Perang Qadisiyah berlaku di Lembah Mesopotamia pada tahun ke-14 H bersamaan dengan 635M antara pihak Islam dan Parsi. Pihak Parsi dipimpin oleh Panglima Besar Rustam bersama-sama dengan tentera yang berjumlah 200,000 orang. Pihak Islam dipimpin oleh Panglima Saad bin Abi Waqqas bersama-sama dengan tentera Islam yang berjumlah 41,000 orang. Pihak Parsi menggunakan gajah bagi mengkucar-kacirkan barisan Islam dalam peperangan ini.
Perancangan tentera Islam melahirkan taktik gelombang bagi melumpuhkan musuh. Tentera- tentera Islam dibahagikan kepada beberapa lapisan dan setiap lapisan dipecahkan kepada 3 sayap dan setiap sayap diletakkan di penjuru-penjuru yang strategik. Apabila perang bermula, lapisan pertama menyerang terlebih dahulu. Semasa musuh sedang memberikan tumpuan pada serangan lapisan pertama, lapisan kedua menyusul diikuti dengan lapisan ketiga dan begitulah seterusnya.
Perancangan yang rapi ini, bertunjangkan taqwa dan tawakkal, berjaya melemahkan musuh. Akhirnya khemah Panglima Besar Rustam dapat dikepung dan Panglima Hilal bin Alqamah berjaya membunuh Rustam. Kekalahan tentera Parsi di Qadisiyah menjadi pembuka jalan kepada kejatuhan Ibu Kota Parsi, Ctesiphon, tidak berapa lama selepas itu.
Contoh kedua adalah Perang Yarmouk yang berlaku pada tahun ke-13H antara pihak Islam dan Rom. Pada masa itu, tentera Rom berjumlah 240,000 orang dan tentera Islam yang dipimpin oleh Panglima Khalid al-Walid berjumlah 39,000 orang. Tentera Rom menggunakan strategi Phalanx dengan mengorek parit dan membariskan tentera-tenteranya dalam satu barisan yang panjang berdepan dengan tentera- tentera Islam. Biasanya, mereka menyerang secara serentak dan dengan tujuan melemahkan pertahanan dan kekuatan musuh.
Sebaliknya, Panglima Khalid al-Walid mempunyai perancangan yang berbeza. Beliau membahagikan tentera Islam kepada beberapa sayap. Paling hadapan adalah sayap induk yang dipimpin oleh Panglima Abu Ubaidah bin Jarrah. Serangan yang dimulakan oleh sayap induk disusuli oleh sayap kanan yang dipimpin oleh Panglima Amru bin Al-As dan sayap kiri dipimpin oleh Panglima Yazid bin Abu Sufyan. Di belakang mereka adalah sayap sokongan yang dipimpin oleh Panglima Kika bin Amru at-Tamimi.
Berbeza dengan tentera Rom yang menyerang secara serentak dari kiri ke kanan, taktik yang digunakan oleh Panglima Khalid adalah memulakan serangan dari tengah disusuli dengan kejutan dari kiri dan kanan. Panglima Khalid juga mewujudkan sebuah pasukan pengawasan yang diletakkan di tempat yang tinggi. Ia bertujuan mengawasi perjalanan perang dan memberikan informasi serta maklumat kepada sayap-sayap yang sedang berperang. Dengan maklumat itu, pengubahsuaian taktik dapat dilakukan apabila perlu.
Di belakang semua sayap ini, berdirilah sayap wanita yang dipimpin oleh Juwairiyah binti Abu Sufyan. Mereka berperanan mengkucar-kacirkan musuh semasa api peperangan sedang membara. Akhirnya umat Islam berjaya mengalahkan tentera Rom di Yarmouk. Kisah terperinci berhubung perang ini disebutkan oleh Ibnu Athir di dalam al-Kamil fit Tarikh dan Historian’s History of The World terbitan Britannica Encyplopedia, London.
Kisah-kisah ini menunjukkan perancangan yang strategik amat dipentingkan oleh umat Islam sebelum ini. Malah lebih daripada itu, konsep ini dibudayakan oleh mereka secara yang mengagumkan sehingga berjaya menaikkan nama Islam di seluruh dunia.
Strategis Islam Mengagumkan Dunia
Nabi Muhammad saw mendidik umat sehingga berjaya melahirkan ramai perancang dan strategis agung yang mengagumkan dunia. Strategis-strategis ini berjaya membawa Islam menjadi kuasa dunia atau a global champion dalam masa yang singkat.
Philip K. Hitti di dalam The History of The Arabs berkata, “Pada zaman Muhammad dan selepas kewafatan beliau, bumi Arab bertukar seolah-olahnya secara magis menjadi satu tempat yang dipenuhi wira-wira yang mungkin tidak dapat ditemui seumpamanya di tempat-tempat yang lain. Strateegi peperangan yang digunakan oleh Khalid Al-Walid dan Amr bin Al-As di Iraq, Syria dan Mesir begitu hebat dan cemerlang sekali sehingga mampu mengatasi kehebatan dan kecemerlangan Napoleon, Hannibal malah Alexander.”
Sumber: Tip-Tip Cemerlang Daripada Al-Quran, oleh Dr. Danial Zainal Abidin
No comments:
Post a Comment