Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 22, 2011

Pengintip Bahagian Pertama

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu pemimpin-pemimpinmu, sekiranya mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Surah At-Taubah:23

Selesai sembahyang subuh dan selepas mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Syeikh Syamsuddin al-Wali, Sultan Murad termenung seolang-olah ada sesuatu yang sedang difikirkannya. Sultan Muhammad menghampiri ayahnya lalu bertanya, “Mengapa ayahanda termenung? Apakah yang mengganggu fikiran ayahanda?”
“Nabi Muhammad SAW mengatakan, Constantinople hanya dapat ditawan oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik. Apakah ayahanda bukan pemimpin yang baik? Apakah tentera dan rakyat kita tidak baik? Apa pendapat anakanda?” tanya Sultan Murad pula.
Syeikh Syamsuddin al-Wali yang turut berada di situ segera menjawab, “Tuanku sememangnya seorang pemimpin yang baik. Rakyat mumuji kepimpinan tuanku.”
“Bagaimana pula dengan tentera dan rakyat saya? Adakah mereka tidak baik?” tanya Sultan Murad.
“Bagi mengetahui keadaan rakyat dan tentera, lebih baik kita selidik sendiri keadaan mereka,” jawab Sultan Muhammad Al-Fateh pula.
“Maksud anakanda, kita keluar lalu menyamar diri bagi mengetahui keadaan mereka?”
“Itu sahaja caranya, ayahanda.”
Sultan Murad bersetuju dengan cadangan itu. Baginda mengajak Sultan Muhammad Al-Fateh dan Syeikh Syamsuddin Al-Wali turut menemani mereka. Mereka menyamar sebagai peminta sedekah.
"Rahsiakan pemergian kita dan jangan beritahu sesiapa walaupun kepada anak dan isteri,” pesan Sultan Murad.
“Jangan bimbang tuanku kerana tidak ada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Tuhan sahaja,” kata Syeikh Syamsuddin al-Wali.
Mula-mula mereka masuk ke pasar melihat urusan jual beli. Mereka dapati ramai peniaga yang menipu sukatan dan timbangan bagi mendapat keuntungan yang lebih. Para peniaga itu marah apabila menyedari 3 orang lelaki yang menyamar sebagai peminta sedekah itu melihat penipuan mereka.
“Di sini tempat berniaga, bukan tempat meminta sedekah. Pergi dari sini!” kata seorang peniaga sambil menghalau mereka pergi dari situ.
“Kami lapar, minta sedikit makanan.” Sultan Murad berpura-pura merayu menagih simpati.
“Aku tidak beri makanan secara percuma. Pergi buat kerja dahulu,” herdik peniaga yang sombong itu.
“Apa kerja yang kami boleh lakukan?” tanya Syeikh Syamsuddin al-Wali.
“Di sini tidak ada kerja kosong. Pergi minta kerja di tempat lain,” jawab peniaga itu sambil mencekak pinggang. Akhirnya Sultan Murad, Sultan Muhammad dan Syeikh Syamsuddin Al-Wali pergi dari situ.
“Para peniaga tidak menunjukkan sikap yang baik. Kita perlu lakukan sesuatu bagi mengubah sikap mereka,” kata Sultan Murad.
“Apa yang ayahanda mahu lakukan? Tanya Sultan Muhammad Al-Fateh.
“Kita keluarkan arahan supaya para peniaga tidak boleh mengurangkan sukatan dan timbangan. Mereka juga di minta bersikap belas kasihan pada orang-orang miskin dan mereka yang memerlukan bantuan,” jawab Sultan Murad.
“Anakanda menyokong tindakan ayahanda,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh.
“Itulah yang sebaik-baiknya,” ujar Syeikh Syamsuddin al-Walli pula.
Kemudian mereka pergi ke rumah keluarga yang miskin lalu berpura-pura meminta sedekah. Tetapi dihalau oleh keluarga itu dengan berkata, “Kami orang miskin. Bagaimana kami hendak memberi kamu makanan sedangkan kami sendiri kekurangan makanan”.
“Sesungguhnya memuliakan tetamu itu dituntut oleh agama kita,” kawa Syeikh Syamsuddin Al-Wali.
“Bagaiamana kami hendak memuliakan kamu sedangkan kami sering dihina kerana kemiskinan kami,” jawab tuan rumah itu.
“Kata-kata yang baik itu adalah sedekah. Kerana itu elok tuan perbaiki pertuturan,” kata Sultan Murad.
“Bagaimana hendak menuturkan kata-kata yang baik sedangkan kami selalu dimaki dan dihina kerana kemiskinan kami,” jawab mereka.
Kemudian mereka pergi pula ke rumah orang yang kaya lalu berpura-pura meminta sedekah. “Tuan orang kaya. Tentu banyak makanan di rumah tuan. Berilah kami sedikit makanan,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.
“Engkau masih muda dan badan masih kuat, mengapa jadi peminta sedekah?” herdik tuan rumah itu.
“Saya sudah tua dan tidak mampu lagi hendak bekerja. Berilah kami sedikit makanan.” Tuan rumah itu mempamerkan kesombongannya.
“Apakah kerja yang patut kami lakukan?” Tanya Syeikh Syamsuddin al-Wali pula.
“Kebetulan aku memang memerlukan pekerja bagi membersihkan kebun buah-buahan. Kamu boleh bekerja di sana,” jawab orang kaya yang sombong itu.
Kemudian disuruhnya 3 orang tetamu itu bekerja di kebunnya. Selepas membersihkan kebun itu, mereka menuntut upah yang dijanjikan.
“Kerana kamu bukan pekerja yang mahir maka upahnya Cuma 3 dinar sahaja,” kata lelaki itu.
“Kami bekerja di kebun tuan sampai ke petang. Ini sahaja upahnya?” tanya Sultan Murad.
“Itu lebih baik daripada aku tidak memberinya langsung,” jawab orang kaya itu lalu menghalau mereka pergi dari situ sambil memberi amaran supaya jangan datang lagi.
Peristiwa penyamaran mereka mendedahkan kepada Sultan Murad, Muhammad dan Syeikh Syamsuddin bahawa kriteria yang disebutkan di dalam hadis Rasulullah saw masih belum lengkap untuk rakyatnya juga memiliki akhlak yang baik biarpun Sultan Murad telah mencapai status pemerintah yang baik. Hal ini pastinya meresahkan hati Sultan Murad kerana impian untuk menawan Constantinople haruslah direncanakan melalui gambaran sifat yang disebutkan oleh Rasulullah. Apakah tindakan mereka selanjutnya? Teruskan mengunjungi blog ini untuk kisah selanjutnya bagaimana usaha mereka mentarbiyyah masyarakat dan tenteranya, di episod berikutnya, “Pengintip Bahagian 2”

Sumber: Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib, "Sultan Muhammad AlFateh, Penakluk Constantinople"

1 comment:

  1. boleh tnya ya..mna anda dpt kisah2 ini?harap sertakan nama bukunya jika ada..

    ReplyDelete