Kembali Ke Laman Utama

Friday, December 11, 2009

Terbongkar kerja curang para Rahib

assalamualaikum wbt, artikel dibawah ini disalin daripada buku Nota kepada diri, 71 Nasihat agama dan akhlak, Nik Abd Aziz Nik Mat... selamat membaca...



Satu demi satu para nabi dipanggil oleh Allah SWT untuk ditanya adakah mereka telah menerima kitab atau wahyu yang disampaikan oleh Jibril sehingga sampai kepada giliran Nabi Musa bin Imran pula dipanggil oleh Allah taala untuk menjawab beberapa soalan.

Ketika Nabi Musa as datang menghadap Allah taala, keadaannya laksana sehelai daun kering ditiup angin yang kencang, kelihatan terumbang ambing. Wajahnya pucat lantaran terlalu gerun apabila Tuhan menyerunya, kedua-dua lututnya berlaga kerana menggeletar ketakutan.

Kemudian Allah taala bertanya kepada Nabi Musa as : “wahai anak lelaki Imran, Jibril telah menjelaskan bahawa kitab taurat yang dicatat olehnya di Luh Mahfuz telahpun diserahkan kepadamu. Benarkah apa yang telah dikatakan oleh Jibril itu?” Jawab Nabi Musa as, “Ya, memang benar bahawa kitab taurat telah diturunkan kepadaku,”.

Allah taala memerintahkan Nabi Musa supaya naik ke atas mimbar dan membacakan isi kitab taurat yang telah diterima daripada Jibril itu. Apabila Nabi Musa as naik ke atas mimbar, maka sekalian manusia yang berada di Mahsyar duduk bertafakur, senyap sepi tanpa sebarang suara. Kemudian Nabi Musa as membuka kitab Taurat yang setipa lembaran naskahnya masih segar, seolah-olah baru saja diterimanya. Golongan al-akhbar atau ulama Taurat yang ada bersama-sama disitu tercengang-cengang apabila melihat naskah Taurat yang dibaca oleh Nabi Musa as. Mereka hampir-hampir tidak mengenali kitab tersebut lagi. Kitab Taurat yang dibaca oleh Nabi Musa as semestinya berbeza dengan Taurat yang pernah dibaca oleh para rahib itu kerana Taurat yang di tangan mereka adalah Taurat yang telah diubah suai menurut kemahuan dan hawa nafsu.

Setelah selesai soal siasat terhadap Nabi Musa bin Imran, kemudian Allah taala menyeru pula Nabi Daud as.

Sebagaimana Nabi Musa as, demikian juga keadaan Nabi Daud yang dilanda rasa gerun, sehingga baginda terumbang-ambing ibarat daun kering yang ditiup angin. Menggeletar tubuhnya sehingga kedua-dua lututnya berlaga kerana terlalu takut apabila dipanggil oleh Allah taala.

Sebagaimana Nabi Musa as, Nabi Daud juga diminta bersaksi terhadap kenyataan malaikat Jibril as yang telah menyerahkannya kitab Zabur kepadanya. Nabi Daud as naik keatas mimbar memperdengarkan bacaan kitab Zabur dengan suaranya yang sangat merdu sehingga memukau para ahli Mahsyar yang mendengarnya.

Setelah selesai Nabi Daud as membaca kitab Zabur, kemudian Allah taala menyeru Nabi Isa as supaya menghadap. Kemudian malaikat segera membawa Nabi Isa anak Maryam dan diletakkan dihadapan pintu Mursalin. Nabi Isa as disoal oleh Allah taala dihadapan umatnya yang telahpun dihimpunkan dihadapannya: “ wahai Isa, engkaukah yang mengajar umatmu supaya menganggapmu dan ibumu sebagai Tuhan?”

Mendengar pertanyaan Allah taala yang sebegitu rupa, maka Nabi Isa as merendahkan diri sendiri. Setelah itu dia mengeluarkan ucapan tahmid dan tasbih kepada Allah taala memuji-muji keagungan Tuhan yang maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya.

Nabi Isa pun berkata: “ Ya Allah, Tuhan yang Maha suci, sesungguhnya aku tidak akan berkata melainkan apa yang sebenarnya. Kalau aku berkata tentang sesuatu nescaya kesemuanya dalam pengetahuan-Mu belaka kerana Engkau maha mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi,”.

Setelah itu Allah taala memerintahkan Nabi Isa as supaya naik keatas mimbar dan membaca kitab Injil. Nabi Isa pun membaca kitab Injil, ayat demi ayat dengan bacaan yang tartil menyebabkan sekalian umatnya dan paderi mereka terpegun. Dengan bacaan kitab Injil yang sebenar oleh Nabi Isa as itu, maka terbongkarlah segala penipuan para paderi yang telah mengubah isi kandungan kitab Injil yang menyebabkan mereka dan umat Nabi Isa as menjadi sesat.

Walaupun para paderi itu tidak pernah mengakui pengkhianatannya terhadap wahyu Allah taala, tetapi segala kerja curang mereka tidak dapat dilindunigi apabila Nabi Isa as membaca kitab Injil yang sebenar yang diwahyukan oleh Allah swt.

Setelah umat Nabi Isa mendengar ayat-ayat dari kitab Injil yang dibacakan itu, mereka menjadi dua puak. Golongan jahat termasuk para paderi yang curang akan berhimpun bersama-sama dengan golongan mujrimin(berdosa), sementara puak yang benar-benar beriman dengan Nabi Isa as dan juga ahli kitab Injil yang sebenar, akan dihimpunkan dikalangan orang-orang yang beriman.

2 comments:

  1. salam~~

    ada x smbungan tentng Muhammad s.a.w dgn Al-Quran

    ReplyDelete
  2. ada...klik pada http://umarfarouq.blogspot.com/2010/05/satu-daripada-seribu-masuk-ke-syurga.html

    ReplyDelete

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...