“Kita perlu melakukan sesuatu supaya orang kaya tidak menindas orang miskin,” kata Sultan Murad.
“Bagaimana caranya?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh pula.
“Kita pastikan setiap orang kaya mengeluarkan zakat hartanya bagi diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Dengan ini baru timbul rasa belas kasihan mereka yang kaya kepada golongan miskin. Dengan ini juga terjalin hubungan baik antara mereka,” jawab Sultan Murad.
“Sekiranya mereka enggan mengeluarkan zakat?” tanya Sultan Muhammad lagi.
“Kita perangi mereka,” jawab Sultan Murad.
Kemudian mereka nampak beberapa orang tentera sedang meronda di kawasan perumahan. Anggota tentera itu mengambil kesempatan mencuri barang-barang dan mengusik kaum wanita yang sedang membasuh pakaian dan mandi di sungai.
“Tugas mereka melindungi orang ramai bukan menakut-nakutkan mereka,” kata Sultan Murad dengan rasa kesal.
Kemudian mereka terjumpa seorang pemuda sedang mengembala kambing. “Adakah ini kambing-kambing saudara?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh.
“Saya cuma mengambil upah menjadi pengembala. Kambing-kambing ini dipunyai oleh tuan saya, seorang saudagar yang kaya-raya,” jawab pemuda itu.
“Jualkan seekor kambing itu kepada kami dan tuan kamu tentu tidak mengetahuinya. Ataupun sekiranya dia bertanya, katakana kambingnya itu dimakan serigala,” kata Sultan Murad.
“Sambil tersenyum pemuda itu berkata, “Saya setuju, tambahan pula upah yang diberi sedikit sahaja sedangkan kerjanya susah.”
“Alangkah buruknya kelakuan rakyat saya. Kerana itu tidak hairan, saya tidak berjaya menakluk Kota Constantinople,” kata Sultan Murad dengan rasa kesal.
“Kita mesti berusaha membaiki kelakuan tentera dan rakyat kita,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.
Mereka bertiga terus berjalan hingga sampai ke pinggir kota Constantinople. “Kita berhenti di sini supaya tidak bertembung dengan pengawal kota itu,” kata Sultan Murad.
Kemudian mereka melihat Kota Constantinople dari jauh. Itulah pertama kali Sultan Muhammad al-Fateh melihatnya dari dekat. Baginda kagum melihat keadaan kota itu terletak di tempat yang strategic. Kota itu menghadap laut dan setiap kapal yang hendak berlabuh terpaksa melalui teluk yang sempit dan dikawal ketat oleh tentera Byzantium.
Di sebelah kiri kota itu, terdapat kawasan yang berbukit yang dipenuhi hutan tebal. Manakala di sebelah belakangnya terdapat kawasan perumahan yang didiami oleh rakyat Constantinople.
“Kota Constantinople ini sudah berkali-kali cuba ditakluki oleh tentera Islam tetapi tidak berjaya. Pada zaman Saidina Ali, tentera Islam melakukan seraangan dari darat namun gagal. Pada zaman Muawiyyah, mereka cuba menyerangnya dari laut namun gagal juga. Begitu juga semasa pemerintahan Sultan Sulaiman bin Abdul Malik dan Sultan Harun Aminurrasyid. Dan kali terakhir ayahanda cuba menawannya 20 tahun yang lalu, namun masih tidak berjaya menaklukinya,” kata Sultan Murad dengan panjang lebar.
“Saya yakin kota ini dapat ditawan oleh tentera Islam tidak lama lagi. Hadis nabi itu berlaku pada zaman ini,” kata Syeikh Syamsudin al-Wali.
Kemudian Sultan Murad memegang kedua-dua bahu Sultan Muhammad sambil berkata, “Ayahanda gagal menawan Kota Constantinople. Kerana itu ayahanda berharap anakanda meneruskan usaha ini. Kota Constantinople mesti anakanda tawan. Itu wasiat ayahanda,” kata Sultan Murad.
“Anakanda pasti berusaha menawannya,” balas Sultan Muhammad al-Fateh.
“Nabi Muhammad saw berkata, Kota Constantinople ditakluki oleh pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik,” kata Syeikh Syamsudin al-Wali pula.
“Wahai anakanda, jadilah pemimpin yang baik. Berilah latihan kepada pasukan tentera kita supaya menjadi tentera yang baik dan didiklah rakyat kita menjadi baik,” pesan Sultan Murad.
Tamat episod “Pengintip” yang memaparkan suatu kembara merentas desa pedalaman menjejaki akhlak para tentera dan rakyat. Barulah Sultan Murad menyedari betapa mengapa hadis Rasulullah saw masih belum berlaku sehingga janji tersebut ditunggu hampir 800 tahun lamanya dinanti semenjak peristiwa Perang Khandaq Rasulullah saw mengungkapkannya. Mungkinkah hasrat menakluk Constantinople ini terhenti setelah Sultan Murad mengesyaki kelemahan itu? Atau apakah Sultan Murad sempat melihat kejayaan penaklukan Constantinople semasa hayatnya? Nantikan jawapannya dengan episod seterusnya bertajuk “WASIAT BAHAGIAN PERTAMA”.
sumber: Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constantinople, Abdul Latip Talib.
No comments:
Post a Comment