“Walaupun Sultan Muhammad baru berusia 19 tahun, tetapi saya yakin baginda boleh memerintah dengan baik. Tambahan pula baginda sentiasa di damping oleh Syeikh Syamsuddin Al-Wali. Baginda mendapat bimbingan agama daripada seorang ulama yang terbilang. Baginda dididik dengan ilmu peperangan oleh Panglima Tharhan,” kata Hamzah Pasya.
“Setiap malam sebelum tidur, baginda membaca hadis nabi yang mengatakan Kota Constantinople ditawan oleh sultan yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik. Baginda berazam supaya apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw itu berlaku semasa pemerintahannya,” balas Amir Pasya pula.
Zaqhanus yang mendengar perbualan itu segera menyampuk. “Saya banyak mengetahui mengenai Kota Constantinople. Mungkin maklumat yang saya ada berguna kepada sultan bagi menawan kota itu.”
“Seelok-eloknya saudara berikan maklumat itu kepada Sultan Muhammad. Baginda tentu menghargai kerjasama saudara,” kata Hamzah Pasya.
“Sultan masih bersedih dengan pemergian Sultan Murad. Elok saudara tangguhkan dulu pertemuan dengan baginda,” nasihat Amir Pasya pula.
Perbualan mereka terhenti apabila seorang pembantu sultan datang lalu berkata, “Sultan Muhammad menjemput saudara semua masuk ke bilik mesyuarat. Ada perkara yang hendak dimaklumkan oleh baginda,” katanya.
“Adakah saya juga dijemput hadir?” tanya Zaqhanus pula.
“Nama saudara juga tercatat dalam senarai jemputan,” jawab pembantu sultan.
Di dalam bilik mesyuarat, Sultan Muhammad Al-Fateh sedang menunggu kedatangan orang-orang yang dipercayainya termasuk Zaqhanus. Selepas semuanya berkumpul, Sultan Muhammad berkata, “Saya berharap kamu dapat memberikan kerjasama dan taat setia kepada saya seperti yang pernah kamu berikan kepada Sultan Murad. Sekiranya ada bantahan, sila kemukakan sekarang.”
“Kami dan semua rakyat mengaku taat setia kepada tuanku. Tidak ada sesiapa yang mahu membuat bantahan,” kata Panglima Tharhan.
Selepas berpuas hati dengan pengkuan itu, Sultan Muhammad berkata, “Saya mahu menjadi pemimpin yang baik. Saya juga mahu mempunyai pasukan tentera yang baik. Dan saya mahu rakyat di bawah pemerintahan saya menjadi rakyat yang baik.”
Sultan Muhammad Al-Fateh mengekalkan Khalil Pasya sebagai Perdana Menteri dan Tharhan sebagai ketua angkatan tentera.
“Saya mahu berkhidmat dalam angkatan tentera,” kata Zaqhanus pula.
“Selain menjadi ketua paderi, apakah pengalaman saudara?” tanya Sultan Muhammad Al-Fateh.
“Dahulu saya seorang pelaut. Kerana itu saya lebih suka ditugaskan dalam angkatan tentera laut,” jawab Zaqhanus.
“Saudara dilantik menjadi pemimpin angkatan tentera laut,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh.
“Bimbinglah tentera kita supaya menjadi tentera yang baik,” pesannya.
Kemudian Sultan Muhammad mengeluarkan arahan, sesiapa yang melakukan maksiat ataupun melanggar perintah Tuhan, akan dikenakan hukuman. “Undang-undang Islam ditegakkan. Sesiapa yang melanggarnya dihukum mengikut hukum Islam,” katanya.
Semua menyambut baik perintah itu.
Begitulah suasana ketika mana Sultan Muhammad Al-Fateh pada kali pertama memikul tanggungjawab sebagai pemerintah terus bersiap siaga membentuk cabinet perangnya bagi melaksanakan operasi yang diimpikannya. Baginda tidak dibuai kesedihan kehilangan ayahandanya Sultan Murad yang baru meninggal dunia demi menggapai misi yang lebih utama. Betapa azam yang tinggi serta kemahuan yang menggunung bagi merobek Kota Constantinople yang sekian ratusan tahun gah membongkak. Nantikan kisah teladan yang menarik bersama tokoh sahabat Rasulullah saw yang turut mengimpikan untuk menjadi penakluk Constantinople, di episod seterusnya, “ABU AYUB AL-ANSARI BAHAGIAN PERTAMA”.
Sumber: Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib, "Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constantinople", terbitan PTS
No comments:
Post a Comment