Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 20, 2010

Helah Sultan Murad Bahagian 1

“Hai Nabi (Muhammad), kobarkanlah semangat para Mukmin itu untuk berperang. Sekiranya ada 20 orang yang sabar antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan 200 orang musuh. Dan sekiranya ada seratus orang (yang sabar) antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” 
–Surah al-Anfal: 65

“Tuanku, Sultan Murad jatuh sakit. Baginda terpaksa berehat semula ke Pulau Magnesia,” beritahu Alexi sambil tersenyum. Dia yakin berita itu pasti menggembirakan Maharaja Constantine.

“Mengapa tuanku termenung?” tanya Alexi lagi.

“Aku sedang memikirkan apakah cara yang paling baik bagi melayan musuh nombor satu kita itu,” jawab Maharaja Constantine.

“Kita hantar tentera ke Pulau Magnesia kemudian  kita hantar Sultan Murad ke neraka,” kata Alexi sambil tersenyum.

“Bagaimana sekiranya kita kirim ubat kepada musuh kita? Adakah saya sedang bermimpi?” kata Alexi sambil menarik-narik rambutnya bagi memastikan benarkah dia sedang bermimpi?

“Dalam ubat itu kita bubuh racun supaya dia mati cepat!” kata Maharaja Constantine sambil ketawa. Kemudian Alexi juga ketawa.

“Saya setuju cadangan tuanku,” kata Alexi selepas ketawa mereka reda.

“Jangan jadi bodoh. Kita tidak mungkin menunjukkan sikap baik pada musuh. Kita hantar pasukan tentera, bukannya ubat,” balas Maharaja Constantine.

“Adakah kita berperang dengan tentera Uthmaniyyah?” tanya Alexi ragu-ragu.

“Adakah engkau takut?” tanya Maharaja Constantine pula.

“Tidak… saya tidak takut. Sebab…”

“Adakah engkau mengatakan yang pergi berperang adalah tentera kita? Sedangkan kita berada di istana?”

“Maafkan saya tuanku, saya tidak berkata begitu.”

“Apa yang hendak engkau katakana tadi?”

“Saya tidak takut berperang dengan tentera Islam kerana tanggungjawab kita memerangi mereka.”

Maharaja Constantine tertawa mendengarnya. “Kali ini kita sama-sama pergi berperang,” katanya.

“Maksud tuanku kita kerahkan semua tentera kita dan tuanku sendiri yang memimpinnya?”

“Benar dan suruh Panglima Ardogan datang menghadap!”

Selepas panglima perang itu datang, Maharaja Constantine memberikan perintah, “Kita bakal berperang dengan tentera Islam. Kerahkan semua tentera kita bersiap-sedia!”

“Baiklah tuanku.” Kata Panglima Ardogan.

Berita itu sampai kepada pengetahuan Sultan Muhammad Al-Fateh. Baginda mengadakan mesyuarat dengan pegawai-pegawainya. “Kali ini Maharaja Constantine sendiri yang memimpin bala tenteranya bagi menyerang kita. Mereka sedang bergerak menuju ke sini dan sudah sampai ke sempadan,” beritahu Sulaiman Uglo, panglima perang tentera yang bertanggungjawab mengawal sempadan Turki.

“Tuanku belum ada pengalaman berperang. Bagaimana caranya tuanku hendak menghadapi musuh kita?” kata Khalil Pasya pula. Dia seolah-olah meragui kemampuan Sultan Muhammad Al-Fateh menghadapi serangan tentera Rom.

“Saya menulis surat kepada ayahanda Sultan Murad. Hanya baginda yang layak memimpin kita bagi menghadapi tentera Rom,” jawab Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Saya bersetuju dengan tindakan tuanku,” kata Syeikh Syamsuddin Al-Wali pula yang turut berada dalam mesyuarat itu.

Kemudian Sultan Muhammad menyuruh jurutulisnya menulis sepucuk surat bagi dikirimkan kepada Sultan Murad.

“Apa pendapat tuanku mengenai surat yang dikirimkan oleh Sultan Muhammad itu?” tanya Mahmud Basya yang menemani Sultan Murad ke Pulau Magnesia.

“Sultan Muhammad sekarang memangku tugas sultan Uthmaniyyah. Ini adalah arahan daripada seorang sultan. Saya mesti mematuhinya,” jawab Sultan Murad.

Baginda dan para pengiringnya segera kembali ke Turki. Sultan Muhammad menyambut kepulangan ayahandanya dengan gembira. “Kepulangan ayahanda memang kami harapkan. Tentera musuh sudah berada di sempadan. Mereka sampai tidak lama lagi,” katanya.

Kemudian Sultan Muhammad menyerahkan semula tugas yang dipangkunya itu kepada Sultan Murad. “Sekarang ayahanda Sultan Uthmaniyyah. Kami berada di bawah perintah ayahanda,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh.

Sultan Murad segera membentuk pasukan tenteranya. Kemudian baginda sendiri memimpin tentera itu bagi menghadapi tentera Byzantine yang sudah berada di perbatasan negaranya. Berita kedatangan Sultan Murad dengan pasukan tenteranya itu sampai kepada Maharaja Constantine. Baginda segera berbincang dengan para pembantunya.

“Sultan Murad sudah sembuh daripada sakitnya. Sekarang baginda sudah kembali ke Turki dan memimpin pasukan tenteranya berperang dengan kita. Apa pandangan kamu?” tanya Maharaja Constantine.

“Peperangan dengan tentera Islam tidak dapat dielakkan lagi. Kita hendaklah bersiap-sedia bagi menghancurkan mereka,” kata Panglima Ardogan penuh bersemangat.

“Tuanku, saya cadangkan kita tunggu kedatangan mereka di sini.  Sambil itu kita bina kubu bagi menghadapi mereka. Kita kuasai semua perigi dan sumber air supaya mereka kehausan.” Alexi pula memberi cadangan.

“Beta setuju dengan cadangan kamu,” kata Maharaja Constantine.

Kemudian baginda mengarahkan tenteranya membuat kubu perlindungan bagi menghadapi tentera Islam. Mereka juga menguasai semua perigi dan sumber air minuman.

Persiapan yang dikira rapi ini pastinya akan membuatkan pasukan tentera Islam boleh tewas dalam pertempuran yang baru disertai Sultan Muhammad. Apakah strategi yang ingin diaplikasikan sedangkan perancangan musuh mula diketahui oleh tentera Islam dengan penguasaan sumber air yang merupakan bekalan penting semasa peperangan? Nantikan perancangan tersebut untuk kisah berikutnya di “Helah Sultan Murad Bahagian 2” akan datang.

petikan: Buku Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constantinople. Oleh Abd Latip Talib

No comments:

Post a Comment