Kembali Ke Laman Utama

Friday, March 21, 2014

Tok Ku Tuan Besar

(Masjid Tok Ku Tuan Besar di Kg. Chabang Tiga Kuala Terengganu)

GOLONGAN Syed al-Idrus yang berada di Terengganu adalah berasal dari Hadramaut melalui zuriat Syed Muhammad bin Ahmad al-Idrus atau lebih dikenali dengan nama Tok Makam Lama. Keturunannya sangat dihormati oleh masyarakat setempat kerana ilmu agamanya yang tinggi, kepandaian menyelesaikan masalah, memiliki adab dan akhlak terpuji serta rapat dengan pihak istana melalui perkahwinan.

Tok Makam Lama telah menetap dan mengajar agama Islam di negeri Terengganu dan meninggal dunia pada 1209 Hijrah. Kedatangan Tok Makam Lama ke Terengganu ketika masih bujang dan kemudian berkahwin dengan wanita tempatan, Wan Selamah yang merupakan cicit kepada Wan Ismail, seorang berpangkat datuk di Terengganu (Dato' Bukit Datu) ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1 (1725M-1733M).

Salah seorang anak Tok Makam Lama yang bernama Sharifah Aishah (Tuan Hitam) telah berkahwin dengan Syed Zainal Abidin bin Syed Hussein al-Idrus.

Daripada zuriat Syed Zainal Abidin inilah lahirnya seorang tokoh agama yang terkenal di Terengganu iaitu Syed Muhammad yang turut terkenal dengan gelaran Tok Ku Tuan Besar, sekali gus merupakan keturunan Syed al-Idrus yang mula-mula sekali muncul sebagai guru agama yang masyhur di Terengganu.

Ketika berumur sembilan bulan dalam kandungan, bapanya telah berangkat ke Jawa. Syed Zainal Abidin tidak pernah melihat wajah anaknya (Tok Ku Tuan Besar). Khabarnya, Syed Zainal Abidin telah meninggal dunia di Kendal iaitu suatu wilayah yang terletak di Semarang, Jawa, Indonesia. Tok Ku Tuan Besar dilahirkan sehari selepas kematian bapanya iaitu pada 1211H/1794M.

Semenjak itu, ibunya memberi didikan agama kepada Tok Ku Tuan Besar dan dibantu bapa saudaranya, Tok Ku Tuan Pahang, Syed Ahmad (Tok Ku Melaka), Tok Ku Tuan Darat serta turut diambil sebagai anak angkat oleh seorang pembesar daerah di Cabang Tiga bernama Raja Tepok.

Pada usianya tujuh tahun, Raja Tepok telah menghantar Tok Ku Tuan Besar ke Mekah dan pulang ke tanah air ketika berusia antara 18-20 tahun. Raja Tepok mentadbir dari Cabang Tiga hingga ke Ulu Telemong dan Tanjung Aur. Ketika Raja Tepok meninggal dunia, beliau telah mewakafkan semua tanah miliknya di Kampung Cabang Tiga kepada Tok Ku Tuan Besar dan istana Raja Tepok dihadiahkan untuk dijadikan surau (sekarang dikenali, Masjid Tok Ku Tuan Besar).

Beliau bersama sahabatnya, Wan Abdullah (Tok Sheikh Duyung) telah belajar dengan seorang guru agama terkenal bernama, Wan Abdul Kadir (Tok Sheikh Abdul Kadir) di Bukit Bayas. Beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan sanggup berulang alik dari Cabang Tiga ke Bukit Bayas dengan berjalan kaki melalui bendang padi dan hutan belukar. Beliau selalu menggunakan daun keladi betawi untuk melindungi dirinya ketika hujan dan panas.

Di samping mempunyai ingatan yang baik, beliau juga mampu membaca al-Quran dengan beberapa qiraat dengan lagu yang merdu. Ketika berumur 20 tahun, Tok Ku Tuan Besar telah melanjutkan pelajaran agama di Mekah dan berguru dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Sheikh Abdul Hamid Syurwani dan Imam al-Sheikh Nawawi.

Sekembalinya dari Mekah pada 1263H/1846M, beliau telah mengajar di suraunya yang terletak di Cabang Tiga (sekarang dikenali sebagai Masjid Tok Ku Tuan Besar). Murid-muridnya bukan sahaja dari Terengganu tetapi juga dari luar negeri.

Masjid ini masih wujud hingga ke hari ini. Di masjid inilah beliau menerapkan semangat kasihkan agama, mengajar syariat dan hukum agama sehingga mampu diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat di situ.

Inilah yang menyebabkan beliau menjadi terkenal dan ulama yang termasyhur di seluruh pelosok negeri serta mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan hal ehwal Islam Terengganu. Beliau disemadikan di belakang masjid ini serta beberapa tokoh lain.

Tok Ku Tuan Besar amat disegani, sama ada kawan dan lawan kerana jasanya kepada agama, keidealan perwatakan serta percakapannya. Beliau dianggap oleh masyarakat setempat sebagai pemimpin yang ikhlas dan bijak dalam menangani masalah yang diajukan kepadanya, bahkan sultan juga memohon buah fikirannya jika mempunyai masalah dalam hal ehwal pentadbiran negeri.

Beliau juga mendapat gelaran Tok Ku Hadis kerana berjaya membentuk kepercayaan dalam kalangan masyarakat melalui pengajaran dan tingkah laku mulia.

Beliau juga hidup sezaman dengan beberapa orang Sultan Terengganu tetapi sangat rapat dengan Sultan Omar. Selain menjadi ulama pada zaman pemerintahan Sultan Umar (1839M-1875M), Tok Ku Tuan Besar turut menjadi ulama pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881M-1918M).

Sebagai seorang ulama yang sangat dihormati dan salah seorang pembesar negeri, beliau telah dianugerahkan gelaran "Tuan Besar Paduka Indera" (Paduka Raja Indera) daripada Sultan Umar.
Di samping menjadi Sheikhul Ulama, beliau juga dianggap sebagai ketua kepada ulama-ulama dan masyarakat Arab di Terengganu. Pada masa hayatnya, hukum Islam telah diamalkan secara meluas dalam sistem pentadbiran negeri Terengganu dan disebabkan keadilan pemerintahan Baginda Omar berlandaskan Undang-Undang Islam maka negeri ini terkenal dengan keamanannya.

Sultan Omar telah menubuhkan beberapa jabatan penting antaranya Dewan Ulama yang diketuai oleh Tok Ku Tuan Besar. Ia merupakan badan tertinggi dalam kerajaan dan berfungsi sebagai tempat rujukan dalam semua bidang serta menyelesaikan masalah negeri.

Mufti
Tok Ku Tuan Besar pernah menjadi Mufti Terengganu ke-2 dari 1860 hingga 1878. Malah beliau telah diberi kuasa autonomi untuk menguruskan daerah Cabang Tiga oleh Sultan Omar.

Beliau telah menjadikan masjid sebagai pejabatnya, membina sebuah rumah pasung bagi menahan pesalah dan sebatang tiang untuk mengikat orang-orang yang dikenakan ta'zir kerana tidak berpuasa dan solat Jumaat.

Penyerahan daerah Cabang Tiga dan kawasan sekitarnya merupakan satu pengiktirafan serta kepercayaan kepada seorang ulama untuk mentadbir sebahagian daripada negeri Terengganu.

Tok Ku Tuan Besar meninggal dunia pada 17 Muharam 1295H bersamaan 21 Januari 1878 ketika berusia 84 tahun akibat daripada demam yang berlarutan hingga mukanya pucat, matanya cengkung dan lemah badan.


No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...