“Orang-orangyang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertakwa.” –Surah al_taubah:44
Pagi itu selepas solat subuh, Sultan Murad mengadu dadanya sakit dan mengalami sesak nafas. “Mungkin kekanda keletihan kerana sepanjang malam tadi kekanda beramal ibadat, tidak tidur sampai ke pagi,” kata Permaisuri Aisyah.
Sultan Murad seolah-olah tidak menghiraukan kata-kata isterinya. Baginda masih mengurut dadanya dengan tapak tangan. Melihat keadaan itu, Permaisuri Aisyah berkata lagi, “Sejak pulang dari Pulau Magnesia, kekanda seolah-olah tidak menghiraukan kesihatan diri. Pada siang hari kekanda berpuasa, pada sebelah malam kekanda beramal ibadat sampai ke pagi.”
“Kekanda sudah tua. Entah hari ini, esok ataupun lusa kekanda dijemput menghadap yang maha esa. Kekanda merasakan bekalan mahu dibawa ke sana masih belum mencukupi. Kerana itu kekanda mahu menghabiskan sisa-sisa umur yang masih ada ini dengan membanyakkan amal ibadat. Urusan negara kekanda serahkan kepada putera kita, Sultan Muhammad,” kata Sultan Murad pula.
“Kekanda perlu menjaga kesihatan diri. Makan dan minum perlu dijaga. Rehat secukupnya,” kata Permaisuri Aisyah sambil melahirkan kebimbangan di hatinya.
“Sekiranya diturutkan rasa hati, kekanda tidak mahu lagi makan,minum dan tidur kerana ia mengganggu kekanda hendak beramal ibadat.”
“Kekanda seorang sultan yang baik. Apakah kekanda merasa berdosa sedangkan kekanda tidak berlaku zalim dan tidak pernah membuat maksiat?”
“Wahai Aisyah, tidakkah adinda tahu Nabi Muhammad saw seorang nabi dan rasul. Tempatnya sudah terjamin di syurga. Namun baginda beramal ibadat sehingga kakinya bengkak kerana lama berdiri bersembahyang sunat. Sedangkan kekanda cuma seorang sultan.”
Permaisuri Aisyah terdiam. Dia tahu apa yang dikatakan oleh suaminya itu benar. Cuma dia kasihan melihat keadaan suaminya yang sedang menanggung kesakitan. Apabila mendapati keadaan Sultan Murad semakin teruk, doktor dipanggil bagi memberikan rawatan. Namun keadaannya semakin tenat. Menyedari ajalnya semakin hampir, Sultan Murad memanggil Sultan Muhammad dan para pembantunya supaya berada di sisinya.
“Anakandaku,” kata Sultan Murad dengan nada suara yang perlahan menahan kesakitan. “Malaikat maut datang mencabut nyawa ayahanda pada bila-bila masa sahaja. Selepas ayahanda mangkat, anakandalah yang menjadi penggantinya.”
Sultan Muhammad tunduk mendengar wasiat ayahnya itu. Baginda berasa sebak. Kemudian Sultan Murad berkata lagi, “Empayar Turki Uthmaniyah yang anakanda warisi ini ditegakkan oleh moyang kita bernama Uthman. Sebelum mangkat, baginda ada meninggalkan wasiat dan wasiat itu mesti dipatuhi oleh sesiapa sahaja yang menjadi pemerintah.”
Kemudian Sultan Murad menyuruh isterinya mengambil sebuah kotak kecil yang tersimpan di bawah katil di dalam bilik tidurnya. Di dalam kotak itu tersimpan sekeping wasiat bertulisan tangan yang ditinggalkan oleh Sultan Uthman, Pengasas Kerajaan Turki Uthmaniyah. Kemudian Sultan Murad menyuruh Sultan Muhammad membaca surat wasiat itu.
“Surat wasiat ini di tulis oleh Uthman bin Sauji bin Ortoghul bin Sulaiman Shah bin Kia Alp. Harapan pertamaku kepada anak-anak, cucu-cucu,keturunanku, dan sahabat-sahabatku ialah kamu junjung tinggi syariat Islam selagi hayat dikandung badan. Bagi mencapai kesempurnaan dan kejayaan di dalam berjihad, kamu hendaklah sentiasa mengibarkan bendera suci nabi Muhammad saw.
Aku berwasiat kepadamu, hendaklah kamu sanggup berkorban jiwa raga kamu demi bebakti kepada Islam kerana Allah yang maha berkuasa sudah mempertanggungjawabkan kepadaku, hambanya yang hina ini bagi menguasai negara-negara lain. Kamu hendaklah meneruskan perjuanganku ini bagi menyebarkan kalimah tauhid ke merata dunia. Yakinlah sesungguhnya sesiapa yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan ini mendapat syafaat nabi Muhammad saw.
Anakku, semua manusia tidak ada yang terlepas daripada kematian. Sekarang dengan kehendak Allah swt, kematian akan menghampiri aku. Dengan ini aku serahkan urusan kamu kepada Allah yang maha mengetahui. Aku berwasiat kepada kamu, hendaklah kamu tegakkan keadilan dalam pemerintahan kamu.”
Selesai surat itu dibacakan oleh Sultan Muhammad, Sultan Murad pula berwasiat, “Ayahanda serahkan kuasa pemerintahan ini kepada anakanda, wahai Muhammad. Jadilah pemimpin yang baik. Bimbing tenteramu menjadi baik dan perintahkan rakyatmu berbuat baik. Teruskan perjuangan menawan Kota Constantinople kerana hadis Nabi Muhammad saw mengatakan kota itu dapat ditawan oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”
Kemudian Sultan Murad berwasiat kepada Syeikh Syamsuddin Al-Wali, “Anakanda saya Sultan Muhammad masih muda. Saya berwasiat kepada tuan, dampingilah dia selalu. Jangan takut menegur sekiranya tuan dapati dia melakukan kesalahan. Bantulah dia dalam menegakkan syariat Islam.”
Syeikh Syamsuddin al-Wali menganggukkan kepala tanda menerima wasiat itu. Kemudian Sultan Murad berpaling pula ke arah Panglima Tharhan lalu berkata, “Sayangi Sultan Muhammad seperti kamu menyayangi saya. Hindari permusuhan sesame kamu. Bantulah dia menakluk Constantinople.”
Panglima Tharhan berjanji menunaikan wasiat Sultan Murad itu. Kemudian baginda menyuruh Syeikh Syamsuddin Al-Wali membacakan kitab suci al-Quran. Tidak lama kemudian, Sultan Murad menghembuskan nafas yang terakhir selepas mengucapkan kalimah syahadah. Seluruh rakyat Turki dan mereka yang berada di tanah jajahannya meratapi pemergian pemimpin yang mereka sayangi. Bermula pada hari itu, Sultan Muhammad al-Fateh mengambil alih kuasa pemerintahan. Rakyat menaruh kepercayaan kepada baginda.
Begitulah pemergian seorang sultan yang begitu tawaduk serta menyayangi sekalian rakyatnya. Legasi kepemimpinannya yang cemerlang dalam menjaga keutuhan wilayah empayar kekuasaan Islam pada zamannya membuktikan bahawa beliau mewariskan kepada Sultan Muhammad dalam keadaan umat bersiap siaga meneruskan agenda penawanan Constantinople. Namun, apakah ini cukup bagi seorang remaja yang masih muda untuk memikul suatu amanah sebesar ini lantas merealisasikan hadis nabi? Apakah langkah pertama Sultan Muhammad memimpin angkatan ini? Nantikan untuk episod seterusnya pada “WASIAT BAHAGIAN 2”.
sumber: Novel Sejarah Islam, "Sultan Muhammad Al-Fateh; Penakluk Constantinople" oleh Abdul Latip Talib
gambar: http://www.iskandarfateh.com/2010/01/jawapan-kepada-kenapa-al-fateh-hebat.html
No comments:
Post a Comment