Kembali Ke Laman Utama

Friday, August 5, 2011

Retak Menanti Belah Bahagian Kedua.

“Khabarnya kamu tidak berpuas hati berada di bawah pemerintahan Islam. Apakah kerana kamu ditindas?” tanya Panglima Ardogan kepada Hector, ketua orang-orang Yunani.

“Mereka tidak menindas kami. Malah kami diberi kebebasan mengamalkan cara hidup kami,” jawab ketua orang-orang Yunani itu.

“Sekiranya begitu, mengapa kamu masih tidak berpuas hati?” tanya Panglima Ardogan lagi.

“Kami bangsa Yunani tidak suka dijajah oleh sesiapa. Kerana itu kami tetap tidak berpuas hati selagi kami tidak memerintah sendiri,” jawab Hector.

“Kami bantu kamu membebaskan diri daripada Kerajaan Uthmaniyyah,” pujuk Panglima Ardogan.

“Kemudian kami berada di bawah Kerajaan Byzantium,” tanya ketua orang-orang Yunani itu. “”Ibarat keluar daripada mulut buaya masuk ke mulut naga.”

“Apakah kamu tidak suka dengan Maharaja Constantine?”

“Baginda seorang yang zalim. Kami lebih selamat berada di bawah pemerintahan Islam.”

Namun Panglima Ardogan tidak berputus asa. Dia terus berusaha memujuknya.

“Maharaja kami berlaku adil kepada kamu. Baginda tidak berlaku zalim,” katanya.

“Kami tidak percaya,” sanggah Hector. “Sekiranya baginda boleh berlaku zalim kepada rakyat baginda, apatah lagi kepada kami.”

“Maharaja kami mahu membantu kamu membebaskan diri daripada kekuasaan Kerajaan Uthmaniyyah. Kami bekalkan kamu senjata. Kemudian kami melatih kamu berperang bagi menumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah,” kata Ardogan kepada orang Yunani itu.

“Apakah semua itu diberi percuma ataupun ada balasannya?” tanya Hector pula.

“Kami hanya mahu Kerajaan Islam Uthmaniyyah ditumbangkan kerana mereka menjadi semakin kuat dan menjadi ancaman kepada kami. Selepas mereka ditumbangkan, kamu yang memerintah Turki tetapi terus bersahabat dengan Maharaja Constantine,” jawab Panglima Ardogan.

Akhirnya Hector bersetuju menerima bantuan yang ditawarkan itu.

“Kami bukan sahaja perlukan senjata dan latihan tetapi juga perlukan jumlah tentera yang ramai bagi menumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah. Sanggupkah kamu menghantar tentera berjuang bersama-sama kami?” tanya Hector lagi.

“Kami sanggup menghantar 50,000 tentera bagi membantu kamu memerangi mereka,” janji Panglima Ardogan.

“Jumlah itu tidak mencukupi. Saya perlukan 200,000 tentera,” balas Hector pula.

Panglima Ardogan termenung mendengar permintaan itu. Melihat keadaan itu, Hector pun bertanya, “Kamu masih ingatkah kisah Timurlime yang berjaya menumbangkan Kerajaan Turki semasa pemerintahan Sultan Beyazid?”

“Apa kaitannya dengan kisah itu?” Tanya Panglima Ardogan tidak tertarik dengan kisah itu.

“Tentera Timurlime berjaya mengalahkan tentera Beyazid kerana jumlah mereka 200,000 orang. Aku juga perlukan tentera sebanyak itu bagi menumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah,” kata Hector.

“Maharaja kami cuma mampu menghantar 50,000 tentera sahaja kerana tentera kami perlu mengawal Kota Constantinople dan menjaga perbatasan,” kata Panglima Ardogan.

“Jumlah itu sekadar cukup untuk huru-hara sahaja supaya kerajaan Uthmaniyyah menjadi lemah. Kemudian kami serang mereka dengan jumlah yang besar,” kata Panglima Ardogan pula.

“Selepas itu apa yang terjadi kepada kami orang-orang Yunani?” tanya Hector.

“Kami tidak lupakan pertolongan kamu melemahkan Kerajaan Uthmaniyyah. Kamu tetap dibenarkan memerintah sendiri,” jawab Panglima Ardogan.

Hector bersetuju dengan rancangan itu. Tidak lama kemudian orang-orang Yunani di Orland mendapat bekalan senjata dan latihan tentera daripada Kerajaan Constantinople.

“Selepas Kerajaan Uthmaniyyah tumbang, apakah kita diperintah pula oleh Maharaja Constantine?” tanya Aristol, pembantu Hector.

“Bangsa Yunani memerintah sendiri. Kita tidak tunduk kepada sesiapa,” jawab Hector.

“Bagaimanakah caranya?” tanya Aristol lagi.

“Kita biarkan sahaja tentera Islam berperang dengan tentera Byzantium. Mereka yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Kedua-duanya menjadi lemah. Ketika itu kita hancurkan mereka lalu memerintah sendiri,” jawab Hector sambil tersenyum. Dia yakin rancangannya berjaya.

Persepakatan antara wakil Kerajaan Constantinople dan pemimpin orang-orang Yunani dimeterai dalam keadaan Hector telah membuat perencanaan tersendiri bagi mengambil alih pemerintahan sendiri dan menjadi kuasa baru ditengah-tengah pertembungan dua kuasa dunia itu. Sikap opportunitis yang timbul dihati Hector kerana tidak mahu berharap kepada situasi yang padanya tidak menampakkan sebarang keuntungan seandainya pertaruhan yang tidak pasti dalam perjanjian tersebut. Mampukah mereka menempatkan diri di antara dua kuasa besar ini? Saksikan pertembungan ini dalam episode yang baru iaitu, “YANG ZALIM DAN YANG ADIL BAHAGIAN PERTAMA”. Teruskan setia bersama blog ini. Sekian.

Sumber: Buku Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Constantinople, Hasil Karya Abdul Latip Talib.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...