Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 18, 2010

RUKUN BAIA'H 1





Ulasan Rukun Baia'h yang disusun ringkas ini tidak bermaksud mendahului para alim ulama' justeru kemunculannya sebagai bahan muzakarah dikalangan anggota Jamaah Islam . Bimbingan alim ulama' amat didahagai oleh pengulas demi kemajuan ilmu dan pembangunan tarbiyyah .

MUQADDIMAH

Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah adalah denyutan utama bagi nadi usaha bina Khilafah Islamiyyah dalam apa jua suasana , justeru pembinaannya bukan suatu teori dan khayalan malah suatu praktikal yang terpaksa merempuh kesukaran pelaksanaan dan pengawalan . Sementara itu , menjadi agenda utama pula kepada Harakah Islamiyyah dan fungsinya sebagai jentera berat , mengendali usaha bina Khilafah Islamiyyah An - Najihah .

Rukun Baia'h antara otot yang memastikan ketahanan dan kelansungan denyutan nadi tatkala menghadapi tahaddiyyat ( tantangan ) yang memaksa dan mendesak .

Penafsiran pelbagai turut memberi erti bahawa Rukun Baia'h antara bahan kekuatan dalaman yang berkesan untuk menangkis virus mazmumah yang merosakkan Harakah Islamiyyah .

Kejituan intima' dan keterikatan ( iltizam ) individu muslim dengan Harakah Islamiyyah pula banyak dipengaruhi oleh Rukun Baia'h dan sejauh mana penghayatannya . Akhlak dan disiplin berjamaah turut lengkap apabila setiap gerak langkah menyusun program dan mengatur strategi dibayangi oleh Rukun Baia'h sementara akhlak dan disiplin berjamaah tersebut adalah menara tertinggi bagi syiar Harakah Islamiyyah.

Abad ke 21 , Harakah Islamiyyah terpaksa menghadapi kelancangan gerakan musuh dengan alat bantu yang serba terkini . Namun kemenangan hakiki perjuangan ini tidak terhenti dengan kepakaran tenaga dan kecanggihan jentera , malah ianya bergantung kepada penghayatan Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah yang efektif .

Rukun Baia'h yang dimaksudkan ialah sebagaimana yang digariskan oleh Asy Syahid Al Imam Hassan Al Banna di dalam kitabnya Risalah At Taalim :

أركان بـيعـتـنـا عشــرة فـاحـفـظـوهـا : الـفـهـم و الإخـلاص و الـعـمـل و الـجـهـاد و الـتضـحـيـة و الـطـاعـة و الـثـبـات و الـتـجـرد و الأخـوة و الـثـقـة



RUKUN PERTAMA .

AL FAHM ( الـفـهـم )

Kefahaman Islam yang jelas dan shohih adalah antara pra syarat kejayaan gemilang bagi sebuah Harakah Islamiyyah . Seringkali ketergendalaan gerakkerja dalaman di sebabkan kefahaman yang dangkal terhadap prinsip - prinsip asas Islam dan perjuangannya .Salah faham dikalangan pendukung Harakah Islamiyyah pula mencetus krisis yang menggugat ketahanan strategi dan operasi .

Rukun Al Fahm ini adalah asas utama bagi kepimpinan Islam guna menangani usahabina Khilafah Islamiyyah .Syaidina Omar Ibn Al Khattab ( r.a ) pernah menegaskan :

تـفـقـهـوا قـبـل أن تـســودوا

" Dalamilah urusan ugama sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin ."

Sabda Rasulullah ( saw ) :

مـن يـريـد اللـه بـه خــيـرا يـفـقهـه فـى الـديـن

" Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikkan nescaya difahamkannya urusan ugama ."

( Mutafaqun A'laihi )

Perjuangan yang bertolak dari Al Fahm yang jelas dapat menghindarkan jamaah daripada khilaf dan kecelaruan fikrah serta tindakan dikalangan anggota Harakah Islamiyyah . Sedang Al Jidal ( الجـدل ) adalah faktor kesesatan .

مـا ضـل قـوم بـعد هـدى كـانـوا عـلـيـه إلا أوتـوا الـجـدل

" Tidak sesat sesuatu qaum selepas mendapat petunjuk melainkan mereka sering berjidal . ( bertelingkah ) "

( At Tarmizi )

( Bertikam lidah di ‘kedai kopi’ tidak menyelesaikan masaalah bahkan akan mempamerkan akhlak yang buruk kepada umum .)

Faham yang jelas menatijahkan kesejahteraan amal dan pelaksanaan jitu dalam operasi gerakan yang dilancarkan , justeru tindakan melulu tanpa asas kefahaman yang mendalam hanyalah membawa padah yang tidak berkesudahan . Omar Ibn Al Aziz (r.a ) menyatakan :

مـن عـمـل عـلـى غـيـر عـلـم كـان مـا يـفـســد أكـثـر مـا يـصـلـح

" Barangsiapa yang beramal tanpa ilmu , ia telah mendorong kerosakkan yang banyak mengatasi kebaikkan "

( Manaqib Omar - Oleh Ibn Jauzi )

Sabda Rasulullah ( saw ) :

فـقـيـه واحـد أشــد عـلـى الـشــيـطـان مـن ألـف عـابـد

" Seorang yang faham ( faqih ) terlebih sukar ke atas syaitan berbanding 1000 orang abid . ( ahli ibadah )

( At Tarmizi )

Faham yang jelas , menyelamatkan pendukung Harakah Islamiyyah dari bahaya kesesatan dan kegagalan . Melalui rukun Al Fahm ini , Asy Syahid mengemukakan usul dua puluh yang perlu dipelajari untuk menghindar diri dari kekaburan maklumat dan gambaran tentang Islam . Usul dua puluh mengandungi a b c Islam yang menjadi kemestian kepada setiap pendukung Harakah Islamiyyah . _______________________________________

USUL PERTAMA .

الإســلام نـظـام شــامـل يـتـنـاول مـظـاهـر الـحـيـاة جـمـيـعـا
فـهـو دولـة و وطـن أو حـكـومـة و أمـة
وهـو خـلـق و قـوة أو رحـمـة و عـدالـة
وهـو ثـقـافـة و قـانـون أو عـلـم و قـضـاء
وهـو مـادة و ثــروة أو كسـب و غــنـى
وهـو جـهـاد و دعـوة أو جـيـش و فـكـرة
كـما هـو عـقـيـدة صـادقــة و عـبـادة صـحـيحـة سـواء بسـواء 

  • " Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan.
  • Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah .
  • Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan .
  • Kebudayaan dan undang - undang atau ilmu dan kehakiman .
  • Metarial dan harta atau usaha dan kekayaan .
  • Jihad dan daawah atau tentera dan fikrah .
  • Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang shohih . " 
ULASAN :

Islam adalah hidayah Ilahi yang diutuskan laksana manifesto agong untuk mentadbir alam buana ini . Lantaran itu ia bukan seperti yang dianut oleh pendukung ugama dan ideologi ciptaan penganutnya sendiri . Ia juga terlalu jauh dari definisi ugama yang hanya berbentuk hubungan manusia dengan tuhan semata-mata .Islam adalah suatu cara hidup lengkap yang membentuk hablum minallah dan hablum minannas ( حـبـل مـن اللـه و حـبـل مـن الـنـاس )

ضـربـت عـلـيـهـم الـذلـة أيـن مـا ثـقـفـوا إلا بـحـبـل مـن اللـه و حـبـل مـن الـنـاس

" Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali ada hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia . "
( Al Imran 112 )

Kesyumulan Islam secara jelas dapat disaksikan melalui sumber utamanya Quran Al Karim yang membicarakan keseluruhan aspek kehidupan .

Firman Allah swt .

ونـزلـنـا عـلـيـك الـكـتـاب تـبـيـانـا لـكـل شـئ و هـدى و رحـمـة و بـشـرى لـلـمـؤمـنـيـن

" dan kami turun kepada mu Al Quran sebagai penjelasan setiap suatu jua sebagai hidayah dan rahmat serta berita gembira bagi orang - orang Islam ."
( An Nahl 89 )

Dalam ayat yang lain Allah berfirman :

مـا فـرطـنـا فـى الـكـتـاب مـن شـئ

" Tiada kami sembunyikan sesuatu pun di dalam kitab Al Quran "
( Al Ana'm 38 )

Menafikan kesyumulan Islam di atas apa jua alasan dan kepentingan , merupakan satu tindakan bahaya yang mengundang kehinaan dan azab ilahi . Firman Allah swt .

أفتؤمنون ببعض الكتاب و تكفرون ببعض فما جزاء من يفعل ذلك منكم إلا خزى فى الحياة الدنيا
ويوم القيامة يردون إلى أشد العذاب و ما الله بغافل عما تعملون

" Apakah kamu beriman dengan sebahagian daripada Al Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lainnya , maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat sedemikian dari kalangan kamu melainkan hina kehidupan di dunia dan kelak di akhirat , ia akan di humban ke dalam azab yang dahsyat dan Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan "
( Al Baqarah 85 )

Sementara itu , faham ugama suku , politik suku atau dalam erti kata lain , menjarakkan ugama dari daulah ( فـصــل الـديـن عن الدولـة ) yang didokong oleh golongan sekularisme adalah suatu unsur positif ke arah menafikan kesyumulan Islam .

KESYUMULAN ISLAM

Memahami kesyumulan Islam , suatu petanda nyata bahawa Islam mesti di tegakkan sebagai tuan dan tidak harus dibiarkan walau sedetik waktu Islam di perkotak katik . Firman Allah swt .

و قاتلوهم حتى لا تكون فتنة و يكون الدين لله فإن انتهوا فلا عدوان إلا على الظالمين

" dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah ugama itu semata mata kerana Allah , maka jika seandainya selesai maka tiadalah permusuhan lagi melainkan terhadap orang - orang yang dholim . "
( Al Baqarah 193 )

Memahami kesyumulan Islam , memecah kebuntuan dan keraguan ummat untuk menjulang syiar Islam di tengah - tengah kepungan Jahiliyyah Modern . Firman Allah swt .

ذلك و من يعظم شـعائر الله فـإنـها من تـقوى القلوب

" Demikian itu , barangsiapa yang mengagungkan syiar Ilahi , maka sesungguhnya ia lambang ketaqwaan hati "
( Al Hajj 32 )

Memahami kesyumulan Islam , membina keunggulan peribadi dan kemantapan fikrah anggota Harakah Islamiyyah , menjadi syarat kelayakan bagi seorang daie .

1 ) ISLAM ADALAH NEGARA DAN TANAHAIR

Sememangnya urusan negara adalah antara urusan yang terpenting bagi Islam . Membebaskan negara dari perundangan Islam adalah sikap yang mendedahkan negara kepada bahaya Jahiliyyah . ( Bahaya kepada aqidah dan budaya ) Firman Allah swt .

ثم جـعلناك على شـريعة من الأمـر فـاتبعهـا و لا تتبع أهواء الذين لا يعلمون

" Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat , maka ikutlah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang - orang yang tidak mengetahui ."
( Al Jathiyah 18 )

Ayat ini , anti faham penjarakkan ugama dengan daulah . فـصـل الدين عن الدولـة Islam jua mengambil berat perihal atau ciri - ciri mereka yang bertanggung jawab memimpin negara 

1.1 Syarat kelayakan sebagai pemimpin Negara Islam .
[1]
i ) Muslim
ii ) Berilmu dalam hal asas dan memahami masaalah semasa
iii ) Adil
iv ) Berkemampuan ( maknawi dan jasmani )
v ) Lelaki
vi ) Berpengaruh

Firman Allah swt .

يأيـهـا الذين ءامنوا لاتتخـذواالـكافـرين أولياء من دون المـؤمنين أتريدون أن تـجعلوا لله علـيـكم سلطـانـا مبـيـنا

" Hai orang - orang yang beriman , janganlah kamu mengambil orang - orang kafir menjadi pemimpin dengan meninggalkan orang yang beriman . Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah ( untuk menyiksamu ) ."
( An Nisa' 144 )

Firman Allah swt .

إنما وليكم الله و رسوله و الذين ءامنوا الذين يقيمون الصلوة و يؤتون الزكاة وهم راكعون
ومن يتول الله و رسوله و الذين ءامنوا فإن حزب الله هم الغالبون
يأيها الذين ءامنوا لاتتخذوا الذين اتخذوا دينكم هزوا ولعب
امن الذين أوتوا الكتاب من قبلكم و الكفار أولياء و اتقوا الله إن كنتم مؤمنـين

" Sesungguhnya penolong ( pemimpin ) kamu hanyalah Allah , Rasulnya dan orang yang beriman , yang mendirikan sholat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk ( kepada Allah ) dan barangsiapa mengambil Allah , Rasulnya dan orang yang beriman menjadi penolongnya ( pemimpin ) maka sesungguhnya pengikut ( ugama ) Allah itulah yang pasti menang . Hai orang yang beriman janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan ugamamu sebagai bahan ejekan dan permainan sebagai pemimpin , iaitu orang yang telah diberikan kitab sebelummu dan orang - orang yang kafir , dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu benar - benar orang yang beriman ."
( Al Maidah 55 -57 )

1.2 Matlamat Negara Islam
[2]

1 ) Matlamat Khalifah .

Firman Allah swt .

و إذ قـال ربك للملائكـة إنى جـاعل فى الأرض خـلـيفـة

"dan ingatlah ketika tuhanmu telah berkata kepada para malaikat sesungguhnya aku akan menjadikan khalifah di muka bumi . "
( Al Baqarah 30 )

Ia adalah suatu matlamat untuk memastikan ugama terbela dan dunia di tadbir berdasarkan ugama . ( إقـامـة الدين و سـيـاسـة الدنـيا بـه )

2 ) Matlamat Amanah .

إنا عرضنا الأمانة على السـموات و الأرض و الـجـبال فأبين أن يحملنها
و أشـفقن منهـا و حملهـا الإنسـان إنه كان ظلوما جهولا

"Sesungguhnya kami telah mengemukakan amanat kepada langit , bumi dan gunung ganang maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanat itu oleh manusia . Sesungguhnya manusia itu amat dholim dan bodoh ."
( Al Ahzab 72 )

3 ) Matlamat Ibadat .

وما خلقت الجن و الإنس إلا ليعبدون ما أريد منهم من رزق
و ما أريد أن يطعمون إن الله هو الرزاق ذو القوة المتين

"dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya merteka menyembahKu . Aku tidak mengkehendaki rezki sedikitpun dari mereka dan aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi aku makan . Sesungguhnya Allah, dialah Maha Pemberi rezki yang mempunyai kekuatan yang sangat kukuh .
( Adz Dzariyyat 58)

2 ) ISLAM ADALAH PEMERINTAHAN DAN UMMAH .

Pemerintahan dan Ummah jua terikat dengan etika agong yang diutus khas oleh Allah swt . ( Al quran ) Pemerintahan selayaknya bertunjangkan syariat dan prinsip - prinsip amal Islami .

Firman Allah swt .

أفحكم الجاهلية يبغون و من أحـســن من الله حكما لقوم يوقنون

"Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki dan ( hukum ) siapakah yang lebih baik daripada ( hukum ) Allah bagi orang - orang yang yakin ?"
( Al Maidah 50 )

* Al Qurtubi berkata : Pertanyaan dalam ayat ini di kenali sebagai Istifham Inkari iaitu keinkaran secara murka dari Allah swt .

2.1 Prinsip - prinsip Amal Islami dalam negara Islam .

i ) Hanya hukum Allah yang ditegakkan .
ii ) Pertahankan kebenaran .
iii ) Membina keadilan : 

a ) Undang - undang ( hukum ) .
b ) Kehakiman . 

iv ) Mengizin dan mengawal kebebasan :

a ) Kebebasan menganut ugama 
( kepada mereka yang belum Islam ) .
b ) Kebebasan nasihat 

Islam turut membangunkan ummat diatas pelantar aqidah dan ukhuwwah Islamiyyah yang jitu . Serentak itu , ummat diprogramkan melalui ‘frame work’ agong (Al Quran) untuk lahir sebagai ummat terbaik .

2.2 Ciri - ciri ummat terbaik .

i ) Amar ma'ruf dan nahi mungkar .
ii ) Beriman kepada Allah .
iii ) Menyebar risalah sejagat . 

كنتم خير أمة أخرجت للـنـاس تأمرون بالـمعـروف و تنهون عن المنكر و تؤمنون بالله

"Kamu adalah sebaik - baik ummat yang dilahirkan di tengah - tengah manusia , kamu menegakkan yang ma'ruf , mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah”
( Al Imran 110 )

3 ) ISLAM ADALAH AKHLAK DAN KEKUATAN .

Islam sebagai cara hidup kelihatan mekar , indah dan berseri melalui syiar utamanya iaitu Akhlak . Sabda Rasulullah saw .

إنـما بعثت لأتـمم مكارم الأخلاق

" Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak "

Akhlak yang mulia menepati kekuatan peribadi dan kekuatan dalam . Akhlak terbahagi kepada dua :

Akhlak terhadap Allah
Akhlak sesama manusia 

Kekuatan mampan adalah rangkuman dua bentuk kekuatan , iaitu kekuatan dalaman dan luaran . Ianya perlu disiapkan .

و أعدوا لـهم ما اسـتطعـتم من قوة و من ربـاط الخـيل ترهـبون به عدو الله و عدوكم

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggup dan dari kuda - kuda yang ditambat untuk berperang ( yang dengan persiapan itu ) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu "



( Al Anfal 60 )

Kekuatan adalah prinsip asas untuk mempertahankan maruah ummah sekaligus membina empayar . ( سـلـطـة ) Kekuatan ini pula terbahagi kepada dua : ( kedua - duanya wajib dibina )

i ) Kekuatan Individu
ii ) Kekuatan Jamaah 

4 ) ISLAM ADALAH RAHMAT DAN KEADILAN

Rahmah , lambang kesentosaan penganut Islam . Membuatkan hati damai , tenang dan tidak putus harap . Islam adalah satu - satunya sistem hidup yang memupuk suasana rahmah . Bermula dari cucuran rahmat Ilahi berupa iman dan Islam , ia terus menyinari alam untuk mencetus keadilan .

Rahmah satu kuasa yang gigih menentang sikap mazmumah seperti dendam kesumat , iri hati , semangat permusuhan sesama sendiri dan lainnya . Sementara keadilan adalah manifestasi dari rahmah yang tercerna .

و لا يجرمنكم شـنأن قوم على ألا تعدلوا اعدلوا هـو أقرب للتـقوى و اتـقوا الله إن الله خـبير بـما تعـملون

"Dan jangan sekali - kali kebencianmu terhadap sesuatu qaum , mendorong kamu untuk berlaku tidak adil . Berlaku adil lah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan ."



(Al Maidah 8 )
Hukuman di dalam Islam adalah berteraskan keadilan . Ia tidak bermaksud
berlaku kejam kepada sesiapa , malah berfungsi sebagai pemeliharaan sejagat . ( Menggunakan konsep : Tegah kawal daripada Allah . نكـالا من الله )

Keadilan Islam , lebih tepat dapat dilihat apabila Islam mengemukakan program mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya yang menyelamatkan manusia dari kancah kerugian yang berpanjangan .

و العـصـر إن الإنـسـان لفى الخـسـر إلا الذين ءامنوا و عـمـل الـصـالحـات وتـواصـو بالحق و تواصو بالصـبر

"Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan - pesan dengan kebenaran dan berpesan - pesan dengan kesabaran ”
( Al Ashr 1 - 3 )

5 ) ISLAM ADALAH PENGETAHUAN DAN UNDANG - UNDANG

Tanpa pengetahuan yang mendalam , Islam pastinya tidak mampu dihayati . Sebagai cara hidup yang sempurna , yang merangkumi semua aspek kehidupan, sememangnya meletakkan pengetahuan di prioriti terpenting . Pengetahuan ini tidak terbatas dalam hal yang berhubung dengan ugama Islam semata - mata , malah merangkumi pelbagai hal termasuk konspirasi musuh .

Syaidina Omar Ibn Al Khattab pernah menjelaskan :

إنـما تنقض عرى الإسـلام عروة عروة إذا نـشـئا فى الإسـلام من لم يعرف الـجـاهـلـية

" Sesungguhnya ikatan Islam itu akan terungkai satu demi satu apabila berleluasa di dalam Islam orang yang tidak mengenali Jahiliyyah . "

Islam adalah ugama yang menganjurkan kemakmuran dan tamaddun ummat . Justeru itu, pengetahuan ialah fungsi utama sebagai motor penggerak kearah membina masyarakat bertamaddun . Status jahil ( tidak berilmu pengetahuan ) menjadi status hina di kaca mata umum , maka Islam jua anti kejahilan .

Sabda Rasulullah saw .

الـجـهـل و الكفر كهـاتـيـن و أشـار إلى عـيـنـيه

أو كما قـال

" Kejahilan dan kekufuran seperti dua benda ini seraya menunjukkan kepada dua matanya ( mata hitam dan mata putih ) "

Mujtama' berpengetahuan ini , akur bahawa hidup manusia semestinya dikawal pelihara oleh satu perundangan agong dari khaliq . Prinsip undang - undang tersebut ialah untuk memelihara maslahah ( kepentingan ) dan menolak mafsadah ( kerosakkan ) Membebaskan diri dari undang - undang Khaliq ertinya membebaskan diri dari Islam itu sendiri .

Sementara pihak yang menafikan undang - undang Khaliq atau menganggap tidak releven dan belum masanya lagi untuk dilaksanakan kini , adalah suatu sikap yang menafikan kelansungan Islam itu sendiri , sedang Allah telah menegaskan :

اليوم أكملت لكم دينكم و أتـممت عليكم نعمتى و رضيت لكم الإسـلام ديـنـا

" Hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu ugama kamu dan telah ku lengkapkan ke atas kamu ni'matKu dan Aku redho bagi kamu Islam sebagai cara hidup "



( Al Maidah 3 )

Institusi kehakiman yang akan mengendalikan pelaksanaan undang - undang semestinya menepati syarat berikut :

i ) Muslim
ii ) Kemampuan berijtihad
iii ) Pengetahuan yang luas tentang hukum hakam Islam
iv ) Amanah dan kemampuan mengendalikan kes
v ) Lelaki
vi ) Merdeka 

6 ) ISLAM ADALAH KEBENDAAN ATAU USAHA DAN KEKAYAAN

Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan berfungsi sebagai alat bantu kekuatan . Berasaskan statement ini , Islam mempunyai ruang selesa untuk mengizinkan ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi .

فإذا قضيت الصـلوة فانتشـروا فى الأرض و ابتغوا من فـضل الله واذكروا الله كثـيرا لعلكم تفلحون

"Apabila telah ditunaikan sembahyang , maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak - banyak supaya kamu beruntung"



( Al Jumua'h 10 )

Namun begitu kebendaan yang diusaha dan kekayaan yang dicita bukan menjadi satu prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan . Segalanya sebagai sarana untuk menjulang syiar Islami bukan sebaliknya iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan .

Erti kata lain , kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan hina dimata dunia , pula dalam masa yang sama , ianya tidak membawa ummat Islam ke peringkat ego dan bongkak . Lebih tepat , usaha hasil bumi berorientasi pembangunan dan kemajuan mestilah bermatlamat untuk kepentingan akhirat dan bermula dengan nokhtah zikrullah .

7 ) ISLAM ADALAH JIHAD DAN DAAWAH ATAU KETENTERAAN DAN FIKRAH .

Asas kegemilangan Islam ialah jihad dan daawah . Kibaran panji Islam di medan jihad adalah lambaian ketuanan Islam sebagai ugama Allah . Firman Allah swt .

ليظـهره على الدين كله ولو كره المشـركون

" Supaya mendhohirkannya mengatasi ugama lain keseluruhannya , sekalipun ia dibenci oleh orang - orang musyrik . "
( As Shof 9 )

Menyeru dan mengajak ( daawah ) insan beraqal agar mengabdi diri kehadhrat Ilahi dan menjauhi tunggangan syaitan ( thoghut ) pula adalah agenda ketuanan Islam .

ولقد بعثنا فى كل أمة رسـولا أن اعـبدوا الله و اجتنبوا الطـاغوت

" Dan sesungguhnya telah kami bangkitkan disetiap kalangan ummat akan seorang rasul supaya menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhkan thoghut "



( An Nahl 36 )

Jihad Islami tidak bermaksud perang semata - mata malah ia meliputi pengorbanan jiwa, harta dan tenaga dalam siri usaha berterusan untuk memartabatkan ummat Islam . Sementara daawah Islamiyyah yang tercerna dari fikrah harakiyyah pula sebagai aktiviti utama yang berpaksi di atas jihad Islami . Penglibatan tentera yang mengisi ruang dan menyahut semboyan jihad guna menghadapi konspirasi mustakbirin adalah suatu kefardhuan di dalam Islam .

وقـاتلوهم حتى لا تكون فتنة و يكون الدين كله لله

" Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah ugama keseluruhannya bagi Allah "



( Al Anfal 39 )

8 ) ISLAM ADALAH AQIDAH YANG BENAR DAN IBADAT YANG SAH .

Aqidah yang benar adalah denyutan nadi Islam . Islam satu-satunya ugama cara hidup yang bertunjangkan aqidah ( keiltizaman yang jitu kepada Allah .) Krisis aqidah merupakan satu krisis yang boleh menafikan status keislaman seseorang sementara krisis ibadah pula boleh membatalkan potfolio seorang muslim . Islam disemua bidangnya ( Ibadah , munakahat , muamalat ) beroperasi di atas aqidah yang benar . ( Ketundukan dan kepatuhan mutlak kepada Allah swt ) Tanpa ketundukan dan kepatuhan mutlak ini ( aqidah ) ummat Islam terdedah kepada bahaya .

i ) bahaya murtad dan syirik
ii ) bahaya perpecahan kronik
iii ) bahaya kelemahan ketara
iv ) bahaya penghinaan melulu 

[1] Rujuk : Sistem Pemerintahan Negara Islam oleh Tuan Guru Hj. Abd. Hadi . m/s : 126 [2] Rujuk : Sistem Pemerintahan Negara Islam oleh Tuan Guru Hj. Abd Hadi . m/s 58

No comments:

Post a Comment