Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Dalam membesarkan anak-anak perkembangan EQ (emosional qualities) sama pentingnya dengan perkembangan IQ. Kalau IQ merujuk kepada kepintaran anak-anak, EQ pula merujuk kepada kebolehan anak-anak menangani konflik emosi mereka. Tahap IQ seseorang boleh diukur melalui ujian-ujian tertentu tetapi EQ sebaliknya tidak mampu diukur. Sehingga sekarang takrif yang tepat tentang EQ masih dicari. Salovey dan Mayer mendefininisikan EQ sebagai, suatu subset dari kecerdasan sosial yang merujuk kepada kebolehan seseorang meneliti emosi atau perasaan dirinya atau orang lain, membezakan emosi ini dan menggunakannya sebagai panduan membentuk suatu cara fikir dan tindakan.
Dalam meniti kecemerlangan hidup, ramai pakar percaya bahawa 80% bergantung kepada kekuatan EQ dan hanya 20% sahaja berdasarkan ketinggian IQ. Para pekerja pada awalnya mungkin diambil bekerja kerana kebolehan IQ mereka tetapi hanya yang mempunyai EQ yang tinggi sahaja kelak yang cepat dinaikkan pangkat. EQ lebih merujuk kepada ciri-ciri diri seperti:
•Emphati.
•Meluahkan dan memahami perasaan.
•Mengawal perasaan marah.
•Berdikari.
•Kebolehan menyesuaikan diri dengan persekitaran.
•Kebolehan menyelesaikan masalah pergaulan.
•Persistensi iaitu sikap tidak mudah mengaku kalah.
•Mudah mesra dan ramah.
•Baik budi.
•Pandai menghormati diri sendiri dan orang lain.
Secara ringkasnya EQ lebih condong kepada sikap, tingkahlaku dan peribadi seseorang individu.
Kajian menunjukkan bahawa terdapat tiga pendekatan utama yang sering diambil oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak iaitu sama ada secara keras, lembut atau sederhana. Rasulullah s.a.w sendiri menyarankan agar kita mengambil jalan tengah atau bersederhana dalam mendidik anak-anak. Apa yang Rasulullah s.a.w sarankan ini kini telah dibuktikan benar oleh masyarakat barat yang membuat kajian tentang pendidikan EQ ini. Ada ketikanya kita perlu keras dengan anak-anak dan ada ketikanya pula kita perlu lebih memahami dan bertolak ansur. Dalam artikel kali ini dan siri-siri seterusnya, saya akan bincangkan bila ibu bapa perlu berkeras dan bagaimana mendisiplinkan anak. Saya juga akan membincangkan bagaimana untuk ibu bapa memahami perasaan anak. Bagaimana untuk mengambil peluang mendekati anak dan mendapatkan kepercayaan mereka apabila mereka dalam keadaan tertekan, bermasalah, runsing dan sebagainya. Apabila ibu bapa bersikap empati dan membantu anak-anak memahami dan mengatasi setiap perasaan negatif mereka (seperti marah, sedih, cemburu, memberontak, takut, malu dan sebagainya), ibu bapa sebenarnya telah membina kepercayaan dan kasih sayang dalam diri anak-anak terhadap mereka. Kepercayaan dan rasa kasih yang berputik ini perlu disuburkan dan dibajai kerana ia sebagai penyebab untuk anak mendengar nasihat dan menghormati kita sebagai ibu dan bapa.
Ibu bapa perlu faham, keibubapaan yang baik memerlukan lebih daripada pendekatan intelek. Kita memerlukan pendekatan emosi. Sebagai manusia, anak-anak (malah kita sendiri) membuat satu-satu keputusan itu berdasarkan alasan-alasan emosi. Hanya sedikit sahaja boleh disandarkan atas alasan logik. Misalnya, kita membeli kereta kerana memerlukan kenderaan untuk bergerak sama ada dihari panas atau hujan. Kalau begitu kenapa tidak beli kereta yang ala kadar sahaja. Kenapa mereka yang mampu akan membeli kereta yang lebih mahal, lebih besar dan berprestij? Ini disebabkan kita mempunyai alasan emosi yang jauh lebih besar dari alasan lojik. Sebagai manusia, anak-anak juga seperti kita. Mereka akan mudah membuat keputusan atas alasan emosi. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan "cinta itu buta". Sebab apabila seseorang dibawah pengaruh emosi maka daya inteleknya akan kurang dimanfaatkan. Atas sandaran inilah maka ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk menggunakan pengaruh emosi ini bagi membentuk, membimbing dan mendidik anak-anak mereka.
Keibubapaan yang menggunakan pendekatan emosi biasanya melibatkan lima langkah utama iaitu:
1. Peka terhadap emosi anak;
2. Menyedari yang perubahan emosi anak sebagai peluang untuk merapatkan hubungan dan mendidik;
3. Mendengar secara empati, memahami dan mengesahkan apa yang sedang anak alami;
4. Membantu anak-anak mengenali dan memahami emosi mereka sendiri;
5. Nyatakan dengan jelas batas atau tahap sesuatu emosi sambil mencari jalan menyelesaikan masalah yang timbul.
Anak-anak yang tinggi EQ akan menghargai setiap perasaan negatif yang terbit dari diri. Perlu diingat, anak-anak yang membesar atas bimbingan sebegini bukan bermakna mereka tidak punya perasaan lagi. Anak-anak masih tetap akan rasa marah, sedih, malu, takut dan sebagainya tetapi mereka akan punya kemahiran untuk menenangkan diri sendiri dan bangkit kembali setelah sesuatu kegagalan atau desakan. Malah mereka akan lebih baik lagi selepas itu. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yang dibesarkan melalui pendekatan bijak emosi ini lebih mampu bertahan dan meneruskan kehidupan meskipun berlaku penceraian ibu bapa. Mereka lebih realistik dan mampu menerima kenyataan. Sekiranya anak-anak diiringi pula dengan ajaran agama yang mantap maka pastinya mereka bakal menjadi orang yang cemerlang satu ketika nanti.
Ibu bapa juga perlu faham, pendekatan bijak emosi bukanlah bermakna anak-anak tidak perlu didisiplinkan lagi. Sebaliknya apabila ibu bapa dan anak saling percaya mempercayai maka bermakna telah terbentuk satu pengaruh yang kuat. Ketika ini anda boleh gunakan pendekatan keras, apabila kekerasan diperlukan. Apabila anak anda melanggar peraturan, bersikap kasar dan sebagainya anda perlu menegurnya. Anda letakkan batas-batas tertentu tanpa ragu-ragu. Anda tidak bimbang untuk menyatakan akan kekecewaan aanda dan anda tahu yang anak anda boleh lakukan lebih baik. Disebabkan anda sentiasa gunakan pendekatan bijak emosi maka sekali anda bertegas, ketegasan dan kata-kata anda akan memberi kesan. Anak-anak akan memahami kenapa anda berkelakuan demikian malah lebih menghormati anda. Begitu juga anda boleh menjadi cukup penyayang apabila pendekatan memujuk secara lembut pula diperlukan. Dengan pendekatan bijak emosi ini, pengalamanlah yang akan mengajar anda pendekatan mana yang lebih sesuai dalam keadaan-keadaan tertentu. Beberapa perkara dibawah boleh dijadikan panduan:
•Sekiranya anak anda dibesarkan dalam keadaan anda selalu marah atau membebel, maka marah anda dan bebelan anda sudah hilang makna kepada mereka.
•Apabila anak anda mengaku secara jujur akan kesalahan dan kesilapan mereka, maka anda tidak sepatutnya marah. Sebaliknya memahami mereka. Sekiranya perbuatan mereka itu salah, maka perbetulkan dengan cara yang baik dan penuh kasih sayang.
•Sekiranya anak anda melakukan kesalahan buat kali pertama, maka anda tidak boleh marah. Sebaliknya gunakan pendekatan bijak emosi. Tetapi kalau kesalahan yang sama berulang-ulang, ketika itu anda perlu bertegas dan gunakan kekerasan (bukan deraan).
•Sekiranya kesalahan yang dilakukan berkaitan dengan pembentukan akhlak dan peribadinya, seperti mencuri, menipu, dan sebagainya maka gunakan ketegasan untuk mendisiplinkan anak.
•Jangan biarkan sampai anak anda boleh menjangka apa reaksi atau tindakbalas anda terhadap kesalahan atau masalah mereka. Mereka tidak pasti sama ada anda akan marah, diamkan atau menegur dengan baik.
•Jangan marah setiap kali anak anda menceritakan masalah mereka, sebab sekiranya anda tidak melayan mereka dengan baik mereka akan menyangka yang anda bencikan masalah. Ini membuatkan mereka tidak mahu berbincang dengan anda dilain masa.
•Puji secara ikhlas dan suburkan setiap perkara baik yang ditunjukkan oleh anak anda.
Dalam beberapa siri artikel selepas ini akan saya bincangkan dengan lebih terperinci langkah-langkah keibubapaan menggunakan pendekatan bijak emosi bagi melahirkan anak-anak yang tinggi EQ.
Sekian.
No comments:
Post a Comment