Assalamualaikum wbt
‘Idul adha atau hari raya korban membawa pengertian kepada rentetan sirah Nabi Ibrahim As melaksanakan korban terhadap Nabi Ismail As anaknya, yang kemudiannya Allah telah menukarkan dengan kibasy.
Pengorbanan mengajar erti melepaskan sesuatu yang kita sayangi untuk Allah ta'ala. Meletakkan sifat ikhlas dalam melepaskan "harta" kesayangan adalah perlu dan bukan suatu perkara yang mudah bagi mereka yang menghayati maksud pengorbanan hakiki.
Lihatlah, bagaimana Nabi Ibrahim As meletakkan Nabi Ismail As sebagai suatu pengorbanan "harta" kesayangannya, Abu Bakar As-Siddiq yang menginfaqkan keseluruhan hartanya untuk Islam, juga Saidatina Khadijah sehingga habis seluruh hartanya sehinggakan sanggup menawarkan tulang-temulangnya selepas mati jika ia berguna untuk Islam, para muhajirin yang melepaskan harta di Mekah bersama-sama keluarga tersayang semata-mata mengikuti pengembaraan hijrah bersama Rasulullah saw. Inilah bukti kesungguhan mereka dimana nilaian korban bukan sekadar pada ukuran nilai matawang semata-mata tetapi pengorbanan mereka sanggup "mencagarkan" diri mereka untuk agama Islam.
Inilah tawaran Allah taala kepada para hambaNya dengan meletakkan tawaran kepada hambaNya yang beriman sepertimana "offer" atau tawaranNya di dalam surah As-Saf: 10-11 "Hai orang yang beriman, Mahukah Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? hendaklah kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan berjihadlah pada jalan Allah dengan harta kamu, diri kamu, dan itu adalah sangat baik jika kamu mengetahuinya"
Melihat kepada realiti hari ini, umat Islam dibelenggu dengan penindasan, dikongkongi dengan lawan yang bersifat zalim, diasak dari segenap penjuru dengan pelbagai ancaman, fitnah yang menggoncangkan saf-saf terbina, juga kelemahan yang terbit daripada ummah sendiri. Kemenangan yang dicapai oleh umat terdahulu selain jihad yang tinggi, mereka juga sanggup berkorban tanpa mengenal erti risiko yang bakal menimpa mereka.
Para Rasul dan para Nabi yang diutuskan tidak lena dibuai dengan mukjizat yang dikurniakan kepada mereka. Sebaliknya, ujian bertalu-talu dalam menyelamatkan umatnya dihadapi dengan pelbagai mehnah dan tribulasi.
Sultan Muhammad Al-Fateh dan tenteranya juga tidak diberikan kemenangan percuma oleh Allah taala didalam penaklukan Constantinople, bahkan terpaksa "membayar" dengan harga pengorbanan yang tinggi untuk kemenangan tersebut. Musuh yang mereka hadapi bukan calang-calang musuh yang juga mempunyai semangat untuk mati di dalam peperangan mempertahankan kota mereka. Maka sesuailah dengan kerja keras, pengorbanan masa, tenaga,daya fikiran, harta, nyawa, dan segalanya melengkapkan sebuah kemengan yang diredhai oleh Allah taala.
Tidak ada kemenangan percuma untuk umat Islam. Maka seluruh ulama', para da'ie, para mujahid-mujahidah, seharusnya mengambil iktibar di ulangtahun hari 'Idul Adha ini sebagai pemangkin kepada usaha berterusan untuk mengangkat kembali Islam ke suatu mercu yang tinggi setingginya.
Semoga umat Islam kembali bersemangat dan bermotivasi tinggi untuk menggerakkan nadi-nadi umat akhir zaman ini dengan "menginfaqkan" diri untuk kemenangan Islam di seluruh tanah air.
Sekian, "Selamat Menyambut 'Idul Adha kepada semua umat Islam".....
No comments:
Post a Comment