Kembali Ke Laman Utama

Wednesday, December 15, 2010

Akhlak dan Sifat Kemestian Bagi Anda Sebagai Pemimpin Bertanggungjawab

(Gambar Sekadar hiasan)
Kedudukan pemimpin dalam hierarki adalah tinggi lantas mereka ini akan menjadi contoh kepada orang lain, kerana akan membawa natijah kepada organisasi. Maka digariskan beberapa sifat serta akhlak asasi yang wajib dimiliki oleh seseorang yang bergelar pemimpin, di samping qudwah hasanah mereka tidak lain tidak bukan mereka menjadikan Rasulullah saw sebagai panduan yang turut meliputi akhlaknya, sifat-sifatnya, cara pergaulannya, tindakannya, pengurusan dan kepimpinannya, serta operasi dakwah yang diaturnya. Justeru itu akhlak yang dimaksudkan ialah:

1.      Sentiasa mengharapkan akhirat serta ikhlas kepada Allah, hati yang tenang dan bebas daripada penyakit-penyakit hati, tidak mencintai jawatan mahupun bersifat sombong.
2.    Mempunyai IQ yang luar biasa bijaksana, serta berpandangan luas, sentiasa menganalsis, memahami, serta solusi yang baik. Bukan pula seorang yang pelupa mahupun tertutup pemikirannya dalam berhadapan suasana kritikal dan marah. Ini kerana, kepelbagaian masalah yang timbul memungkinkan ketegangan dan sememangnya disaat ini memerlukan tindakan bijak dalam menyelesaikannya.
3.      Pemimpin yang berakhlak mulia, mempunyai jiwa belas kasihan, serta mudah berurusan dengannya lantaran mereka bakal berdepan pelbagai ragam manusia dan tidak bermusuhan dengan mereka.
4.      Tidak bersikap kasar dan mestilah bersikap lembut hati dalam menjalankan urusan.
5.      Seorang yang berani bertindak, dan bukannya takut serta tidak membuta tuli dalam keputusan. Dasar kepada keberanian adalah ketetapan hati serta yakin kepada Allah serta membuang sifat wahan dalam jiwa.
6.    Seorang pemimpin hendaklah bersikap benar kerana ianya akan meningkatkan kepercayaan ahli kepadanya dengan tidak berbohong walaupun sedikit kerana ianya akan mewujudkan keraguan serta menghilangkan kepercayaan terhadapnya. Hendaklah ia memastikan kebenaran sesuatu peristiwa sebelum ia bertindak menyebarkannya.
7.    Hendaklah bersikap tawadhu’, tidak meninggi diri kepada orang lain kerana sifat ini hanya akan menjauhkan orang daripadanya. Tawadhu’ di sini membawa erti tunduk kepada kebenaran dan menyerah kepadanya. Ini akan menjadikan kesempurnaan gerak kerja, meningkatkan kerjasama dan perbincangan yang tidak menyusahkan.
8.     Bersikap pemaaf dan dapat menahan kemarahan lantaran jiwanya yang terdedah kepada permasalahan organisasi yang pelbagai. Ini melibatkan perkara-perkara yang memungkinkan perasaan sakit hati akibat perbuatan seseorang terhadapnya, maka wajiblah menghiasi dirinya dengan sifat pemaaf, menahan amarah serta sentiasa berbuat baik. Orang yang pendendam dan tidak bersikap pemaaf hanya akan merosakkan organisasi serta menghasilkan musuh kepada organisasi yang dipimpinnya yang boleh menghilangkan ramai ahlinya. Sikap pemarah hanya akan menyebabkan pendiriannya menjadi salah dan tidak layak bagi dirinya sebagai pemimpin apatah lagi ianya turut mencerminkan organisasinya yang boleh dipandang rendah.
9.    Seorang pemimpin adalah orang yang menunaikan janjinya lantas mereka adalah pemikul amanah tanggungjawab. Akhlak ini akan membangkitkan kepercayaan, ketenangan serta kerjasama. Sebaliknya jika tidak, ianya akan menatijahkan kepada hilangnya semangat kesetiaan(wala’) dan ketepatan janji serta menyebabkan hilangnya iltizam terhadap masa perjumpaan yang merupakan tanda-tanda ciri kemunafikan apabila berjanji.
10.  Bersifat sabar kerana jalan dakwah bersifat panjang dan susah serta dihamparkan dengan perkara yang tidak disukai, penuh dengan mehnah serta tribulasi. Peranan yang dimainkan pemimpin diperingkat organisasi sangatlah penting dan amanah yang dipikul adalah besar. Oleh itu, ianya memerlukan kesungguhan dan memakan masa. Ia mestilah mengambil tahu bidang tugasannya, di samping mengawasi perjalanan organisasi dengan agihan tugas yang berkesan serta penyelesai yang bijak. Jiwa besar ini harus dimiliki oleh pemimpin yang bersifat sabar dan sanggup merasai erti kesusahan.
11.  Bersifat suci daripada nafsu atau runtunannya untuk keseronokan dunia kerana jika tidak, pemimpin tersebut adalah lemah dan menghilangkan kewibawaannya. Maka wajiblah ia bersifat mulia dan pemurah dalam segala hal.
12.  Bersifat Wara’ dan Zuhud serta menjaga dirinya daripada terjebak perkara-perkara syubhah dan meninggalkan perkara yang samar kerana sikap berhati-hati di samping perkara yang memudaratkannya. Pemimpin hendaklah sentiasa bermuhasabah sentiasa agar menjadi teladan kepada ahli-ahli. Pemimpin yang tidak bersikap wara’ akan melahirkan generasi selepasnya menjadi lebih melampau dan jatuh kepada perkara-perkara yang haram lantas akan mencemarkan organisasi terbabit.
13.  Bersikap adil walaupun kepada diri sendiri supaya para ahli menjadi tenang hati dan mewujudkan suasana kerja yang dilitupi sifat benar, ikhlas, tenang dan berhasil. Sifat hipokrit akan merosakkan hasil kerja. Oleh itu pemimpin mestilah mengambil perhatian agar berlaku adil. Hendaklah ia berubah dari kesalahan apabila nyata padanya kesalahannya serta tidak menjebakkan dirinya lagi ke dalam perkara itu. Janganlah bersifat pilih kasih dalam melaksanakan gerak kerja serta tidak cepat dalam membuat keputusan dalam sesuatu permasalahan melainkan penelitian siasatan.
14. Tidak mengungkit dan bercakap tentang diri sendiri tentang kebaikan, sebaliknya hendaklah ia memuji kebesaran Allah taala terhadapnya.
15. Sentiasa mengawasi perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah taala dan apa yang terkandung dalam ajaran Islam daripada bertindak luar batasan. Janganlah bersikap bermudah-mudahan serta memandang ringan terhadap perkara ini, kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.
16.  Berlapang dada serta tidak melayani umpatan serta cacian kerana syaitan akan melaga-lagakan perasaan yang menimbulkan penyakit kepada hati dan akhirnya melemahkan organisasi.
17.  Keazaman yang dimiliki adalah tinggi serta tidak teragak-agak disamping tidak mudah menyerah kalah atau kecewa. Keyakinan yang baik terhadap Allah taala dalam apa jua perkara kerana ianya di bawah kekuasaanNya.
18.  Bersikap moderate dan seimbang dalam semua gerak kerja yang dilaksanakan. Ini termasuklah menganalisa keupayaan yang ada, kerana sikap gopoh hanya akan menghasilkan natijah yang tidak memberikan apa-apa makna.
19.  Teguh bersama kebenaran tanpa berubah pendirian dan goyah terhadap apa jua situasi yang harus ditanganinya.
20.  Hendaklah menjauhkan diri daripada bersikap tidak confident atau terlalu over-confident. Sikap sedemikian seperti tidak yakin dan berputus-asa bukanlah sifat orang mukmin.

Sumber: Edit dan Olahan Buku “Jalan Dakwah; Antara Qiyadah dan Jundiyyah” Oleh Mustafa Masyhur, Terbitan Dewan Pustaka Fajar.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...