Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 7, 2012

Helah Sultan Muhammad Bahagian 2


“Sekiranya begitu, lebih baik kita pergi ke Kota Constantinople meminta bantuan daripada Maharaja Constantine. Kita berundur bukan beerti kita penakut tetapi sebagai persiapan menghadapi peperangan yang lebih besar,” kata Hector.

Akhirnya mereka mencapai kata sepakat meninggalkan Orland lalu menuju ke Constantinople. Apabila Sultan Muhammad dan tenteranya sampai, mereka dapati puak pemberontak sudah meninggalkan Orland. Yang tinggal cuma kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua sahaja.

“Mereka sengaja meninggalkan kaum yang lemah kerana yakin kita tidak membunuh mereka,” kata Sultan Muhammad.

“Puak pemberontak sedang dalam perjalanan ke Constantinople. Tentera kita sudah bersiap sedia mengejar mereka. Cuma menunggu perintah daripada tuanku,” kata Panglima Tharhan.

“Biarkan mereka pergi. Tentera kita tidak perlu mengejar mereka,” jawab Sultan Muhammad.

“Bagaimana dengan isteri dan anak-anak mereka?” Tanya Khalil Pasya pula.

“Jangan diganggu kerana mereka bukan musuh kita.” Pesan Sultan Muhammad kepada tenteranya.
Tentera Turki tidak mengapa-apakan penduduk Orland malah memberikan perlindungan. Mereka yang sakit diberikan rawatan dan mereka yang lapar diberikan makanan.

Hector dan pasukan tenteranya sampai ke Constantinople, lalu menghadap Maharaja Constantine. Apabila mendapat tahu Sultan Muhammad bersama angkatan tenteranya berada di Orland, Maharaja Cosntantine memerintahkan angkatan tenteranya bersiap sedia bagi berperang. Kemudian mereka menuju ke Orland.

Selepas hampir seminggu berada di Orland, Sultan Muhammad Al-Fateh bercadang hendak pulang semula ke Turki. Dalam perjalanan pulang mereka terserempak dengan tentera Constantinople. Kedua-dua pasukan sedia berperang.

“Tentera kita sudah sedia berperang dengan musuh walaupun bilangan mereka lebih ramai daripada kita,” beritahu Panglima Tharhan dengan penuh bersemangat.

“Nampaknya kita berperang jauh dari Kota Constantinople,” kata Khalil Pasya pula.

“Sebelum berlaku peperangan, saya mahu berunding dengan Maharaja Constantine. Aturkan pertemuan saya dengan dia,” kata Sultan Muhammad Al Fateh.

Panglima Tharhan mengatur pertemuan antara Sultan Muhammad Al Fateh dengan Maharaja Constantine. Pertemuan empat mata itu berjalan dengan baik.

“Bagaimana sekiranya kita elakkan terjadinya pertempuran?” Tanya Sultan Muhammad Al Fateh kepada Maharaja Constantine.

“Aku dan tenteraku datang ke sini mahu berperang. Sekiranya engkau takut mati, lebih baik menyerah sahaja,” tempelak Maharaja Constantine.

“Aku dan tenteraku tidak mungkin menyerah kalah. Tambahan pula tentera bantuan Turki pasti tiba ke sini tidak lama lagi. Sekiranya engkau inginkan peperangan, bersedialah mati,” gertak Sultan Muhammad pula.

Maharaja Constantine mulai gusar apabila mendapat tahu tentera bantuann dari Turki bakal tiba bila-bila masa. Melihat keadaan itu, Sultan Muhammad Al Fateh terus memberi tekanan.

“Engkau dan tentera engkau berada di sini. Kini Kota Constantinople mudah kami takluki. Ketika pertempuran berlaku, aku perintahkan sebahagian daripada tentera pergi ke Constantinople. Itu adalah perancangan aku sejak dari mula,” kata Sultan Muhammad.

Semakin gentar Maharaja Constantine mendengarnya. Baginda tidak menyangka anak muda itu begitu bijak mengatur strategi peperangan. Baginya Kota Constantinople itu lebih berharga daripada segalanya.

“Baiklah, aku setuju kita berdamai tetapi dengan suatu syarat….” Kata Maharaja Constantine.
“Apa syaratnya?” Tanya Sultan Muhammad Al Fateh.

“Engkau perlu membayar wang tebusan kepada kami,” jawab Maharaja Constantine.

“Apa perlunya kami membayar wang tebusan kepada engkau?” Tanya Sultan Muhammad.

“Bagi memujuk tentera aku. Dengan adanya wang tebusan, tentera aku tidak berasa marah dan kecewa pulang ke Constantinople,” jawab Maharaja Constantine.

“Bagaimana pula dengan tentera aku? Mereka juga tidak puas hati sekiranya berundur begitu sahaja seolah-olah kami takut mati.”

“Begini sahajalah, kita sama-sama beritahu tentera kita masing-masing bahawa kita mendapat wang tebusan bagi mengelakkan terjadinya peperangan,” cadang Maharaja Constantine.

“Baiklah aku setuju,” balas Sultan Muhammad.

Akhirnya pertempuran dapat dielakkan. Kedua-dua pasukan tentera berundur dari Orland. Maharaja Constantine pulang ke Kota Constantinople manakala Sultan Muhammad pulang ke Turki.

Apakah yang menyebabkan Sultan Muhammad Al Fateh berfikiran sebegitu rupa? Bahkan tentera yang dibawa bersama baginda bukankah dilatih memiliki semangat cintakan syahid sebagaimana musuh mencintai dunia? Ikuti kisah selanjutnya bagi mendapatkan kebenaran tindakan baginda di episod baru bertajuk “Bukan Mungkir Janji Bahagian 1”

Sumber: Novel Sejarah Islam, Sultan Muhammad Al Fateh; Penakluk Constantinople oleh Abdul Latip Talib.

No comments:

Post a Comment