Kembali Ke Laman Utama

Sunday, July 10, 2011

Retak Menanti Belah Bahagian Pertama

“Belanjakanlah (harta bendamu) pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” –Surah Al-Baqarah:195-

“Saya mahu menyampaikan 2 berita kepada tuanku. Satu berita baik dan satu berita buruk. Berita yang mana satukah saya perlu sampaikan dahulu?” tanya Panglima Ardogan sebaik sahaja menghadap Maharaja Constantine.

“Sampaikan dahulu berita yang baik supaya aku tidak marah apabila engkau menyampaikan berita buruk,” jawab Maharaja Constantine.

“Ahli nujum kita pernah meramalkan selepas Sultan Murad mangkat, berlaku perebutan kuasa. Kerajaan Islam Uthmaniyyah menjadi huru-hara dan mereka berbunuhab sesama sendiri,” kata Panglima Ardogan.

“Adakah Sultan Murad sudah mangkat?” tanya Maharaja Constantine. Baginda seolah-olah tidak sabar menunggu jawapannya.

“Itulah berita gembira yang hendak saya sampaikan. Sesungguhnya kerajaan Uthmaniyyah baru sahaja kehilangan pemimpin yang mereka sayangi. Sultan Murad sudah mangkat,” jawab Panglima Ardogan sambil tersenyum.

Betapa gembiranya Maharaja Constantine mendengar berita gembira itu. Baginda tertawa terbahak-bahak kerana musuh ketatnya sudah tidak ada lagi. Tetapi gelak tawanya tiba-tiba terhenti apabila teringat berita buruk yang hendak disampaikan oleh ketua panglima tenteranya itu.

“Sekarang beritahu aku berita yang kedua itu,” kata Maharaja Constantine. Mukanya serius

Perebutan kuasa yang kita harapkan tidak berlaku. Sultan Muhammad yang baru berusia 19 tahun mengambil alih kuasa pemerintahan tanpa bantahan sesiapa. Kerajaan Islam Uthmaniyyah semakin kuat selepas Sultan Muhammad mengambil alih kuasa pemerintahan,” beritahu Panglima Ardogan.

“Sesungguhnya itu bukan berita buruk tetapi berita yang baik,” kata Maharaja Constantine pula. Baginda kelihatan tersenyum gembira.

“Tuanku kata itu berita baik? Apa maksudnya?” tanya Panglima Ardogan. Dia tidak dapat membaca apa yang tersirat.

Sultan Muhammad masih muda. Dia belum ada pengalaman. Tentu dia tidak mampu memerintah sebuah negara yang luas tanah jajahannya. Dengan ini kita berpeluang menjatuhkannya. Tidakkah itu sesuatu yang menggembirakan?” tanya Maharaja Constantine pula.

“Tetapi tuanku, Sultan Muhammad pernah memangku tugas Sultan Murad semasa baginda pergi bercuti ke Pulau Magnesia. Kita tidak berjaya memperdayakan Sultan Muhammad yang ketika itu baru berusia 16 tahun. Adakah tuanku sudah lupa?” tanya Alexi pula.

“Aku tidak pernah lupa kepada orang yang menjadi musuhku. Apatah lagi Sultan Muhammad yang pernah memalukan kita. Kerana itu kita mesti berusaha menjatuhkannya,” kata Maharaja Constantine. Dendam kesumatnya semakin meluap-luap.

“Benar kata tuanku. Izinkan saya mengerah bala tentera kita pergi memerangi Kerajaan Uthmaniyyah dan jatuhkan Sultan Muhammad,” kata Panglima Ardogan pula.

“Kita tidak boleh bertindak terburu-buru. Buat perancangan yang teliti dan rapi supaya kita tidak kecewa lagi, ternyata Maharaja Constantine tidak menyetujui cadangan panglimanya.

“Baiklah tuanku,” kata Panglima Ardogan.

“Saya ada satu cadangan,” kata Alexi yang terkenal dengan kebijaksanaannya.

“Sila nyatakan,” ujar Maharaja Constantine.

“Orang-orang Yunani yang tinggal di Orland sudah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah. Kita hasut mereka supaya memberontak. Kemudian kita bekalkan mereka dengan senjata. Apabila berlaku huru-hara, kerajaan Uthmaniyyah akan menjadi lemah. Dengan itu kita boleh menumbangkan Sultan Muhammad dengan mudah.”

Ternyata Maharaja Constantine tertarik dengan cadangan itu. Baginda mengarahkan Panglima Ardogan menjalin hubungan dengan orang-orang Yunani di Orland.

Berangkatlah ketua panglima Rom itu ke Orland menemui ketua orang-orang Yunani. Dia berusaha memujuknya.

Apakah rombongan pasukan menteri-menteri Rom ini berjaya mengumpan penduduk Yunani di Orland supaya bertindak memberontak ke atas pemerintahan Islam kerajaan Uthmaniyyah? Kebencian kuasa besar dunia ketika itu ke atas Kerajaan Islam menghalalkan apa sahaja tindakan termasuk mempergunakan rakyat yang lemah serta mengambil peluang di atas apa jua ruang yang terhidang demi memastikan kuasa pemerintahan Islam lenyap di muka bumi ini. Nantikan episod seterusnya, “Retak Menanti Belah Bahagian 2” akan datang. Setia bersama blog ini.

Sumber Petikan: Buku Novel Sejarah Islam, Abdul Latip Talib, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constantinople

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...