Ibnu Jaziy ada menyebut beberapa
perkara yang sangat penting kepada setiap jiwa Muslim yang melaksanakan
tuntutan berzakat. Antaranya disebutkan;
1) Jangan sekali-kali membatalkan
zakat dengan mengungkit-ungkit, kerana ia akan merosakkan pahala amalan. Sebagaimana
firman Allah swt (Al Baqarah:264)
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala)
sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)…”
2) Tidak mengambil kembali zakat
yang dikeluarkan.
3) Jangan mengumpul pemilik zakat
ditempat pemberian itu, tetapi hendaklah dibawa zakat ke tempat mereka.
4) Hendaklah dikeluarkan zakat
dengan penuh keikhlasan hati.
5) Hendaklah dikeluarkan zakat itu
daripada hasil atau harta yang terbaik dan yang paling disayangi oleh
pengeluarnya. Manakala bagi amil pula, hendaklah ia mengambil harta zakat
daripada harta yang sederhana.
6) Hendaklah dikeluarkan zakat
dengan cara menyembunyikan ia daripada pandangan manusia bagi mengelakkan
perasaan riya’ menurut pandangan ulama mazhab Hanafi. Jika untuk dijadikan
teladan dan ikutan kepada orang lain supaya melaksanakannya, maka tidak
mengapa. Ulama’ mazhab Syafie dan Hanbali menggalakkan ia dilaksana secara
terbuka selain ia juga terhindar daripada fitnah (buruk sangka) terhadapnya.
7) Hendaklah diwakilkan kepada orang
lain untuk mengeluarkannya bagi mengelakkan diri dipuji.
8) Hendaklah orang yang mengeluarkan
zakat itu berdoa dan didoakan pula oleh amil.
Doa oleh pengeluar zakat.
"Ya Allah jadikanlah ia untung,
dan jangan jadikan ia rugi."
Doa oleh Amil Zakat.
"Mudah-mudahan Allah memberi pahala
kepada apa yang kamu berikan. Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada
harta kamu yang ada pada kamu dan mudah-mudahan Allah menjadikan harta kamu
suci bagi kamu."
9) Hendaklah dipilih orang yang
hendak diberikan zakat kepadanya iaitu dipilih orang yang bertaqwa, berilmu,
orang (penerima) yang menyembunyikan kefakiran dan yang mempunyai talian
persaudaraan (kekeluargaan) kerana memberi zakat kepada mereka ertinya membantu
mereka mentaati Allah swt, membantu memperolehi ilmu dan membantu mengurangi
kemiskinan atau penderitaan. Hasilnya turut dikurniakan pahala dan juga
menghubungkan talian silaturrahim.
10) Hendaklah bersegera dalam
menunaikan zakat kerana menjunjung perintah Allah swt atas kesedaran yang ia
wajib dikeluarkan dengan kadar segera. Jika dilambatkan atas alasan hendak
mencari orang yang berhak menerimanya seperti mencari keluarga atau orang yang
paling berhajat kepadanya. Menurut pendapat mazhab Hanbali, jika tidak terlalu
lewat pemberiannya, maka ia adalah harus. Malah harus juga diberi secara
sedikit demi sedikit secara berterusan umpamanya secara bulanan.
11) Sunat memberikan zakat kepada asnaf
fakir dan miskin menurut kadar yang cukup sehingga dia tidak perlu
meminta-minta apa yang diperlukannya pada hari itu bagi diri dan keperluannya,
menurut daripada pendapat ulama’ Hanafi.
12) Tidak perlu diberitahu kepada
fakir tentang yang diberikan zakat kepadanya itu merupakan pemberian zakat.
Rujukan: Fiqhul Islam, wa 'Adillatuhu,Fasal 1: Zakat: Dr. Wahbah Az-Zuhaily,m/s 981-984.
No comments:
Post a Comment