Para peneraju Tarbiyah (pendidikan) hendaklah memberikan perhatian serius kepada persoalan tarbiyah terutama yang berpunca daripada para nuqaba (fasilitator) sebagai nadi pentarbiyah. Dalam beberapa perkara, keberkesanan halaqah tidak mencapai capaian maksima kerana permasalahan yang berikut:
1. Para nuqaba (fasilitator) tidak mendapat bimbingan dan pengalaman yang mencukupi dari Murabbi (pendidik) untuk melaksanakan kaedah halaqah. Dengan sebab itu mereka akan berhadapan dengan masalah berikut:
- Tidak memahami atau kurang memahami tujuan dan matlamat halaqah dalam rangka Tarbiyyah.
- Tidak memahami kandungan silibus/skema tarbiyyah (kurikulum pendidikan) sesuai dengan marhalah (level) sasaran dakwah (mad’u).
- Kaedah penyampaian dan pengendalian halaqah yang digunakan mungkin tidak sesuai.
- Nuqaba (fasilitator) tidak memberi tumpuan dan tidak bermu’ayashah (berinteraksi/bersama-sama) dengan ahli halaqah.
2. Tidak mengenal sasaran dakwah (mad’u)
Halaqah mungkin berjalan dalam keadaan nuqaba’ (fasilitator) tidak mengenal mad’u (sasaran dakwah), seperti taraf pendidikan, ilmu pengetahuan, latarbelakang keluarga, pekerjaan, pengalaman dan seumpamanya. Keadaan ini berpunca daripada program taaruf yang terlalu kurang. Ini akan menyebabkan halaqah berjalan dengan nuqaba tidak peka degan hal ehwal ahlinya.
3. Para nuqaba (fasilitator) tidak ada fikrah (pemikiran) dakwah dan harakah (perjuangan)
Sebahagian para nuqaba mungkin tidak berjaya mendidik dan membina anggota halaqahnya kerana ia sendiri tidak memahami fikrah dakwah dan harakah. Medan amal dakwah dan amal islami memerlukan seseorang itu memahami fikrah amal jamaie (kerja berkumpulan), akhlak berjamaah (adab berorganisasi), berdisiplin, taat (setia) dan istiqamah (komitmen).
Kelemahan yang dinyatakan akan memberi impak yang besar terhadap peribadi dan pembawaannya di dalam medan tarbiyyah khususnya sebagai pembimbing halaqah.
4. Tidak membuat persediaan dan kajian terhadap bahan-bahan halaqah
Apabila tiada persediaan dan persiapan, maka maksud dan tujuan akan tidak berhasil serta penyampaian menjadi tidak teratur.
Halaqah akan menjadi gagal atau memberikan manfaat yang sedikit kepada audience yang hadir. Jika dibiarkan atau diambil sikap sambil lewa oleh para nuqaba (fasilitator) maka ia adalah sangat merugikan.
5. Tidak segera menyelesaikan masalah
Janganlah sesekali menangguhkan waktu sehingga masalah menjadi semakin kusut dan bertukar menjadi barah. Pengabaian tugas ini mengakibatkan anggota-anggota gugur dari halaqah atau organisasi atau merenggangkan ukhuwah, tidak berpuas hati dan keliru, kecewa, marah atau mungkin tawar hati dan hilang keyakinan kepada organisasi.
Oleh itu para nuqaba mestilah berusaha memahami segala permasalahan yang timbul dan cuba menyelesaikannya secara bijaksana. Mungkin dalam keadaan tertentu, ia memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat yang lebih berpengalaman, dihormati atau mempunyai keistimewaan tertentu.
6. Tidak memahami siasah dan isu semasa tertentu
Penjelasan atau maklumat yang benar akan menjadi tidak memuaskan apabila berlaku perbincangan. Keadaan ini menjadikan anggota halaqah tidak sensitif dan tidak peka terhadap peristiwa semasa sama ada melibatkan kepentingan umat Islam dan negara secara tidak langsung.
Perkembangan mengenai ekonomi, politik, pendidikan, bancana alam dan sebagainya adalah penting diketahui agar kesimpulan jitu dalam menentukan sikap dan tindakan terhadap sesuatu isu.
7. Fasilitator tidak mematuhi arahan organisasi
Arahan berpunca daripada para pimpinan dalam menentukan halatuju dan gerak kerja organisasi. Jika ianya diabaikan, ia akan mengakibatkan anggota organisasi tidak mendapat maklumat atau arahan-arahan untuk tindakan. Ini akan menyebabkan perancangan dan program organisasi tidak mendapat sokongan padu dan tidak memberikan impak perubahan.
Maka adalah perlu kepada peneraju tarbiyah untuk memperbanyakkan program tarbiyah (pendidikan) dan serius membangunkan pembinaan nuqaba (fasilitator) serta didedahkan dengan keluasan fikrah tarbiyyah, kefahaman teknik dan pendekatan, peranan dan tanggungjawab serta segala persoalan tarbiyah,
Dalam program-program khusus, nuqaba (fasilitator) hendaklah diberikan pemahaman dan kesedaran terhadap tarbiyah dan organisasi. Program ini hendaklah direncanakan merangkumi pelbagai aspek dan dijalankan secara sistematik dan berterusan.
olahan edited daripada buku Usrah dan Harakah(beberapa penduan asas),oleh Ust Ya'qub Muhammad Hussin, terbitan dewan pustaka fajar, m/s 75,fasal 6:Masalah dan Kelemahan Usrah yang Berpunca Dari Naqib
No comments:
Post a Comment