Jamaah.[v]

Kitab al-Durrah al-Fakhirah pula menumpukan pembicaraan pada kewajipan mukallaf, taklid dan perbahasan satu persatu sifat Allah dan Nabi dari segi wajib, mustahil dan harus, serta pecahan sifat-sifat Allah kepada nafsiah, salbiah, ma’ani dan ma’nawiyyah. Persoalan dalam kitab telah dipecahkan kepada 27 bahagian dan nazamnya pula lebih panjang dan mendalam berbanding  dengan kitab Kitab al-Jawahir al-Saniyyah. Kewujudan 2 karya berbentuk puisi nazam inilah yang meletakkan Tok Ku Tuan Besar dengan gelaran Bapa Kesusasteraan Terengganu.

Seterusnya, suasana social dan keadaan politik negeri Terengganu di zaman Sultan Omar telah member ruang kepada Tok Ku Tuan Besar memainkan peranan utama dalam masyarakat dan negeri. Ini kerana Tok Ku Tuan Besar merupakan seorang yang mudah diterima orang ramai dengan sifat keramahannya, kesabarannya di samping seorang guru agama yang cintakan ilmu sehingga sanggup berulang alik ke Bukit Bayasdan Duyong untuk menimba ilmu. Dengan sebab itulah, beliau mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan dan pemerintahan sultan Omar. Pada zaman Sultan Omar, Tok Ku Tuan Besar telah dilantik sebagai Syeikhul Ulama.

Peranan ulama di bawah pimpinan Syeikhul Ulama Paduka Indera Tok Ku Tuan Besar yang meliputi bidang politil dan pentadbiran serta hubungan yang baik dengan umara’ telah menjadikan Terengganu sebuah negeri yang maju. Dalam pada itu, beliau juga telah berjaya meletakkan syariah Islam sebagai Perlembagaan Negeri.

Sebagai satu pengiktirafan dan kepercayaan terhadap peranan dan jasa Tok Ku Tuan Besar dalam perkembangan Islam di negeri Terengganu, Sultan Omar telah menganugerahkan daerah Chabang Tiga dan sekitarnya kepada Tok Ku Tuan Besar. Tidak kurang pentingnya juga ialah kejayaan Tok Ku Tuan Besar membentuk anak-anaknya menjadi warga penerus kepada perjuangannya, yang mencapai martabat kealiman dan ketaqwaan yang sukar ditandingi dalam masyarakat zaman mereka.

Jelas sekali kemampuan Tok Ku Tuan Besar mencorakkan kehidupan beragama di negeri Terengganu iaitu satu penglibatan secara terus menerus yang disambung oleh anak-anaknya dan cucu-cucunya terutama sekali Tok Ku Paloh. Tok Ku Tuan Besar atau Syed Muhammad bin Zainal Abidin wafat pada malam isnin 17 Muharram 1295H bersamaan 22 Januari 1878M ketika berusia 84 tahun. Jenazahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chabang Tiga di Kuala Terengganu.

Oleh: Dr. Engku Ahmad Zaki bin Engku Alwi; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)




[i] Hugh Clifford (1961), “Expedition To Terengganu and Kelantan” dalam Journal of Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, vol. 34, part 1, 1961, hlm.99.
[ii] G. W. Earl (1971), The Eastern Seas. Kuala Lumpur. Oxford University Press, hlm.185-186.
[iii] Muhammad Salleh bin Haji Awang (1978), Terengganu dari Bentuk Sejarah hingga tahun 1918M. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Press. Hlm. 189.
[iv] Wan Husin Wan Embong (1991) “Peranan dan Pengaruh Tok Ku Tuan Besar” dalam Muhammad Abu Bakar (ed.).
[v] Shafei Abu Bakar (1989). “Perkembangan Keilmuan dan Kesedaran Keislaman di Terengganu” dalam Dato’ Setia Jasa dan Mohd Yusof Abdullah (ed.), Pesaka V, Kuala Terengganu: Lembaga Muzium Negeri Terengganu, hlm.30.

No comments:

Post a Comment