Golongan muda adalah golongan yang mudah menerima perubahan bahkan melakukan perubahan. Berikutan dengan itu, peranan golongan muda adalah sangat penting jika dibuka epilog pelakaran sejarah. Rom yang pernah menggegarkan dunia dengan menjadi kuasa besar ketika itu, pernah digoncang oleh tangan-tangan pemuda seperti Usamah bin Zayid yang berumur sekitar 18 tahun telah dihantar di dalam perang Yarmouk. Malah Saidina Ali Krmwjh telah menerima Islam sejak umurnya sekitar 10 tahun merupakan pemuda yang berani melindungi Rasulullah saw sewaktu menggantikan tempat tidur baginda saw daripada dibunuh oleh musyrikin Kota Mekah.
Tidak lupa bahawa Allah taala telah mengiktiraf golongan muda di dalam Al-Quran yang sebagai sebahagian kelompok yang kuasa ketahanan iman yang mantap dengan kisah Ashabul Kahfi menghadapi pemerintah yang zalim selain kisah seorang budak muda yang sanggup syahid demi menjadikan masyarakatnya beriman kepada Allah di dalam kisah Ashabul Ukhdud.
Dengan sebab itu, tidak hairanlah bahawa penakluk Constantinople yang dikhabarkan oleh baginda Nabi saw sebagai raja terbaik yang memiliki tentera terbaik dan rakyat terbaik adalah juga seorang anak muda. Dengan sebab itu, janganlah dinafikan bahawa anak-anak muda tidak mampu memimpin apatah lagi bagi membentangkan idea kepada kepimpinan negara, parti,universiti, masyarakat mahupun sekecil-kecil institusi dalam masyarakat.
Apa yang paling penting hendak dikisarkan bahawa, kekuatan pemuda-pemuda yang dihasilkan adalah bertunjangkan akidah yang kuat, bukan sekadar laungan idealis serta tenaga zahir semata-mata. Berapa ramaikah anak-anak muda hari ini yang berjiwa kental dan berani kehadapan terhadap isu-isu yang membelenggu ummah? Adakala mereka menjadi korban tangan-tangan politik dan adakala mereka terpaksa menjerit dengan mulut yang tertutup.
Melahirkan anak muda yang cemerlang bukan sekadar melalui falsafah teori, tetapi harus diterapkan dengan falsafah praktikal yang boleh menjadikan mereka hidup berdikari. Jika tersalah acuan maka, golongan muda yang dianggap perubah masyarakat boleh pula merosakkan masyarakat.
umarfarouq.blogspot.com/
umarfarouq.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment