Maka dikumpulkan hadiah-hadiah yang berharga termasuk emas, intan dan berlian. Kemudian dikumpulkan beberapa orang penari dan penyanyi yang cantik jelita dan beberapa orang guru yang terlatih supaya berkhidmat dengan Sultan Muhammad. Pada hari yang ditetapkan mereka berangkat ke Turki lalu menghadap Sultan Muhammad. Kedatangan mereka disambut dengan baik.
“Kami bawakan hadiah-hadiah yang berharga daripada Maharaja Constantine kepada tuanku,” kata ketua utusan Maharaja Constantine sambil memberikan hadiah-hadiah itu kepada Sultan Muhammad.
Kami juga membawa beberapa orang penyanyi dan penari yang cantik jelita bagi menghiburkan tuanku. Dan beberapa orang guru yang terlatih bagi mengajar tuanku ilmu adab dan istiadat kaum bangsawan. Mereka berkhidmat kepada tuanku secara percuma,” kata ketua utusan itu lagi.
Dengan tegas Sultan Muhammad menjawab, “Saya tidak tertarik dengan hadiah-hadiah yang kamu bawa. Kembalikan semula kepada Maharaja kamu.”
Ketua utusan berasa amat kecewa. Tetapi dia tidak putus asa dan berusaha memujuk, “Semoga tuanku sudi membenarkan penyanyi dan penari ini tinggal di istana.”
“Saya tidak tertarik dengan hiburan yang melalaikan. Kenikmatan bagi saya adalah apabila beramal ibadat, bukan melakukan maksiat,” tegas Sultan Muhammad.
“Tuanku tentu tidak rugi sekiranya menerima perkhidmatan guru-guru yang terlatih ini. Mereka boleh mengajar tuanku adab dan istiadat kaum bangsawan. Mereka juga boleh mengajar ilmu –ilmu yang lain.”
“Haram hukumnya seorang Islam dididik oleh orang kafir,” kata Sultan Muhammad lalu disuruhnya kembali ke negara mereka.
Maharaja Constantine berasa marah dan tercabar kerana anak muda yang disangkanya masih mentah itu berjaya memalukannya. Dendamnya semakin membara. Baginda meminta para pembantunya mencari jalan bagi membalas dendam. Akhirnya ketua paderi itu memberi cadangan, “Izinkan saya menghadap Sultan Muhammad itu,” katanya.
“Apa rancanganmu?” Tanya Maharaja Constantine.
Ketua paderi itu membisikkan sesuatu ke telinga Maharaja Constantine. Baginda tertarik dengan cadangan itu. Malah yakin rancangan itu pasti berjaya memalukan Sultan Muhammad dan para ulama Turki.
Bersambung untuk tajuk berikutnya, HIDAYAH. Teruskan setia bersama blog ini.
Petikan: Buku Novel Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh, karya Abd Latip Talib.
No comments:
Post a Comment