Katakanlah: "Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan Keputusan NYA". dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
-Surah at-Taubah:24
Betapa indahnya suasana petang di Selat Bosphorus. Matahari hampir terbenam di sebalik tebing selat paling sempit yang menjadi sempadan antara Asia dan Eropah itu. Pada zaman pemerintahan Sultan Beyazid, baginda berjaya menguasai selat itu lalu membina kota di sebelah tebing kawasan Asia bagi mengawal lalu lintas di selat itu.
Selepas Sultan Murad berkuasa, baginda juga mendiami kota yang menghadap Selat Bosphorus itu. Kini baginda menaruh harapan kepada anaknya Sultan Muhammad bagi meneruskan pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Namun ada sesuatu yang menggusarkan hatinya.
“Sejak kecil, Sultan Muhammad dididik supaya hidup sederhana. Dia dibiarkan berkawan dengan rakan-rakan yang sebaya dengannya. Apabila dia berada dalam kumpulan yang ramai, orang tidak menyangka dia anak seorang sultan,” kata Sultan Murad.
“Apakah ada perkara lain yang mengganggu fikiran kekanda?” Tanya Permaisuri Aisyah pula.
“Dia sudah berumur 5 tahun. Tetapi dia lebih suka bermain-main dengan kawan-kawannya. Kehendak kekanda supaya dia dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan,” jawab Sultan Murad.
“Dia masih kanak-kanak. Biarkanlah dia dengan dunia kanak-kanaknya. Apabila dia berumur 7tahun baru disuruh solat. Selepas berumur 10 tahunbaru dirotan sekiranya tidak solat.” Permaisuri Aisyah berusaha menenangkan suaminya.
“Benar kata adinda,” kata Sultan Murad. “Tetapi sebaiknya anak-anak dididik dengan ilmu agama bermula ketika berumur 5 tahun. Apabila berumur 7 tahun dia sudah pandai mengaji dan bersolat,” sambung baginda lagi.
“Sekiranya begitu kita suruh orang alim mengajarnya ilmu agama.”
“Kekanda sudah menyuruh beberapa orang ulama mengajar Sultan Muhammad mengaji al-Quran tetapi tidak diendahkannya. Inilah yang merunsingkan fikiran kekanda.”
“Kita cari ulama yang tegas dan garang bagi mengajarnya,”
“Baru kekanda teringat,” kata Sultan Murad selepas baginda diam seketika memikirkan sesuatu. “Ada seorang ulama bernama Syeikh al-Kurani. Dia terkenal sebagai seorang guru yang tegas dan garang sehingga ditakuti oleh anak-anak muridnya. Kanda suruh dia mengajar Sultan Muhammad mengaji..”
Syeikh al-Kurani merasakan ia suatu penghormatan apabila disuruh oleh Sultan Murad mengajar Sultan Muhammad mengaji al-Quran. Namun dia risau apabila mendapat tahu sudah beberapa orang ulama yang diberikan tugas itu gagal memujuk Sultan Muhammad mengaji. Namun dia tetap berazam tidak menghampakan harapan Sultan Murad.
Petang itu dia ke istana Sultan Murad. Kelihatan Sultan Muhammad sedang bermain-main di halaman istana dengan kawan-kawannya.mereka diawasi oleh Syeikh Rabbani.
“Alangkah kacaknya Sultan Muhammad. Bentuk badannya tegap, tenaganya kuat dan tinggi susuk tubuhnya. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung,” puji Syeikh al-Kurani yang diberi tugas mengajar Sultan Muhammad.
“Baginda memang seorang putera yang kacak tetapi agak degil dan keras hatinya. Sebelum tuan, sudah beberapa orang ulama dihantar ke sini bagi mengajarnya tetapi tidak diendahkannya,” kata Syeikh Rabbani yang ditugaskan sebagai penjaga keselamatan Sultan Muhammad.
“Saya sudah dimaklumkan oleh Sultan Murad perkara itu. Tetapi saya tidak pulang selagi baginda tidak mahu mengubah sikapnya, menuntut ilmu dengan saya,” kata Syeikh al-Kurani.
“Bagaimana tuan hendak melakukannya?” Tanya Syeikh Rabbani lagi.
“Saya sudah diberi kuasa oleh Sultan supaya memukulnya sekiranya baginda enggan,” jawab Syeikh al-Kurani.
“Saya bimbang cara itu menyakitkan dan merosakkan fikirannya.”
“Berdoalah semoga Tuhan memberinya hidayah.”
Bersambung siri ke-2 tajuk “Suatu Pengajaran”
No comments:
Post a Comment