Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, May 23, 2010

al-Fateh: Umpan Tidak Mengena 1


“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Sekiranya mereka berhenti (daripada memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim”.
-Surah al-Baqarah:193

“Tuanku, ada berita buruk yang hendak saya sampaikan,” kata Alexi, Perdana Menteri Maharaja Constantine.
“Katakan cepat apakah beritanya? Engkau membuat jantungku berdegup kencang,” kata Maharaja Constantine yang sedang bersarapan pagi.
“Permaisuri Sultan Murad sudah melahirkan seorang putera. Mereka menamakannya sebagai Muhammad,” kata Alexi.
Dia tidak mahu menyebut nama Muhammad kerana nama itu selalu diagung-agungkan oleh orang-orang Islam. Sebagai musuh kaum Muslimin, dia benci nama itu. Tetapi kini dia terpaksa menyebutkannya di hadapan rajanya,
Maharaja Constantine terkejut bercampur marah apabila mendengar berita itu. Makanan yang sedang dikunyah disemburkan keluar dari mulutnya.
“Berita itu menyakitkan hatiku. Selama ini aku berdoa supaya dia tidak dikurniakan putera. Supaya selepas dia mati berlaku huru-hara dan perebutan kuasa. Dengan itu kita mudah menghancurkan mereka,” kata Maharaja Constantine.
“Jangan bimbang tuanku sebab saya sudah mengarahkan pengintip kita di Turki supaya membunuh anak itu. Semoga kita mendapat khabar gembira tidak lama lagi.” Namun kata-kata Alexi tidak memberi harapan baru kepada Maharaja Constantine.
“Mereka pasti menjaga keselamatan putera Sultan Murad siang dan malam. Lupakan sahaja rancangan itu,” kata Maharaja Constantine.
“Apa pula rancangan tuanku?”
“Panggil Panglima Ardogan datang menghadap,” katanya.
Tidak lama kemudian ketua panglima tentera Constantinople itu datang, lalu Maharaja Constantine pun berkata, “Persiapkan tentera kita bagi menjatuhkan Sultan Murad.”
“Tentera kita sudah bersiap sedia, Cuma menunggu perintah daripada tuanku, kata Panglima Ardogan.
“Aku tidak sabar hendak melihat Kerajaan Islam Uthmaniyyah ditumbangkan. Kita kerahkan seluruh kekuatan tentera bagi menyerang mereka.” Maharaja Constantine kelihatan begitu bersemangat.
“Boleh saya member pandangan tuanku?” kata Alexi pula.
“Silakan…,” balas Maharaja Constantine.
“Penduduk Jenewar yang berfahaman Katholik sedang memberontak. Sekiranya kita kerahkan seluruh tentera kita berperang dengan tentera Islam, kemungkinan mereka mengambil peluang menawan Kota Constantinople,” kata Alexi.
Kemudian katanya lagi, “Lebih baik kita amankan dulu keadaan di negeri kita. Selepas mereka yang memberontak ditangkap ataupun dibunuh baru kita lakukan serangan terhadap tentera Islam.”
“tentu mengambil masa yang lama dan kedudukan Sultan Murad semakin kuat. Kita perlu lakukan sesuatu bagi melemakan mereka, kata Maharaja Constantine pula.
“Saya ada cadangan,” kata Panglima Ardogan. “Kita hasut penduduk Pantai Anador Amali supaya memberontak. Kita beri mereka bantuan senjata dan latihan tentera.”
“Itu suatu cadangan yang baik. Aku setuju,” kata Maharaja Constantine.
“Saya pun setuju,” kata Alexi pula.
Mereka mengatur rancangan bagi menjayakan tujuan itu.
Kemudian Maharaja Constantine menghantar orang-orang ke Pulau Amali. Mereka membawa pelbagai hadiah bagi diberikan kepada penduduk pulau itu.

bersambung...

No comments:

Post a Comment