Sultan Murad menemui utusan Maharaja Constantine lalu berkata, “Kami tidak dapat memenuhi permintaan kamu. Katakan kepada maharaja kamu yang kami sanggup berperang bagi mempertahankan Zaqhanus.”
Utusan Maharaja Constantine pulang dengan perasaan hampa kerana Sultan Murad tidak mahu memenuhi permintaan maharaja mereka. Maharaja Constantine bertambah marah. Mereka mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan yang patut dilakukan.
“Kita kerahkan seluruh kekuatan tentera yang ada bagi menghancurkan mereka,” kata Panglima Ardogan dengan begitu bersemangat.
“Apakah kita mampu mengalahkan mereka?” tanya Maharaja Constantine pula.
“Tentera kita bersemangat tinggi bagi menyelamatkan ketua paderi mereka. Saya yakin kita boleh mengalahkan mereka,” jawab Panglima Ardogan.
“Jangan begitu yakin.” Alexi pula menyampuk. “Tentera kita sudah beberapa kali bertempur dengan tentera kerajaan Uthmaniyyah. Setiap kali pertempuran berlaku, tidak ada yang menang dan tidak ada yang kalah. Apakah kita sanggup mengorbankan banyak nyawa kerana Zaqhanus seorang?”
“Kamu ada rancangan yang lebih baik?” tanya Maharaja Constantine pula.
“Kita mempunyai harta simpanan yang banyak. Saya cadangkan kita tukar Zaqhanus dengan harta itu,” jawab Alexi lalu mencadangkan mereka supaya memberikan Sultan Murad harta itu sebagai pertukaran dengan Zaqhanus.
“Kita dituduh pengecut!” bantah Panglima Ardogan.
“Harta boleh kita cari. Tetapi bagaimana dengan nyawa tentera kita? Sekiranya berlaku peperangan, bukan nyawa sahaja yang terkorban tetapi banyak harta yang terpaksa dibelanjakan hanya kerana Zaqhanus seorang."
“Sekiranya begitu kita lupakan sahaja Zaqhanus. Biarkan dia memilih jalan hidupnya sendiri.” Akhirnya Panglima Ardogan mengalah.
“Zaqhanus tidak boleh dibiarkan hidup,” bantah Maharaja Constantine pula. “Kamu tahu apa terjadi sekiranya Zaqhanus berpaling tadah dengan membocorkan rahsia pertahanan kita kepada musuh? Dan lebih menakutkan sekiranya Zaqhanus membantu tentera Kerajaan Uthmaniyyah menyusup masuk ke dalam Kota Constantinople.”
Akhirnya mereka mencapai kata sepakat bagi menghadiahkan sejumlah emas dan intan kepada Sultan Murad sekiranya baginda bersetuju menghantar pulang Zaqhanus. Sekali lagi utusan Maharaja Constantine berangkat menemui Sultan Murad.
“Kami tidak menukarkan Zaqhanus walaupun dengan emas dan intan setinggi gunung,” tegas Sultan Murad menolak tawaran itu.
“Apakah tuanku lebih memilih peperangan?” ugut ketua utusan itu.
“Antara kita memang sudah lama bermusuhan. Beritahu maharaja kamu, kami bersedia berperang pada bila-bila masa sahaja,” kata Sultan Murad.
“Apabila terjadi peperangan, yang kalah menjadi abu. Mereka yang menang menjadi arang. Kedua-dua pihak sama-sama mendapat kerugian. Apakah tuanku sanggup mengorbankan nyawa tentera Islam hanya kerana mahu mempertahankan Zaqhanus seorang?” tanya utusan itu lagi.
“Zaqhanus menjadi saudara kami di dunia dan akhirat, kerana itu kami bertanggungjawab menjaga keselamatannya. Sekiranya berlaku peperangan, kami berperang kerana Tuhan kami bukan Zaqhanus. Sesungguhnya kami mencintai syahid sebagaimana kamu mencintai hidup,” jawab Sultan Murad.
Sekali lagi utusan itu pulang dengan perasaan hampa. Dendam Maharaja Constantine semakin membara. “Kita gunakan cara lain bagi menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyyah,” tekadnya.
“Tentera Rom takut menyerang kita,” kata Sultan Murad. Kemudian katanya lagi, “Ayahanda mahu pergi semula ke Pulau Magnesia. Sekiranya boleh, ayahanda mahu menetap lama di sana. Semasa ketiadaan ayahanda, anakanda yang bertanggungjawab pada Kerajaan Uthmaniyyah ini.”
“Baiklah ayahanda. Anakanda setuju,” balas Sultan Muhammad Al-Fateh.
Ikuti Episod berikutnya; Helah Sultan Murad Bahagian 1
Rujukan: Buku Novel Islam: Penakluk Constantinople, Muhammad AlFateh, Abdul Latip Talib
No comments:
Post a Comment