Seseorang Fasilitator kumpulan adalah pemegang amanah organisasi dalam agenda tarbiyyah/mendidik. Oleh itu ia hendaklah sentiasa menyedari bahawa tanggungjawab berikut berada di bawah tanggungjawabnya:
1. Sentiasa menyedari bahawa ia adalah pemimpin dan pendidik kepada kumpulan halaqah berkenaan. Oleh itu ia menjadi qudwah kepada halaqahnyanya dalam semua segi.
2. Bertanggungjawab menyalurkan ‘ilmu dan mendidik anggota halaqah dalam agama, fikrah, ‘amal dakwah dan perjuangan Islam, serta kesetiaan dan kepatuhan kepada organisasi dan pimpinan.
3. Memastikan kandungan halaqah yang disampaikan menepati kehendak organisasi dakwah dan disampaikan secara bijaksana.
4. Memastikan proses pembinaan individu seiring dengan proses menyampaikan ilmu dan pendekatan tadarruj(beransur-ansur) dan hikmah hendaklah digunakan.
5. Sentiasa menggalakkan mahabbah dan ukhuwah di kalangan ahli-ahli halaqah sama ada di dalam atau di luar majlis halaqah.
6. Sentiasa mengingati dan menggalakkan ahli-ahli halaqah supaya memperelokkan ‘amal ibadah sama ada yang wajib atau yang sunat. Ia dapat dilakukan dengan cara mengadakan qiyamullail beramai-ramai dan saling bermuhasabah.
7. Sentiasa mengikuti perkembangan anak-anak buahnya supaya dengan cara itu bakat-bakat kebaikan dan kepimpinan mereka dapat dicungkil dan ditingkatkan.
8. Sentiasa menggalakkan dan mendidik ahli dengan semangat pengorbanan, kerja-kerja organisasi/persatuan dan dakwah sesuai dengan bakat dan kebolehan mereka.
9. Mewujudkan sebuah tabung halaqah dan menggalakkan ahli-ahli menyumbang kepada tabung ini walaupun dengan kadar yang kecil. Tabung ini dapat digunakan bila kecemasan dan wujud keperluan mendesak.
10.Janganlah ia membiarkan anak-anak buahnya yang susah terlantar menanggung penderitaan atau kepayahan bersendirian. Ia hendaklah bersungguh-sungguh membantunya bagi meringankan masalah dan bebanan.
11.Sebaiknya seseorang fasilitator hendaklah mempunyai sebuah buku catitan khas, supaya di dalamnya dicatat setiap perkara penting yang ingin disampaikan sama ada berkaitan ilmu ataupun arahan-arahan kerja dari pimpinan organisasi atau data-data peribadi anak-anak buahnya.
12.Sekiranya timbul sesuatu persoalan dan permasalahan hendaklah ia bersegera berusaha memberikan jawapan dan penyelesaian, walaupun dengan sekadar memberi sepatah dua kata nasihat dan arahan. Janganlah ia menangguh-nangguhkan tanggungjawab itu sehingga masalah itu bertukar menjadi teruk (rumit) dan berlarutan.
13. Seseorang fasilitator mestilah menunjukkan kesungguhan dalam segala perkara. Janganlah ia bersikap longgar atau bermudah-mudahan ketika ia berurusan dengan orang-orang di bawah pimpinannya.
14. Hendaklah ia menggalakkan anggota halaqahnya menubuhkan group halaqah yang baru, sekiranya menurut penilaiannya mereka layak serta berkemampuan.
15. Bertanggungjawab mengawasi agar setiap anggota halaqah menjaga dan mematuhi adab-adab halaqah kita, agar ianya berjalan lancar dan sempurna.
Edit: “Buku Usrah Dan Harakah; Beberapa Panduan Asas” oleh Ust Ya’cob Muhammad Hussin Terbitan Dewan Pustaka Fajar
No comments:
Post a Comment