Kembali Ke Laman Utama

Wednesday, July 27, 2011

Saad bin Abi Waqas (Sahabat Nabi Yang Berprinsip)

Nama lengkap Saad bin Abi Waqas adalah Saad bin Malik bin Uhaib bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Dilahirkan 23 tahun sebelum peristiwa hijar dan merupakan bapa saudara nabi dari sebelah ibu. Saad termasuk dalam perang Badar dan seluruh peperangan yang lain bersama Nabi Muhammad SAW dan merupakan orang pertama memanah pada jalan Allah. Berhubung dengan ini, nabi berkata, “Panah wahai Saad, ayah dan ibuku sebagai tebusan.” (Hadis yang dilaporkan oleh Tirmizi)

Saad juga merupakan pakar strategi dalam peperangan. Beliau dipilih oleh Saidina Umar Al-Khattab bagi memimpin tentera Islam menghadapi tentera Parsi di Qadisiyah pada tahun ke-15 H (637M). Peperangan bersejarah ini dimenangi oleh pasukan tentera Islam kerana menjadi penentu kepada kejatuhan Empayar Parsi kuasa besar dunia ketika itu. Selepasnya, beliau turut memimpin pasukan tentera Islam bagi menawan ibu kota empayar Parsi iaitu Ctesiphon sehingga membawa kepada keruntuhan empayar Parsi.

Dakwah dan perjuangan adalah merupakan darah daging bagi Saad bin Waqas. Beliau merupakan sahabat nabi yang menyebarkan Islam di China bermula di Kota Guangzhou. Menurut catatan rasmi dari Dinasti Tang yang pernah memerintah antara tahun 618-905M dan berdasarkan catatan yang sama dalam buku A Brief Study of the Introduction of Islam to China karya Chen Yuen, Islam mula bertapak ke China pada sekitar tahun 30H bersamaan dengan 651M. Islam memasuki China melalui utusan yang dikirim oleh Uthman bin Affan. Menurut catatan Lui Tschih, seorang penulis Muslim China pada abad ke-18M, di dalam karyanya Chee Chea Sheehuzoo (Perihal Kehidupan Nabi), Islam memasuki China melalui rombongan yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqas.

Beliau telah meninggal dunia di ‘Aqiq yang terletak sekitar 5 batu dari Kota Madinah pada tahun 55H. ketika itu, usianya mencecah 80 tahun.

Di antara sifatnya yang menonjol adalah sifat KETEGASANNYA berpegang pada prinsip ajaran Islam. Insiden yang dikaitkan dengan perkara ini adalah sikapnya pada ibunya yang memaksanya keluar daripada Islam. Saad merupakan anak kepada Hammah binti Abu Sufyan. Beliau amat patuh dan taat kepada ibunya. Apabila ibunya mengetahui Saad memeluk Islam, beliau marah dan bersumpah dengan tidak akan berbicara dengan Saad dan juga tidak akan menjamah sebarang makanan serta minuman. Ibunya berkata, “Wahai anakku, sekiranya kamu tidak meninggalkan agama baru yang kamu anuti itu, maka aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati. Apabila aku mati, penduduk Mekah akan mencela kamu sebagai pembunuh ibumu sendiri.”

Tindakan tersebut yang disangka oleh ibu Saad bahawa anaknya itu akan kembali kepada agama lamanya. Namun Saad tetap bertegas dan tetap pada pendiriannya dengan ajaran Islam dan pada suatu hari, beliau datang menemui ibunya dan berkata, “Wahai ibuku, sekiranya ibu mempunyai 100 nyawa dan nyawa-nyawa itu keluar satu persatu dari tubuh ibu, saya tidak akan berganjak untuk meninggalkan agama ini. Apabila ibu berasa lapar, makanlah dan sekiranya ibu tidak mahu makan, tak usahlah makan.” Melihat ketegasan Saad itu, ibunya mengalah dan menjamah semula makanan dan minuman.

Berhubung dengan insiden ini maka turunlah kenyataan daripada Allah yang berfirman, “Dan jika kedua (Ibu bapa kamu) memaksa supaya mempersekutukan aku dengan sesuatu tanpa pengetahuanmu, maka janganlah kamu menurutinya namun gauli mereka dengan baik semasa di dunia. Ikutilah jalan orang-orang kembali kepadaKu, hanya kepada Akulah tempat kembali dan Aku khabarkan kepadamu apa yang kamu lakukan.” (Surah Luqman: 15)

Jika kita melihat kepada situasi hari ini, ramai pula yang terbabas dan kehilangan maruah kerana mereka seperti lalang yang tidak mempunyai pendirian. Ada juga dari kalangan manusia yang mempunyai pendirian tetapi pendirian mereka tidak berasaskan acuan yang betul. Justeru, sifat serta keperibadian yang ada pada Saad bin Abi Waqas ini yang tegas pada pendiriannya yang jelas di atas prinsip yang amat relevan bagi kita contohi dalam usaha menjadi umat yang super.

Petikan daripada: Buku Minda Muslim Super,“Saad bin Abi Waqas (Pendakwah Berprinsip),m/s 377-379, oleh Dr. Danial Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...