Kitab Ihya’ Ulumuddin merupakan suatu karya yang begitu cemerlang dalam menghuraikan beberapa penyakit hati dan bagaimana cara-cara dalam merawatnya. Sentuhan Imam Al-Ghazali di dalam kitab tersebut menjadi rujukan pelbagai madrasah tarbiyyah mahupun organisasi yang dahagakan pengisian tazkiyah diri dan ruhiyah. Beliau (Imam Ghazali) ada menyimpulkan bahawa di antara penyebab timbulnya penyakit hasad dengki ini dilandaskan kepada beberapa perkara berikut:
1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian akibat pernah disakiti atau pernah disangkal oleh orang lain dalam tujuan-tujuan tertentu.
2. Merasakan diri mulia dan tidak layak bersama yang tidak setaraf dengannya.
3. Wujud Perasaan Takabbur (suka membesarkan diri di hadapan orang lain)
4. Penyakit ‘Ujub (merasa hebat diri sendiri dan merasa anih terhadap nikmat yang terdapat pada orang lain)
5. Berasa takut terlepas sesuatu tujuan yang diharapkan dan habuan yang bakal diterima
6. Berasa Ghairah untuk menjadi ketua dan ingin meraih populariti di kalangan manusia
7. Memiliki sifat busuk hati terhadap sesuatu kebaikan yang diterima manusia lain, tetapi sangat bergembira seandainya sesuatu musibah menimpa orang lain.
Melihat kepada beberapa punca yang dinyatakan maka seharusnya kita sebagai hamba Allah segera mencari ubat bagi merawat penyakit-penyakit yang menimpa diri kita sebagaimana sakitnya anggota badan, maka kita segera berubat. Melengah-lengahkan mengubatinya hanya akan menjadikan sesuatu penyakit itu membarah dan merosakkan anggota badan kita.
Sehubungan dengan itu marilah sama-sama kita menyemak beberapa tindakan proaktif bagi menanganinya. Antaranya ialah:
- Berhati-hati terhadap golongan pendengki dan menjauhkan diri daripada golongan yang suka mengumpat, serta mengelakkan pergaulan atau mendengar ucapan-ucapan mereka. Dalam hal ini perlulah kita turut menjaga dan mempertahankan nama baik saudara kita daripada sebutan-sebutan yang mendatangkan dosa.
- Sifat kedua adalah bersabar dalam mendepani orang yang menaruh perasaan hasad dengki. Latihan ini dapat juga dilaksanakan didalam penyempurnaan solat dan tidak gopoh dalam melakukannya, di sampung memohon perlindungan sentiasa dengan Allah taala daripada sebarang kejahatan mahupun mudarat yang bakal menimpa. Inilah suatu akhlak yang cemerlang yang seharusnya ditampilkan oleh semua orang yang bergelar Da’ie. Jangan sesekali terperangkap dengan perlakuan orang yang berakhlak buruk kerana nescaya kita akan menjadi manusia yang sama seperti mereka.
- Ketiga ialah memiliki hati yang tenang dan tidak mudah tewas terhadap sifat marah sehingga boleh kecundang dan menjerumuskan perbuatan yang dilakukan orang mereka yang jahil. Maka hendaklah kita meyakini bahawa setiap perkara yang tertimpa keatasnya mempunyai perancangan serta hikmah tersembunyi yang baik dari perancangan Allah taala. Hati yang sihat akan menjernihkan segala amal perbuatan dan menjadi rasional dalam apa jua bentuk penyelesaian masalah melanda.
Maka dengan serba sedikit pengisian ringkas ini mudah-mudahan kita mengambil beberapa intipati yang penting bagi merawat beberapa kerosakan yang mendiami diri dan tubuh kita. Sesungguhnya manusia itu sangat berguna memuhasabahkan dirinya agar tidak tergelincir pada jalan kehidupannya yang memerlukan panduan yang jelas mentadbir urusan kehidupannya. Wallahu a’lam.
Rujukan daripada:Olahan “Buku Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah” berkenaan Faktor-faktor yang menyebabkan hasad dengki, Terbitan Dewan Pustaka Fajar, Karangan Fathi Yakan.
Moga2 kita terplihara dri penyakit2 hati ini... Kalau dibiarkan tnpa dirawat, blh menjadi nanah, membawa kpd permusuhan d perpecahan... Jikalau najis luaran seperti tahi cicak kita nmpk jijik, bagaimana pula dgn "najis2" di hati kita?
ReplyDelete