Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 29, 2010

Yang Benar dan Yang Palsu Bahagian 1.

“Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan mereka sebagai kawanmu orang-orang yang memerangi kamu dalam urusan agama dan mengusir kamu dari kampung halamanmu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang yang zalim.”
Surah al-Mumtahanah:9

Puji-pujian dan sanjungan orang ramai kepada Syeikh Bayram menimbulkan rasa sakit hati kepada Syeikh Aslam. Dia merasakan dirinya seolah-olah tidak dipedulikan lagi. Ke mana saja dia pergi, kedengaran orang ramai bercakap-cakap mengenai kehebatan Syeikh Bayram yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati.

“Selepas melihat kehebatan Syeikh Bayram, ketua paderi yang bongkak itu akhirnya memeluk agama Islam. Sekarang dia berguru dengan Syeikh Bayram. Anak-anak muridnya juga semakin hari semakin bertambah,” kata Mahmud yang dahulunya berguru dengan Syeikh Aslam tetapi kini beralih kepada Syeikh Bayram.

Bertambah sakit hati Syeikh Aslam mendengarnya. Berhari-hari lamanya dia berkurung di dalam rumah, tidak keluar ke mana-mana. Akhirnya sakit hati itu bertukar menjadi dendam kesumat. Dia mula memikirkan bagaimanakah caranya hendak menjatuhkan Syeikh Bayram. Akhirnya dia mendapat satu cara lalu dia menghadap Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Nampaknya orang ramai semakin taksub kepada Syeikh Bayram. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh merosakkan akidah,” kata Syeikh Aslam dalam usaha untuk memasukkan jarum fitnahnya.

“Merosakkan akidah? Apa maksud tuan?” Tanya Sultan Muhammad Al-Fateh.

“Ada yang mengatakan Syeikh Bayram lebih hebat daripada Nabi kerana dia boleh menghidupkan orang mati. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh merosakkan akidah umat Islam,” jawab Asyeikh Aslam.

Tanggungjawab tuan dan para ulama yang lain menyedarkan orang ramai. Syeikh Bayram tidak bersalah.” Sultan Muhammad Al-Fateh cuba mempertahankan penasihat sultan itu.

“Mengikut ilmu yang ada pada saya, Syeikh Bayram bukan sahaja bersalah tetapi sudah sesat dan menyesatkan,” kata Syeikh Aslam pula.

“Begitu berat tuduhan tuan. Apa buktinya?” Sultan Muhammad meminta penjelasan.

“Tuanku sudah lupakah apa yang diucapkan oleh Syeikh Bayram kepada mayat di dalam kubur itu?” tanya Syeikh Aslam pula.

“Dia menyuruh mayat itu bangun. Kemudian mayat itu bangun dan boleh berkata-kata. Tetapi semuanya dengan izin Tuhan juga,” jawab Sultan Muhammad.

“Syeikh Bayram berkata kepada mayat itu, “Wahai mayat hidup dan bangunlah ‘dengan izin aku’. Sepatutnya dia berkata dengan izin Allah”.

“Betulkah begitu ucapan Syeikh Bayram?” Sultan Muhammad semakin berminat untuk mengetahuinya.

“Benar tuanku. Bukan saya sahaja yang mendengarnya malah orang ramai juga mendengarnya,”.

Bagi memastikan kebenarannya, baginda memanggil beberapa orang saksi yang boleh dipercayai. Masing-masing mengaku mendengar Syeikh Bayram menyebut ‘dengan izin aku’ bukan dengan izin Allah.

“Kerana itu ada yang memuja Syeikh Bayram kerana menganggap dia ada kuasa menghidupkan orang yang sudah mati. Malah ada yang bercadang hendak menyuruh Syeikh Bayram menghidupkannya semula selepas mati. Bukankah ini bahaya?”

Sultan Muhammad al-Fateh mula mempercayai kata-kata Syeikh Aslam. “Apa yang harus kita lakukan?” tanya Sultan Muhammad Al-Fateh.

Syeikh Aslam tersenyum kerana sultan sudah percaya. Matlamatnya hendak menjatuhkan Syeikh Bayram pasti tercapai. Entah mengapa dendamnya pada Syeikh Bayram semakin membuak-buak.

Apakah nasib ulama Syeikh Bayram selepas ini? Apakah Sultan Muhammad akan bertindak diatas maklumat yang telah beliau selidiki ini? Nantikan sambungannya di tajuk berikutnya “Yang Benar dan Yang Palsu Bahagian 2”.

rujukan: Novel Islam Sultan Muhammad al-Fateh, Abd Latip Talib

1 comment: