Kembali Ke Laman Utama

Tuesday, February 22, 2011

Abu Bakar As-Siddiq (Yang Membenarkan Risalah)

Abu Bakar adalah salah seorang sahabat antara 10 orang yang dijanjikan syurga. Nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Abu Quhafah dan beliau termasuk dalam golongan terawal yang memeluk Islam. Beliau adalah khalifah pertama orang Islam daripada tahun 632-634M dan amat terkenal dengan gelaran A-Siddiq yang bermaksud yang membenarkan risalah. Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat nabi yang paling rapat sekali dengan baginda. Semasa nabi berhijrah daripada Mekah ke Madinah pada tahun 622M, beliau menemani baginda. Hubungan yang akrab ini menjadi semakin rapat apabila nabi mengahwini anak perempuan beliau iaitu Siti Aisyah tidak lama selepas penghijrahannya ke Madinah. Beliau juga merupakan seorang yang kaya raya dan sering membebaskan hamba-hamba sahaya yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir, antaranya ialah Bilal bin Rabah. Beliau meninggal dunia pada tahun 634M bersamaan 27 Jamadilakhir tahun 13H.

Antara sifat unggul yang terdapat pada peribadi sahabat Abu Bakar ini adalah pertama bersifat pemurah demi perjuangan. Sifat ini terserlah semasa umat Islam menghadapi tentera Rom semasa berlaku Perang Tabuk pada tahun ke-9H. jauhnya Tabuk dari Madinah adalah lebih kurang 692km (mengikut Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar). Perjalanan yang jauh ini memerlukan persiapan yang mantap di kalangan tentera-tentera Islam. Bagi tujuan ini, Abu Bakar mendermakan seluruh harta bendanya bagi perjuangan Islam dan semasa ditanya nabi berkaitan dengan apa yang ditinggalkannya untuk keluarganya, beliau menjawab, “Allah dan Rasul”. Insiden ini dinyatakan di dalam Tafsir A-Azhar oleh Hamka.

Sifat unggul yang kedua adalah keimanan dan keyakinannya yang mendalam sehingga tidak wujud sedikit pun ruang keraguan di hatinya terhadap Islam yang dibawa nabi. Insiden yang paling menyerlahkan kehebatan iman Abu Bakar adalah selepas berlakunya Isra’ Mi’raj ke atas nabi. Isra’ adalah perjalanan nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan Mi’raj adalah perjalanan naik ke langit hingga ke tahap tertinggi iaitu ke Sidratul Muntaha. Semuanya berlaku dalam masa satu malam. Insiden ini mendatangkan sindiran dan cemuhan daripada pihak kafir Quraisy sehingga menyebabkan sebahagian sahabat nabi berasa gelisah dengannya. Namun apabila sampai kepada Abu Bakar berita berkenaan, Abu Bakar berkata, “Aku tetap mengakui kebenarannya kerana ia merupakan perkhabaran daripada langit yang berlangsung sepanjang pagi dan petang. Kenapa pula aku perlu menolaknya sedangkan baginda memang datang dari Baitul Maqdis”. Kisah ini dilaporkan dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah oleh Ibnu Kathir.

Kerana sikap beliau ini, beliau digelar dengan gelaran As-Siddiq, yang bermaksud “Yang Membenarkan Risalah”. Justeru iman dan keyakinan yang mendalam merupakan asas kejayaan seseorang. Apabila iman ini disusuli dengan pengorbanan harta benda tanpa batas, ia adalah kehebatan tanpa tandingan.

Rujukan: “Minda Muslim Super”, Dr.Danial Zainal Abidin, Hal.369-370

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...