“Kesalahan Syeikh Bayram amat berat iaitu mengaku dirinya Tuhan. Dia seolah-olah mahu memberitahu orang ramai bahawa dia berkuasa menghidupkan orang yang mati. Kerana itu saya mencadangkan supaya dia dihukum bunuh.” Kata Syeikh Aslam.
“Menjatuhkan hukuman bunuh pada seorang ulama yang terbilang bukan perkara mudah. Kerana itu ada baiknya kita tunggu kepulangan Sultan Murad dari Pulau Magnesia,” kata Sultan Muhammad pula.
“Itu mengambil masa yang lama. Setiap hari pengikut Syeikh Bayram semakin bertambah. Tuanku sudah diberi kuasa oleh Sultan Murad bagi memangku jawatannya. Tuanku berkuasa menjatuhkan hukuman.”
Namun Sultan Muhammad al-Fateh tidak mahu bertindak terburu-buru. “Lebih baik kita siasat dahulu perkara ini. Sekiranya terbukti kebenarannya barulah hukuman dijatuhkan,” katanya.
“Tuanku jangan membuang masa kerana Syeikh Bayram sudah melakukan kesalahan. Kerana itu hukuman mesti dijatuhkan,” desak Syeikh Aslam.
Sultan Muhammad kelihatan serba salah. Melihat keadaan itu, Syeikh Aslam berkata lagi, “Saya khuatir Syeikh Bayram sedang merancang hendak merampas kuasa kerana rumahnya selalu dikunjungi oleh orang-orang yang tak dikenali. Mereka selalu berkumpul di rumah itu pada waktu malam.”
Mendengar aduan itu Sultan Muhammad seolah-olah tidak dapat menahan perasaannya. Darah mudanya cepat mendidih. “Kita pergi ke rumah Syeikh Bayram sekarang juga,” katanya.
Sultan Muhammad dengan diiringi oleh Syeikh Aslam dan beberapa orang pengawal bergegas ke rumah Syeikh Bayram. Kedatangan mereka disambut oleh anak-anak dan isteri ulama terkenal itu.
“Di mana Syeikh Bayram?” tanya Sultan Muhammad.
“Dia berada di dalam biliknya. Mungkin sedang beramal ibadat,” jawab isteri Syeikh Bayram.
“Mungkin dia sengaja bersembunyi di dalam biliknya. Elok kita sendiri yang menemuinya,” bisik Syeikh Aslam kepada Sultan Muhammad.
Mereka segera naik ke rumah. Isteri Syeikh Bayram membawa mereka ke sebuah bilik kecil yang dijadikan tempat beribadat oleh Syeikh Bayram. Tetapi bilik itu berkunci dari dalam. Mereka memanggil nama Syeikh Bayram supaya membuka pintu tetapi tiada jawapan.
“Dia sengaja bersembunyi di dalam bilik ini kerana takut,” bisik Syeikh Aslam.
“Pecahkan pintu ini,” perintah Sultan Muhammad Al-Fateh selepas puas memangil nama Syeikh Bayram namun tidak ada jawapan.
Beberapa orang pengawal bertindak memecahkan pintu itu, kemudian mereka segera masuk. Kelihatan Syeikh Bayram sedang sujud di tempat sembahyangnya.
“Jangan ganggu, dia sedang bersembahyang,” kata Sultan Muhammad Al-Fateh kerana menjangka ulama terbilang itu sedang sujud dalam sembahyang.
Namun mereka berasa pelik kerana Syeikh Bayram sujud terlalu lama. Dia seolah-olah kaku di tempat sujudnya. Sultan Muhammad Al-Fateh segera mendekati Syeikh Bayram.
“Dia sudah tidak bernyawa lagi…,” kata Sultan Muhammad al-Fateh selepas memeriksa denyutan nadi Syeikh Bayram.
Berita itu tersebar dengan begitu cepat. Orang ramai terutama anak-anak muridnya berkumpul di rumah ulama terkenal itu. Sultan Murad memendekkan percutiannya selepas mendapat tahu Syeikh Bayram telah meninggal dunia. Sultan Murad memerintahkan supaya Syeikh Bayram dikebumikan dengan penuh penghormatan sesuai dengan tarafnya sebagai seorang ulama.
“Bagaimana dengan ucapan Syeikh Bayram, “Wahai mayat hidup dan bangunlah dengan izin aku.” Apakah itu tidak menjadi kesalahan? Tanya Sultan Muhammad inginkan penjelasan.
“Sebenarnya semasa Syeikh Bayram berkata “Dengan izin aku” itu, dia sedang mengalami tajalli Allah. Hakikatnya Allah yang berkata-kata dengan sifat kalam-Nya melalui Syeikh Bayram. Dengan erti kata lain, Syeikh Bayram cuma menterjemahkan sahaja kalam Allah. Sebenarnya “Dengan izin aku” itu tetap bermaksud dengan izin Allah,” kata Syeikh Syamsuddin al-Wali dengan panjang lebar.
Syeikh Aslam insaf dengan kesalahan yang dilakukannya. Dia berasa amat menyesal lalu bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi.
“Syeikh Bayram digantikan oleh Syeikh Syamsuddin al-Wali. Dia dilantik menjadi penasihat Sultan,” kata Sultan Murad pula.
Begitulah tamatnya pengakhiran seorang ulama yang masyhur, Syeikh Bayram. Seorang ulama yang disanjungi telah pergi setelah dikirimkan Allah taala sebagai sebahgian plot kehidupan serta pentarbiyah Sultan Muhammad Al-Fateh sejak kecil lagi dalam usaha mengkaderkan seorang pemimpin yang memiliki sifat karakter hadis yang disebutkan Rasulullah saw. Semoga Allah taala merahmati beliau.
Seterusnya, pengganti beliau, Syeikh Syamsuddin Al-Wali telah diangkat menjadi pensihat/ murabbi khusus kepada Sultan Muhammad. Anak didikan Syeikh Bayram ini juga melakarkan sejarahnya tersendiri sebagai ulama yang tiada tolok bandingan pada zamannya.
Ikuti kisah tajuk berikutnya, Antara Kasih dan Benci. Teruskan setia bersama.
Rujukan: Novel Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, Penakluk Constntinople,Abdul Latip Talib
No comments:
Post a Comment