Kembali Ke Laman Utama

Monday, February 24, 2014

Orang Yang Berhak Ke Atas Zakat Itu Bukan Keturunan Bani Hashim

Di dalam Kitab Fiqhul Islam wa ‘Adillatuhu (Fasal Zakat) karangan Dr.Wahbah Az-Zuhayli ada menyebut bahawa Ahlulbait adalah haram menerina/memakan zakat. Ini kerana zakat adalah kotoran manusia sedangkan Ahlulbait mendapat 1/5 daripada khumus Baitulmal yang sudah mencukupi untuk mereka.
Sabda Rasulullah saw

“Sedekah-sedekah ini (zakat) adalah kotoran manusia yang tidak bernasib baik dan ia tidak halal kepada Muhammad dan bagi keluarga Muhammad.” (Riwayat Muslim)[i]

Ulama Hanafi dan Hanbali
Bani Hashim yang haram memakan zakat [ii]ialah keluarga Al-Abbas, keluarga Ali, keluarga Jaafar, keluarga Uqayl bin Abi Talib dan keluarga Al Harith bin Abdul Mutalib. Ini berdasarkan hadis yang lepas[iii].

Ulama Syafie[iv]
Mereka ialah Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib berdasarkan hadis,
“Sesungguhnya Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib adalah satu.” Lalu Rasulullah saw memasukkan jari kanan kepada jari kakinya dan menggenggamnya. (Riwayat Al Bukhari)[v]

Ulama Maliki[vi]
Mereka ialah Bani Hashim sahaja. Bani Abdul Mutalib bukanlah ahlulbait menurut pandangan mereka. Oleh itu menurut qaul yang masyhur, mereka layak diberi zakat.

Abu Hanifah, Ulama Mazhab Maliki dan sebahagian Ulama Syafie
Harus diberi zakat kepada keluarga Bani Hashim jika mereka tidak dapat saham Zawil Qurba dan Baitulmal. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan mereka. Menurut Al Dasuqi (daripada mazhab Maliki) berkata pemberian zakat kepada mereka dalam keadaan begini lebih baik daripada member kepada orang lain. Menurut kebanyakan ulama, mereka boleh diberikan sedekah sunat.






[i] Riwayat Muslim daripada hadis yang panjang riwayat daripada Abdul Mutalib bin Rabi’ah secara marfu’. Diriwayatkan juga oleh Kumpulan Lima (Ahmad dan Penulis Sunan) daripada Abu Rafi’ yang beerti, “sadaqah (zakat) tidak halal untuk kami.” Nasb al-Rayah, Jil.ii,hlm.403; Nayl al Autar Jil. Iv, hlm. 174.
[ii] Al-Bada’i, Jil.ii,hlm. 49;Kasysyaf al-Qina’;Jil.ii,hlm. 339.
[iii] Bani Hashim ialah keturunan Hashim seperti Abbas, Hamzah, Abu Talib, Abu Lahab, dan anak-anak Fatimah. Ulama hanafi memasukkan pula keluarga Abu Lahab bin Abdul Mutalib kerana diriwayatkan bahawa ‘Atabah dan Mu’tab, 2 anak Abu Lahab masuk Islam pada tahun pembukaan Mekah, tetapi Nabi saw merahsiakan pengislaman mereka dan baginda mendoakan mereka. Keduanya menyertai peperangan Hunain dan Taif, dan kedua mereka mempunyai keturunan. Nayl al Autar, Jil.iv. hlm.172. Hashim ialah moyang Nabi saw iaitu bapa Abdul Mutalib.
[iv] Syarh al-Majmu;Jil.vi,hlm. 244 dan seterusnya.
[v] Riwayat Al Bukhari daripada Jubair bin Mu’tam.
[vi] Al Syarh al Saghir,Jil.i.hlm.649;al Syarh al Kabir,Jil.i.hlm.493

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...