Perkara yang termasuk ke dalam Fiqh Al-Awlawiyyat adalah: keutamaan melakukan ijtihad dan pembaharuan ke atas taqlid (mengikut-ikut) dan mengulang-ulangi (perkara yang telah sedia ada).
Mengikut pendapat para ulama salaf bahawa ilmu yang sejati bukanlah sekadar mengerti sesebuah hukum-hakam syara’ yang didapati kerana mengikut pendapat orang lain, dan menjadikan pendapat orang tersebut meskipun si pengikut tidak mempunyai hujah yang memuaskan di atas sikapnya itu. Dengan erti kata lain, ia mengetahui ajaran yang haq melalui pendapat orang lain, bukan melaui dalil-dalil asalnya.
Ilmu yang sebenar- mengikut pandangan para ulama salaf- ialah: ilmu yang berdiri sendiri dan merdeka; semata-mata kerana mengikuti hujah dan dalil yang asal, sama ada bersesuaian dengan pendapat si Zaid dan si Umar ataupun tidak. Ia berjalan seiring dengan hujah dan dalil; berpegang teguh dengan haq dan kebenaran di mana sahaja ia berada.
Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah menampilkan sebuah dalil yang melarang dan mencemuh orang daripada berbuat taqlid. Firman Allah taala, mafhumnya:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya.” (Surah al-Isra’: 36)
Berkata Ibn Qayyim: “Taqlid tidaklah termasuk ke dalam kategori ilmu mengikut para ulama. Selanjutnya beliau menyebutkan lebih daripada 80 alasan mengapa taqlid itu dilarang dan ditegah dalam Islam dan beliau membantah kelompok yang mendokong tindakan taqlid.” [1]
Apabila sikap statik dan jumud dengan hanya mengikuti pengertian zahir daripada nas-nas syariat adalah tercela dan dicemuh, seperti sikap sekelompok Zahiriyyah yang lama dan baru, maka saya juga mengkategorikan ke dalam golongan ini mereka yang bersikap statik dan jumud dengan hanya mengikuti semua pendapat dan pandangan orang-orang terdahulu, tanpa sedikitpun memberikan pertimbangan terhadap perubahan dan perkembangan yang berlaku dari masa ke semasa; perbezaan antara hajat dan keperluan mereka (orang-orang terdahulu) dan keperluan kita hari ini; perbezaan wawasan mereka dan wawasan kita sekarang. Perkara-perkara patut diambil kira dan diberikan perhatian yang sewajarnya.
Saya rasa apabila mereka (para ulama terdahulu) ditakdirkan hidup di zaman sekarang, melihat, merasakan dan mengalami apa yang kita alami pada hari ini- walhal mereka adalah golongan ahli ijtihad dan penyelidikan Islam- pasti mereka banyak merubah dan menukar fatwa-fatwa dan ijtihad-ijtihadnya. Mengapa tidak, generasi selanjutnya yang pernah belajar dan menjadi murid kepada guru mereka sendiri telah banyak merubah dan menukar fatwa-fatwa guru-gurunya, kerana telah terjadinya perubahan zaman dan keadaan, meskipun jarak zaman di antara kedua generasi tersebut tidak berapa jauh. Bahkan pada imam mazhab sendiri telah merubah sebahagian fatwa dan pandangan mereka terdahulu kepada fatwa yang baru kerana telah berlakunya perubahan kematangan berfikir, perubahan zaman dan perbezaan keadaan dan tempat.
Hatta, Imam As-Syafi’e r.a sendiri memiliki 2 pendapat dan pandangan, iaitu qaul qadim (pendapat lama) semasa beliau belum bermustautin di Mesir, dan qaul jadid (pendapat baru) setelah beliau bertempat tinggal di Mesir. Mengapa hal itu dilakukannya? Kerana, setelah beliau bermustautin di Mesir, banyak perkara-perkara baru yang tidak dijumpai dan didengarnya selagi beliau berada di tempat lain. Demikian pula halnya dengan Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a. banyak riwayat-riwayat (pendapat-pendapat) beliau yang sangat berbeza antara satu sama lainnya dalam sesebuah masalah. Perkara tersebut berlaku kerana fatwa-fatwa beliau berubah mengikut perubahan situasi dan keadaan.
[1] Sila rujuk, Ibnu Qayyim dalam kitabnya: Ilam al-Muwaqqain an- Rabb al-Alamin, juz. Ii,hlm. 168-260, Cetakan Dar al-Saadah, Kaherah, disemak semula oleh Muhammad Muhyiddin Abdul Hamid.
dipetik daripada: Buku Fiqh Al-Awlawiyyat, karangan Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi
No comments:
Post a Comment