Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, July 19, 2011

Luqatah – Penemuan Bahagian Pertama

Luqatah dalam bahasa arab membawa maksud sesuatu yang ditemui di tanah. Menurut Ibn Malik, perkataan al-Laqatah boleh dibaca dalam banyak bentuk, sama ada dengan luqtah, dan luqatah. Menurut Khalil bin Ahmad, ia dibaca sebagai laqatah. Kesemuanya membawa maksud barang yang tercicir.

Mengikut Syarak

Membawa maksud harta atau hak iktisas [i]yang dihormati yang ditemui di sesuatu tempat yang tidak dimiliki, tidak terjaga [ii]dan penemu tidak mengenali tuannya. Ibn Qudamah berkata, “Laqatah bermaksud harta yang hilang daripada pemiliknya dan ditemui oleh orang lain. Dalam Kitab Tatarkhaniyyah daripada ulama Hanafi mendefinisikan laqatah sebagai harta jumpaan yang tidak diketahui pemilik atau tuannya. Ia bukan harta yang diharuskan seperti harta perang.

Dr. Wahbah Az-Zuhaili berkata: Dalam perbahasan Fiqh, ulama hanafi dan ulama yang lain membezakan makna bagi kalimat al-laqit, al-Luqatah dan al-Dalah. Penjelasan bagi makna al-Laqit iaitu anak pungutan dan hukum-hukum mengenainya dan juga akan dijelaskan dua jenis barang tercicir dan penemuan binatang yang lari atau sesat.

Harta dan Barang Hilang

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, harta ialah barang-barang yang berharga seperti rumah, tanah, barang-barang kemas dan sebagainya yang dipunyai oleh seseorang, syarikat, pertubuhan dan lain-lain.

Kebanyakan para ulama pula berkhilaf dalam memberikan makna terhadap harta seperti pandangan berikut:

Al-Syarkhasi: Ia adalah nama yang difikirkan bagi maslahat kita, tetapi dengan iktibar sefat berkembang dan dipelihara. [Al-Mabsut (7/79)]
Imam Syafie: Yang mempunyai nilai untuk dijual dan dikenakan ganti bagi yang melupuskannya sekalipun sedikit. (al-Asybah wa al-Nazair oleh Al-Suyuti, hal.533)
Imam Nawawi: Setiap yang berkembang dan dimiliki sekalipun sedikit. [Al-Minhaj (2/247)]

Pengertian Hilang

Bermaksud tidak kelihatan lagi dan lenyap.

Menurut syarak berdasarkan hadis nabi saw;

“Kenalilah ikatan atau bungkusannya. Kemudian umumkan selama setahun. Jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemilinya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya.”
-Riwayat Al-Bukhari (2295) dan Muslim (1722)-

Hukum Mengambil Barang Luqatah

Apabila seorang Muslim menemui Luqatah (benda tercicir seperti yang disebutkan dalam pengertian), perlukah dia mengambil atau membiarkannya?

Jawapan: Penemu digalakkan mengambilnya jika dia yakin mampu bersifat amanah dan bimbang benda tersebut tidak akan ditemui oleh pemiliknya. Ini dilakukan bagi menjaga hak saudara seIslamnya.

Jika dia bimbang benda tersebut akan hilang, dia diberikan pilihan sama ada untuk mengambil atau membiarkannya.

Jika dia yakin benda tersebut akan hilang kerana berdasarkan pengetahuannya, tiada orang lain yang boleh dipercayai di kawasan itu, dia wajib mengambilnya kerana menjaga harta orang Islam adalah wajib.

Jika dia tidak yakin akan bersikap amanah dan bimbang dia sendiri akan mengambil terus barang tersebut, makruh bagi dirinya tidak akan bersikap amanah dan akan mengambilnya untuk memilikinya dan bukan untuk dikembalikan, haram baginya mengambil barangan tersebut.
Rasulullah saw bersabda, “Orang yang mengambil barang yang hilang adalah berdosa selagi dia tidak mengumumkannya.”




[i] Hak iktisas bermaksud sesuatu yang tidak dibenarkan syarak untuk menjadi milik tetapi boleh menjadi pegangan atau dijadikan oleh seseorang khusus untuknya, contohnya anjing. Yang dihormati bermaksud sesuatu yang tidak dibenarkan syarak untuk menjadi harta tertentu mestilah diiktiraf oleh syarak. Oleh itu peralatan yang melalaikan, arak dan khinzir tidak dianggap sebagai harta yang dihormati. Begitu juga harta milik seorang kafir harbi. Manakala hak iktisas yang dihormati adalah seperti anjing pemburu atau anjing pengawal. Jika ia tidak menepati ciri-ciri ini maka ia tidak diterima sebagai hak yang dihormati.

[ii] Tidak terjaga bermaksud tiada tanda-tanda yang harta tersebut dijaga, dimiliki dan diletakkan di tempat tersebut untuk dijaga, ataupun tempat tersebut tidak dikawal iaitu tidak dilindungi dan tidak digunakan untuk menyimpan sesuatu.

Petikan: Luqatah (Penemuan); Oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri

No comments:

Post a Comment