Sebagaimana yang telah dijelaskan
dalam kandungan perlaksanaan usrah/halaqah yang lalu, dalam menentukan kayu
ukur keberhasilan usrah adalah merupakan point yang sangat penting diperhatikan
oleh setiap penggerak usrah bagi membuat ‘review’ terhadap pelan tindakan usrah
dan mencapai objektifnya. Sasaran elemen yang utama dalam menggerakkan usrah ini
adalah mad’u yakni anggota usrah yang akan
menjadi mata rantai atau penyambung kepada generasi yang seterusnya
dalam menyebarluaskan fikrah islamiyah terhadap mad’u berikutnya seperti
hierarki sistem pyramid.
Sebagai penilaian dan panduan
bagi para nuqaba’, inilah sebahagian pemerhatian umum terhadap titik
keberhasilan usrah yang dilaksanakan terhadap pembinaan individu yang diasuh
mengikut acuan tarbiyah Islam.
11) Kehadiran
anggota usrah secara konsisten atau berterusan. Ini menandakan mereka merasakan
bahawa input serta pengisian usrah memberikan sesuatu yang bermakna buat diri
mereka samada di sudut ilmu, ketenangan hati mahupun dari sudut ukhuwah yang
terbina.
22) Berikutnya,
mereka juga tidak ketinggalan dalam melibatkan diri dalam program yang diatur
oleh organisasi serta pimpinan samaada berbentuk majlis ilmu, pengajian serta
pertemuan-pertemuan yang diatur.
33) Di
samping itu juga, kesan terhadap individu juga akan terpancar dilihat apabila
mereka tidak lagi membiasakan amalan-amalan yang tidak memberikan manfaat sama
ada kepada diri, keluarga, masyarakat dan organisasi. Tugas serta peranan naqib
di sini adalah sangat penting dalam memantau serta memberi perhatian kepada
anggotanya agar tidak berlebihan dalam unsur-unsur yang merosakkan diri anggota
usrah.
44) Kualiti
pembinaan anggota usrah juga akan dapat dilihat kepada terbentuknya generasi
anggota usrah yang sanggup memikul beban dalam melaksanakan amanah-amanah yang
dipertanggungjawabkan serta sentiasa mengutamakan gerak kerja yang diatur oleh
organisasi.
55) Seterusnya,
keberkesanan usrah terhadap anggota juga akan dapat dilihat apabila semangat
sanggup berkorban wujud dalam diri anggota usrah dalam hal ehwal melibatkan
masa, kewangan, idea pemikiran, dan sebahagian daripada urusan aktiviti
kehidupan lebih diperuntukkan untuk organisasi dan juga perjuangan Islam itu
sendiri.
6) Termasuk
juga tanda keberhasilan usrah dapat ditentukan sehingga anggota usrah mencapai
tahap sehingga bersedia serta sanggup mempertahankan nama baik organisasi dan
maruah organisasi sama ada mempertahankannya dengan hujah-hujah dan fikrah
Islamiyah. Jauh daripada itu lagi ialah sehingga ia mampu untuk menyebarluaskan
lagi pengaruh gerakan Islam ke atas segenap lapisan masyarakat sehingga
disertai oleh mereka.
Begitulah sedikit sebanyak kandungan
nota yang dapat dikongsikan bersama buat pencinta gerakan Islam di Malaysia
khususnya Parti Islam Se-Malaysia bagi memastikan pembinaan individu Muslim
yang dibentuk mengikut acuan serta tarbiyah yang disusun. Adapun dengan itu,
apa yang paling penting sekali ialah setiap naqib harus memperbaiki beberapa
kelemahan yang barangkali belum mampu dicapai di samping membuat penialaian,
strategi bagi meminimakan ketidaksempurnaan yang wujud. Semoga para nuqaba
sentiasa bersabar dalam menghadapi mehnah dan tribulasi yang menimpa dan
sentiasa meyakini pertolongan daripada Allah swt. InsyaAllah, sekian.
Dipetik dan diolah daripada buku
“Usrah dan Harakah”-Beberapa Panduan Asas, oleh Ustaz Ya’qub Muhammad Hussin,
untuk koleksi Pustaka Tarbiyah Albanna.
No comments:
Post a Comment