Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, May 25, 2010

Al-Fateh: Umpan Tidak Mengena bahagian 2



“Hari ini kami datang membawa makanan dan pakaian. Esok kami bawa senjata bagi diberikan kepada kamu.. dan kami latih kamu cara-cara menggunakan senjata itu,” kata orang-orang Maharaja Constantine.
“Kami memang memerlukan makanan dan pakaian. Tetapi kami tidak perlukan senjata. Kerana itu lupakan sahaja cadangan kamu hendak memberikan senjata kepada kami,” kata ketua penduduk pulau itu.
“Maharaja kami ingin membebaskan kamu daripada pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Dan kamu boleh bernaung di bawah Kerajaan Constantinople,”pujuk mereka.
“Maharaja Constantine memerintah dengan zalim. Rakyat ditindas dan mereka yang cuba melawan ditangkap ataupun dihikum bunuh. Tetapi Sultan Murad tidak zalim. Baginda memerintah dengan adil dan kami tidak merasa ditindas. Mengapa kami hendak memberontak?” Tanya penduduk Pulau Anador dan Pulau Amali.
Maharaja Constantine hendak membantu kamu memerintah sendiri. Apakah kamu tidak mahu memerintah sendiri negeri kamu?” pujuk orang-orang upahan Maharaja Constantine.
“Kami tidak mampu memerintah sendiri kerana negeri kami kecil dan menjadi rebutan antara Kerajaan Byzantium dan Kerajaan Uthmaniyyah. Kami memilih bernaung di bawah pemerintahan Islam yang adil kerana kami yakin lebih selamat,” kata mereka.
“Maharaja Constantine tentu marah. Baginda menghantar tentera bagi membunuh kamu.” Ugut orang-orang suruhan itu.
“Kami tidak takut kerana kami meminta perlindungan daripada Sultan Murad. Tentera Islam pasti menjaga keselamatan kami,” balas mereka.
Akhirnya orang-orang suruhan Maharaja Constantine itu pulang dengan perasaan hampa. Pada masa yang sama Panglima Ardogan pula sedang memimpin pasukan tenteranya bagi memerangi penduduk Jenewar yang memberontak. Selepas berlaku pertempuran yang sengit akhirnya penduduk Jenewar berjaya dikalahkan. Ramai yang terbunuh dan ditawan. Antara yang menjadi tawanan ialah seorang lelaki bernama Urban yang pandai membuat meriam. Semua tawanan dibunuh kecuali Urban. Dia dibawa pulang ke Constantinople lalu dibawa menghadap Maharaja Constantine.
“Benarkah engkau pandai membuat senjata yang dinamakan meriam?” Tanya Maharaja Constantine.
“Benar…” jawab lelaki itu.
“Siapa yang mengajar engkau membuat senjata itu dan adakah penduduk Jenewar sudah memiliki senjata buatan engkau itu?” Tanya Maharaja Constantine lagi.
“Saya seorang tukang besi yang mahir. Tetapi saya minat mencipta senjata. Meriam itu adalah senjata ciptaan terbaru saya. Sayangnya penduduk Jenewar belum sempat memilikinya lagi. Sekiranya senjata itu sudah kami miliki tentu tentera tuanku tidak dapat mengalahkan kami,” jawab Urban.
“Aku mahu engkau buatkan meriam itu bagi digunakan oleh tentera Rom,” perintah Maharaja Constantine.
“Tuanku seorang raja yang zalim. Saya tidak membantu seorang pemerintah yang zalim bagi menindas rakyat yang tidak berdosa,” tegas Urban.
Jawapan itu membuatkan Maharaja Constantine marah. Baginda bercadang hendak menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Urban.tetapi dibantah oleh Alexi dan Panglima Ardogan.
“Kita tidak mahu dia mati bersama ilmu yang dimilikinya. Sebab itu dia tidak boleh dibunuh. Kita penjarakan sahaja dan diseksa supaya dia berubah fikiran lalu memberikan kerjasama,” kata Alexi.
“Kita berusaha memujuk dia supaya mengajarkan ilmu membuat meriam itu kepada tentera kita. Kemudian baru kita bunuh dia,” kata Panglima Ardogan pula.
Akhirnya Maharaja Constantine menarik semula hukuman bunuh yang dijatuhkan keatas Urban. Dia dikurung di dalam penjara kemudian dikenakan pelbagai seksaan. Namun Urban tetap dengan pendiriannya tidak mahu memberikan kerjasama. Kemudian dilakukan pula pujukan namun masih gagal mengubah pendirian lelaki itu.
Berita serangan tentera Romawi ke atas penduduk Jenewar dan penangkapan seorang lelaki yang pandai membuat meriam sampai kepada Sultan Murad.
“Penduduk Jenewar berada dalam jajahan Maharaja Constantine. Kita tidak boleh campurtangan dalam urusan negeri mereka. Tetapi lelaki yang bernama Urban itu perlu kita bebaskan. Kepandaiannya membuat meriam boleh member manfaat kepada kita,” kata Sultan Murad.
“Bagaimana caranya kita hendak menyelamatkan lelaki itu?” Tanya Khalil Pasya, pembantu kanan Sultan Murad.
“Kita sama-sama fikirkan caranya,” jawab Sultan Murad.
Bersambung ke tajuk ke-4: “Suatu Pengajaran”

No comments:

Post a Comment