"Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang" : Ibrahim:036
-Menara pencakar langit, babel yang menjadi kebanggaan Kerajaan Namrud-
Nabi Ibrahim As, merupakan salah seorang dari 5 orang rasul ulul azmi selain Nabi Nuh, Nabi Musa,Nabi Isa dan Nabi Muhammad Saw. Rasul-rasul ini memiliki taraf sedemikian lantaran cabaran mereka melaksanakan dakwah kepada manusia sangat getir dengan pelbagai ujian berat dan menerima penolakan yang berterusan daripada mereka yang kufur dengan ajaran yang disampaikan.
Nabi Ibrahim melalui sesetengah riwayat, diutuskan di Babylon, bersama masyarakat Harran di mana masyarakat hidup dalam suasana kerosakan aqidah serta mensyirikkan Allah. Masyarakat menyembah patung berhala ciptaan tangan- tangan mereka sendiri yang membentuk segala rupa tuhan mereka. Pastinya, setiap rumah mereka memiliki patung-patung berhala yang mereka simpan.
Azar, salah seorang tukang pembuat berhala yang sangat hebat, lantaran setiap hasil ukiran beliau dibeli oleh masyarakat kota tersebut. Kepandaiannya mengukir berhala tidak dapat disangkal kerana itulah hasil pendapatan utamanya, membuat patung berhala untuk dijadikan tuhan sembahan, tempat untuk memohon hajat, tempat kebergantungan manusia.
Azar mempunyai seorang anak yang masih remaja, bernama Ibrahim. Dengan usia muda yang matang, Ibrahim mempunyai alasan untuk berbeza sikapnya berbanding penduduk sekeliling yang memuja tuhan yang diperbuat daripada ukiran tangan manusia. Beliau seorang remaja yang sering memberontak dengan pelbagai persoalan berkaitan ketuhanan yang padanya bercanggah dengan sifat ketuhanan. Ibrahim tidak dapat menyembunyikan perasaannya. Sebagai remaja, persoalan beliau diajukan terus kepada bapanya, Azar dengan rakaman perbualan turut diceritakan di dalam Al-Quran Surah Al-An’am bermula ayat 74. Ibrahim mempersoalkan kepada ayahnya mengapa patung yang diciptakan oleh tangan manusia disembah sebagai tuhan manusia dan menganggap masyarakat sudah tidak mampu menilai dengan rasional lagi patung yang tidak bernyawa dan tidak memberi apa-apa manfaat.
Ibrahim meninggalkan kepercayaan karut masyarakatnya dan mencari kebenaran yang diyakini bahawa tuhannya bukanlah patung yang tidak bernyawa. Apabila datangnya waktu malam, beliau mendongak ke langit, lantas kerana keindahan bintang-bintang bergemerlapan dengan cahaya, beliau merasakan bahawa bintang itu adalah tuhannya. Pun begitu, bila malam berganti siang, beliau kecewa kerana bintang telah hilang. Saat silih berganti, Ibrahim membuat pemerhatian kepada setiap apa di sekelilingnya. Malam menanti lagi, beliau melihat di langit keindahan bulan yang bersinar, pun begitu, apabila bulan beredar, beliau terus kecewa. Apabila dilihatnya matahari, difikirkan itulah tuhannya, namun Ibrahim dikecewakan sekali lagi di dalam mencari kebenaran untuk menemukan tuhannya. Masakan Ibrahim menjadikan bintang, bulan dan matahari sebagai tuhan pada fikirannya kerana beliau melihat pada ciptaan tersebut sangat menakjubkan berbanding hasil tangan-tangan manusia. Akhirnya Ibrahim beriman kepada Allah yang menjadi pencipta kepada seluruh ciptaanNya yang telah dilihatnya.
Ibrahim beriman kepada Allah hasil daripada usahanya mencari kebenaran dengan cara berfikir. Dalam pemikiran logik sekalipun terhadap penciptaan sesuatu perkara pasti ada penciptanya, maka Ibrahim bukanlah seorang yang membuta tuli untuk menyelami segala fitrah kejadian alam ini. Kaum Harran bukanlah calang-calang kaum, lantaran mereka pakar dalam bidang astronomi juga. Dengan sebab sedemikian, persoalan-persoalan yang berlatarkan kepada setiap ciptaan di langit menjadi buah fikirannya untuk menyelidiki apa yang tersirat. Di situasi medan dakwah di mana masyarakatnya yang memahami ilmu astronomi, maka ajakan dakwah baginda menyentuh bagaimana mungkin tuhan yang mucul kemudian hilang yang nyatanya mempunyai sifat yang berubah-ubah.
Ajakan Ibrahim kepada kaumnya agar meninggalkan berhala lalu diajak beriman kepada Allah ditolak oleh masyarakat sekeliling. Ibrahim dicemuh manusia bahkan ayahnya, Azar turut menyisihkan beliau kerana pegangan akidah yang dibawa beliau bertentangan dengan kepercayaan turun temurun nenek moyang mereka. Ibrahim turut menerima ancaman terhadap ajarannya untuk menyeru kepada Allah yang maha esa. Baginya, masyarakatnya menghadapi krisis intelektual yang gagal menilai antara kebenaran dan kepalsuan. Tamadun Babylon, terkenal dengan kehebatan kotanya yang tersergam indah. Ini mempamerkan bahawa tahap intelektual serta pengetahuan masyarakat kota Babylon sangat tinggi.
Ibrahim turut berdepan dengan pemerintah yang zalim bahkan menganggap dirinya sebagai atheis dan tuhan bagi manusia. Di dalam pemerintahan Raja Namrud, baginda telah memerintahkan agar dibina sebuah menara pencakar langit yang akan menjadi kebanggaan kotanya. Kegilaan terhadap usahanya itu ditambahkan lagi dengan perkara-perkara khurafat dengan membina banyak rumah berhala. Namrud seorang yang diberikan ilmu pengetahuan yang hebat dalam bidang matematik, astronomi, malah beliau turut mempelajari ilmu sihir. Dengan ilmu yang dimiliki, maka konfrontasi bertembung dengan Ibrahim yang diutus sebagai nabi. Konfrontasi antara keduanya, bukanlah kerana pertembungan ilmu yang dimiliki, atau kehebatan binaan dalam tamadun Babylon, tetapi konfrontasi iman dan aqidah menentang kekufuran umat yang berleluasa.
Maka tidak hairanlah, kota yang dibangunkan oleh Namrud dimusnahkan oleh Allah taala. Pembangunan material yang dicanangkan untuk membina menara Babel,menara pencakar langit lebih menjadi keutamaan berbanding pembangunan ruhaniyah yang semakin tenggelam bersama kekufuran nikmat yang dikurniakan. Kemusnahan tamadun ini hanyalah kerana pertelingkahan konfrontasi bahasa. Menurut buku "Sejarah Para Rasul dan Raja" pada abad ke-9 oleh ahli sejarah Islam terkenal al-Tabari, menara tersebut telah dimusnahkan oleh Allah. Pada mulanya para pembinanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Suryani, tetapi ia terpecah kepada 72 bahasa yang berlainan. Akibatnya mereka tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain dan tidak dapat meneruskan pembinaan menara tersebut.
Ibrahim, seorang pemidato yang hebat dan berbakat. Kebolehannya berpidato dinukilkan al-Quran dengan pementasan hujahannya berdepan situasi debat bersama Namrud berkenaan berhala yang dimusnahkan oleh Nabi Ibrahim. Hujahan Nabi Ibrahim melangkaui kehebatan Namrud dalam berpidato. Kehebatan hujahnya mengenai patung berhala yang dimusnahkannya mendapat reaksi Namrud yang gementar kehadiran seorang raja yang diberitakan akan muncul seorang lelaki yang selama ini diburunya untuk memusnahkan kerajaannya menerusi ramalan para penyihirnya. Pun begitu, lantaran Namrud tidak Berjaya menandingi kehebatan berpidato Nabi Ibrahim, Namrud mengarahkan Nabi Ibrahim dibunuh dengan bakaran api. Namun, insan yang diberikan pernghargaan nabi oleh Allah taala ini sentiasa dilinduniNya dalam menyampaikan risalahNya. Ibrahim diselamatkan Allah dan kerajaan Namrud dimusnahkan oleh Allah taala.
Insyaallah, penulis akan melebarkan lagi kisah ini diperbincangan lain untuk sambungannya berkenaan kisah kematian Namrud yang dimusnahkan Allah dengan nyamuk. Marilah bersama-sama kita menghayati kisah di atas dan membuat perbandingan semasa dengan kehidupan kita pada hari ini dengan suasana politik tanah air kita, pertembungan akidah dengan pelbagai ideologi manusia walaupun pada hari ini, berhala daripada patung tidak menjadi sembahan secara zahir lagi kecuali bagi mereka yang bukan Islam. Benarlah, Herodotus yang bergelar “Bapa Sejarah” oleh barat mengakui bahawa sejarah amat perlu dipelajari kerana ianya akan berulang kembali. Bahkan Islam turut mengingatkan umatnya agar tidak terjebak ke dalam lubang yang sama, lantas al-Quran juga turut memuatkan kisah-kisah umat lampau untuk dijadikan pedoman umat akhir zaman. “An-Naasu ‘ala diini mulukihim”-manusia adalah atas agama ketua mereka. Wallahua’lam.
Sumber:
Al-Quran kariim( rujuk surah al-An’am dan surah Ibrahim)
No comments:
Post a Comment