Strategi awal dengan taktik bertahan akhirnya diubah dengan perlaksanaan taktikal kedua iaitu strategi menyerang. Rasulullah mengeluarkan arahan “serang” dan memberikan galakan kepada para tentera Islam. Baginda SAW bersabda,
“Demi Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam tanganNya, tidaklah tanganNya itu memerangi mereka itu oleh seseorang di kalangan orang-orang yang beriman, lalu dia berperang dengan sabar, dengan niat yang ikhlas membantu agama Allah, mara ke depan, tidak undur ke belakang sesekali, melainkan Allah memasukkannya ke dalam syurga,”.
Baginda terus bersabda, “Berdirilah kamu ke arah syurga yang lebarnya segala langit dan bumi”.
Ucapan baginda Nabi Saw telah disahut sorakan Bakh! Bakh!(Sorakan kerana kagum) oleh ‘Umair bin Hammam, lantas Nabi Saw bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu berkata begitu?”
‘Umair menjawab, “Tiada tujuan lain, demi Allah ya Rasulullah, saya mengharapkan saya adalah ahlinya.” Rasulullah menyambung lagi, “Sesungguhnya kamu termasuk di kalangan ahlinya”.
‘Umair terus mengeluarkan tamar bekalannya dan memakan tamar tersebut. Kemudian beliau berkata: “Kalau aku masih hidup sehingga memakan habis buah tamar ini, bermakna satu hidup yang panjang”.
Beliau mencampakkan tamar tersebut dan mara ke medan memerangi musuh sehingga beliau syahid.
Seorang sahabt yang bernama ‘Auf bin Harith bin Al-Ghafra’ pula berkata: “Apakah perkara yang menggembirakan Tuhan apabila dilakukan oleh hambaNya?”
Rasulullah saw bersabda, “Mengeluarkan tangan dan menghadapi musuh dengan terbuka”.
Apabila mendengar jawapan Rasulullah, beliau terus membuang perisainya dan mengambil pedang memerangi musuh sehingga beliau gugur syahid.
Arahan daripada Rasulullah saw supaya menyerang musuh dilaksanakan dengan penuh keimanan yang tidak berbelah bagi. Mereka begitu bersemangat untuk berjihad apabila melihat Rasulullah saw melompat dengan perisainya sambil bersabda, “Golongan itu akan dikalahkan dan mereka akan berundur ke belakang...” (Ayat surah Al-Qamar)
Tentera Islam memperhebatkan serangan sehingga musuh Allah tidak berpeluang untuk menyerang balas.
Di kemuncak pertempuran itu, telah turun pertolongan Allah yang amat menakjubkan apabila para malaikat yang tidak pernah derhaka kepada Allah menjalankan tugasnya. Di antara perkara yang menakjubkan ialah:-
i. Terputusnya kepala dan tangan tanpa dilihat sesiapa yang memancungnya.- Riwayat Ibn Sa’ad dari Ikrimah.
ii. Seorang tentera Islam sedang mengejar tentera musyrik, tiba-tiba dia terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar pula suara pahlawan berkuda. – Riwayat Ibn Abbas.
iii. Seorang sahabat mengejar seorang musyrik, apabila dia memancung dengan pedang, kepala lawannya terputus sebelum pedangnya jatuh. –Riwayat Abu Daud al-Mazani.
Serangan hebat yang dilancarkan oleh tentera Islam terus memporak-perandakan barisan musuh. Di kecamukan barisan tentera musyrikin, iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila melihat penyertaan malaikat dan kemaraan tentera Islam dalam perang tersebut. Dia terus berpaling lari sehingga melanggar Al-Harith bin Hisyam (saudara Abu Jahal) sehingga rebah terpelanting. Tentera musyrik bertanya kepadanya, “Hendak ke mana wahai Suraqah? Tidakkah kamu yang menegaskan kepada kami bahawa kamu adalah kawan setia kami? Dan kamu tidak akan sesekali meninggalkan kami?”. Iblis menjawab, “Sesungguhnya aku nampak apa yang kamu tidak Nampak. Sesungguhnya aku takutkan Allah dan Allah itu amat pedih siksaanNya”. Kemudian dia lari sekuat-kuat hatinya dan mencampakkan dirinya ke dalam laut.
Dipetik daripada Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah 2, Haji Abdul Hadi Awang, Terbitan Dewan Fajar
No comments:
Post a Comment