Kembali Ke Laman Utama

Sunday, April 3, 2011

Talhah Bin Ubaidillah – Sedia Berkorban Untuk Rasulullah Saw

Seusia umurnya 18 tahun, beliau disapa hidayah Allah taala untuk memeluk Islam, pada sekitar tahun 615 M setelah berjumpa dengan seorang pendeta Nasrani yang memberi khabar kemunculan seorang Nabi dan beliau segera beriman sewaktu di Busra. Ibunya bernama Sa’abah bt Al-Hadhrami. Beliau sememangnya terkenal sebagai salah seorang saudagar kain yang kaya raya. Di dalam Kitab Muqaddimah karya masyhur Ibnu Khaldun memperihalkan bahawa sewaktu di era pemerintahan Uthman, pendapatan harian Talhah dari seluruh penjuru Iraq berjumlah 1000 dinar emas.

Talhah bin Ubaidillah, bukan calang-calang manusia yang bergelar sahabat Nabi saw. Beliau tersenarai dalam janji Nabi saw diantara 10 orang sahabat r.a yang dijamin akan memasuki syurga Allah taala. Beliau menyertai perang Uhud dan beberapa peperangan lain selepasnya, namun tidak sempat menyertai Perang Badar kerana berada di Syam pada ketika itu. Beliau mati syahid di dalam Perang Jamal pada tahun ke-36 H, sewaktu usianya mencecah 62 tahun.

Syuhada Yang Hidup

Talhah, sahabat yang kuat daya juangnya dan sifat beraninya mengatasi segala kemuncup gertakan dari musuh Islam di medan juang. Pada tahun ke-3H, sewaktu berlakunya peperangan Uhud yang mana pihak tentera Quraisy yang melakukan serangan mengejut hasil penawanan bukit yang menjadi kondisi pemanah tentera Islam dari strategis perang, Khalid Al-Walid yang masih belum Islam, Talhah merupakan antara insan yang membuktikan kesetiaan cintanya terhadap Rasulullah saw.Perang Uhud merupakan medan membalas dendam oleh Kafir Quraisy, dimana kesungguhan mereka untuk membunuh Rasulullah saw dan umat Islam. Di saat Nabi saw mendapat rempuhan hebat dari Quraisy yang membolehkan lawan mencederakan Rasulullah saw sehingga luka, Talhah bin Ubaidillah adalah antara insan yang berusaha menjadikan dirinya sebagai perisai kepada tubuh Rasulullah saw. Serangan bertubi-tubi dari Quraisy yang mempunyai dendam kesumat yang mendalam sejak peristiwa kekalahan memalukan mereka di medan Badar untuk membunuh nabi saw, mengakibatkan Talhah menerima 39 liang luka dibadannya kesan tikaman pedang yang menghiris, tusukan tombak yang tajam serta anak panah yang mendatang. Bahkan, jari jemari tangannya juga putus untuk melindungi jasad mulia itu. Ia langsung tidak menghiraukan luka yang diterimanya, bahkan tangannya sempat memangku tubuh Rasulullah saw sambil pedangnya menghayung ke arah musuh. Beliau beraksi laksana memiliki kekuatan 11 orang pahlawan. Bersama dengan beliau adalah Saad bin Abi Waqqas yang memanah bertubi-tubi ke arah musuh melindungi Nabi.

Maka, tidak hairanlah mengapa beliau diberikan jaminan oleh Rasulullah saw bahawa syurga menanti dengan percuma untuknya. Bahkan Rasulullah saw pernah bersabda bahawa “Sesiapa yang ingin melihat seorang syahid berjalan di muka bumi Allah, maka lihatlah pada Talhah bin Ubaidillah,” sebagaimana yang direkodkan oleh Tirmizi dan mengikut Imam Suyuthi ia adalah bertaraf sahih. Inilah pengorbanan yang cukup hebat untuk agama, melindungi jasad Rasulullah tatkala tubuh memikul nyawa yang hampir hilang.

Ketika Perang Jamal meletus beliau berada di pihak Saidatina Aisyah bt Abu Bakar bersama Zubair ibn Awwam menentang Khalifah Ali bin Abi Talib. Beliau akhirnya terkorban akibat lembing beracun yang dilemparkan oleh Marwan bin Al-Hakam. Perang lain yang turut disertai beliau ialah Peperangan dengan Rom-Byzantine

 Sumber Olahan:
1.       Buku Fiqh Al-Harakah 2 Dari Sirah Nabawiyyah, Oleh TG Haji Abdul Hadi Awang, “Pasukan Memanah Melakukan Kesilapan”, m/s 151
2.       Buku Minda Muslim Super, “Talhah bin Ubaidillah (Yang Sedia Berkorban)” oleh Dr. Danial Zainal Abidin,m/s 375-378

3 comments:

  1. salam,
    Aku bakal dapat anak lelaki InsyaAllah, teringin juga menamakannya sebagai Talhah, syahid yg berjalan di muka bumi, InsyaAllah.

    ReplyDelete
  2. wassalam...
    rancang dengan segera kelahiran perjalanan bakal wira

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah dah selamat lahir anak lelakiku, cuma last minute namanya berubah dari yg dirancang. Nama Sahabat Nabi SAW juga dan juga sahabat kepada Talhah bin Ubaidillah iaitu Az-Zubair. InsyaAllah ada umur ada rezeki InsyaAllah aku akan namakan anak lelakiku yg seterusnya Talhah.

    Teruskan menulis dan berkongsi Ilmu, moga Allah memberkati kau dan keluarga kau.

    ReplyDelete

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...