Apabila Sultan Murad dan pasukan tenteranya sampai di Mazadi, mereka dapati tentera musuh sudah menunggu di sana. Kebetulan pula ketika itu hari hamper senja. Sultan Murad kelihatan termenung memikirkan apakah tindakan yang perlu dilakukannya.
“Tentera musuh sudah bersiap sedia dalam kubu-kubu perlindungan mereka. Tentera kita pula dalam keletihan kerana perjalanan yang jauh. Apa yang perlu dilakukan?” tanya Sultan Muhammad Al-Fateh.
“Biarkan tentera kita berehat sehingga tengah malam. Kemudian kita lakukan serangan mengejut ke kubu-kubu musuh,” jawab Panglima Sulaiman Uglo.
“Lebih baik kita contohi apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saw ketika hendak menawan Kota Mekah. Kamu masih ingat apa yang dilakukan oleh baginda?” tanya Sultan Murad kepada Sultan Muhammad.
“Apabila sampai di Mur Dahram, baginda memerintahkan tentera Islam berkhemah dan menyalakan api,” jawab Sultan Muhammad Al-Fateh.
“Kita juga berkhemah di sini dan perintahkan setiap tentera kita supaya menyalakan 10 unggun api,” perintah Sultan Murad.
“Setiap tentera kita menyalakan 10 unggun api? Jumlahnya terlalu banyak. Kerana apa tuanku?” tanya Khalil Pasya pula.
“Itu adalah suatu muslihat bagi menakutkan pihak musuh. Cara itu pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw semasa menawan kota Mekah,” jawab Sultan Murad.
Kedatangan tentera Uthmaniyyah itu sedang diintip oleh tentera Byzantine. Mereka terkejut apabila melihat unggun api yang terlalu banyak lalu mengadukan perkara itu kepada Maharaja Constantine.
“Tentera Islam berkhemah di Mazadi. Jumlah mereka berlipat kali ganda daripada tentera kita,” kata Alexi sambil melahirkan rasa takutnya.
“Bagaimana emgkau boleh tahu jumlah mereka berlipat kali ganda daripada jumlah tentera kita?” tanya Maharaja Constantine.
Mereka memasang unggun api. Julah unggun api yang terpasang bagaikan bintang di langit banyaknya,” jawab Alexi.
Maharaja Constantine tidak percaya lalu baginda pergi melihatnya sendiri. Benar seperti yang dilaporkan oleh Perdana Menterinya. Unggun api yang dipasang oleh tentera Sultan Murad bagaikan bintang di langit banyaknya. Timbul rasa takut di hati Maharaja Constantine. “Kita tidak boleh menang sekiranya berperang di tempat ini. Lebih baik kita tunggu mereka dari dalam Kota Constantinople. Kota itu teguh dan mereka tidak dapat mengalahkan kita,” kata Maharaja Constantine.
Malam itu juga baginda memerintahkan tenteranya meninggalkan tempat itu lalu pulang semula ke Kota Costantinople. Esok paginya tentera Islam mendapati musuh sudah meninggalkan tempat itu.
“Helah tuanku Berjaya menimbulkan ketakutan di hati musuh. Meraka tidak berani berperang dengan kita,” kata Panglima Tharhan. Dia gembira kerana tidak berlaku partumpahan darah.
“Sesiapa yang berperang mengikut cara Rasulullah saw pasti berjaya,” kata Sultan Murad sambil mengucapkan rasa syukur.
“Musuh sudah berundur. Apakah kita perlu mengejar mereka ataupun bagaimana?” tanya Sulaiman Uglo pula.
“Kita juga berundur dan kembali ke tempat kita,” jawab Sultan Murad.
“Maknanya tidak berlaku peperangan antara kita dengan tentera Byzantine?” tanya Khalil Pasya pula.
“Kita berjaya menakutkan musuh. Itu lebih baik daripada terjadinya peperangan,” jawab Sultan Murad.
Begitulah kebijaksanaan strategi daripada pemimpin Islam. Tanpa sebarang pertumpahan darah dan kerugian, pihak musuh telah gementar untuk bertempur dengan taktikal peperangan yang menggunakan pendekatan psikologi. Salah satu sunnah Rasulullah saw dalam mempersiapkan tenteranya semasa peristiwa pembukaan “Fathul Makkah”. Ikuti sambungan kisah ini dengan tajuk berikutnya “PENGINTIP BAHAGIAN 1” yang menemukan beberapa pengajaran besar dalam pendidikan akhlak tentera Islam untuk diaplikasi dalam anggota gerakan Islam abad moden.
No comments:
Post a Comment