Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 28, 2012

Zakat Pada Era Rasulullah saw


Zakat pada zaman Nabi Muhammad saw terbahagi kepada 2 era, iaitu era Mekah dan era Madinah. Pada era Mekah, zakat disebutkan oleh Dr. Yusof Al Qardhawi sebagai zakat yang tidak terikat. Zakat pada ketika ini lebih tertumpu kepada membela nasib golongan fakir dan miskin di samping meningkatkan ukhuwah di kalangan umat Islam yang masih baharu memeluk Islam. Belum ada ketetapan pada nisab, haul. Kadar dan jenis-jenis harta yang diwajibkan zakat.

Semasa era Madinah, baru hukum zakat yang lebih terperinci diturunkan. Ia meliputi siapakah yang wajib berzakat, siapakah yang berhak ke atas zakat, tatacara menunaikannya dan jenis harta yang diwajibkan zakat termasuklah zakat fitrah. Baginda nabi saw juga melantik para amil zakat dan menghantarnya ke seluruh wilayah pemerintahan Islam bagi mengutip zakat.

Sebelum wafat, baginda telah meninggalkan wasiat kepada khalifah yang akan menerajui tampuk pemerintahan supaya mengambil zakat madu. Maka dapat dilihat pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar, beliau mengutip zakat madu sebagaimana wasiat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw.

Dalam pada itu, Rasulullah saw juga meletakkan asas yang kukuh dalam konteks pentadbiran zakat. Nabi saw memperkenalkan prinsip pengasingan kuasa, pengagihan tugas, perekodan dan elemen penguatkuasaan dalam pengurusan zakat. Baginda mengamanahkan Bilal bin Rabah r.a menjaga dan mengagihkan harta zakat manakala Zubair bin Al-Awwam r.a dan Al Jahm bin Al-Sult r.a ditugaskan sebagai pendaftar dan juruaudit. Uttab bin Usayd r.a pula dilantik sebagai pengurus zakat di Kota Mekah. Bagi mencatat kemasukan harta, Nabi saw melantik Muaiqib bin Abi Fathimah r.a untuk mencatat ghanimah, Zubair bin Al Awwam r.a mencatat harta perolehan zakat. Huzaifah bin Yaman r.a mencatat hasil kemasukan dari Hijjaz dan Abdullah bin Rawahah r.a mencatat kemasukan dari Khaibar.

Dalam aspek pengagihan zakat, Nabi saw meletakkan suatu piawaian yang kukuh kepada siapakah yang patut diberi zakat dan siapa ditegah menerima zakat. Dengan adanya piawaian itu, memudahkan kepada fuqaha menentukan kriteria penerima zakat dan meletakkan prioriti ke atas asnaf.

Baginda saw juga mengamalkan konsep al-fauran (segera) itu harta zakat yang dikutip perlu segera diagihkan dalam waktu yang singkat. Baginda menguruskan sendiri harta zakat dengan dibantu oleh amil-amil yang dilantik. Dengan konsep menyegerakan agihan ini, maka setiap kali adanya harta masuk, maka Rasulullah saw segera mengagihkan untuk kepentingan kaum Muslimin.

Aisyah r.a meriwayatkan Rasulullah saw bersabda: “Lazimnya, lebihan zakat (yang tidak dikira dan dibiarkan) bercampur dengan mana-mana harta (maka tidak memberikan kebaikan) melainkan ia akan membinasakan harta itu.” (Riwayat Imam As-Syafie)

Sumber: "Eksklusif Zakat; Hamizul Abdul Hamid, m/s 150-151"

No comments:

Post a Comment