“Ke manakah tuanku hendak berangkat semasa bercuti nanti?” Syeikh Bayram bertanya.
“Ke Pulau Magnesia,” jawab Sultan Murad. “Saya sukakan pulau itu kerana pantainya bersih, pemandangannya indah dan menenangkan fikiran. Amat sesuai berehat dan beramal ibadat.”
“Siapakah yang menemani tuanku?”
“Panglima Tharhan dan beberapa orang tentera bagi menjaga keselamatan. Selain itu saya mahu tuan menjadi pengiring. Tetapi ini bukan arahan. Tuhan boleh menolaknya sekiranya tidak bersetuju.”
“Bagaimana sekiranya Syeikh Syamsuddin al-Wali yang mengiringi tuanku? Dia anak murid yang saya paling saya percayai. Ilmu agamanya juga sangat tinggi. Tuanku tidak rugi sekiranya pergi bermusafir bersamanya.”
Sultan Murad bersetuju dengan cadangan itu. Kemudian dipanggilnya Sultan Muhammad bagi diajak berbincang.
“Ayahanda sudah tua. Pada bila-bila masa sahaja malaikat maut datang mengambil nyawa ayahanda. Oleh kerana itu, anakanda mesti bersedia mengambil alih tanggungjawab ayahanda,” kata Sultan Murad.
“Insyaallah, anakanda sudah bersedia!” balas Sultan Muhammad.
“Ayahanda bercadang hendak bercuti ke Pulau Magnesia. Mungkin sebulan atau mungkin setahun. Kerana itu ayahanda melantik anakanda memangku tugas ayahanda. Ini juga adalah pendedahan dan latihan kepada anakanda sebelum dilantik menjadi sultan sepenuhnya.” Sultan Murad meluahkan rasa hatinya.
“Insyaallah anakanda bersedia memangku tugas itu. Doakan semoga anakanda berjaya.” Sultan Muhammad menyatakan kesanggupannya.
“Sentiasalah berdampingan dengan guru ayahanda, Syeikh Bayram. Ajaklah dia berbincang dan jadikan tempat rujukan terutama dalam masalah agama,” pesan Sultan Murad.
Pada hari yang ditetapkan Sultan Murad berangkat ke Pulau Magnesia dengan diiringi pasukan tentera dan para pembantunya. Manakala Sultan Muhammad dilantik sebagai pemangku Sultan Murad bagi memerintah Turki.
Pemergian Sultan Murad ke Pulau Magnesia sampai ke pengetahuan Maharaja Constantine yang memerintah Kota Constantinople. Timbul niat jahat di hatinya hendak menghancurkan Kerajaan Islam di Turki. Para pembantu dipanggil bagi melaksanakan niat jahatnya itu.
“Sultan Murad berada di Pulau Magnesia yang terletak jauh dari pusat pemerintahannya. Urusan negara diserahkan kepada puteranya Sultan Muhammad yang baru berusia 16 tahun. Aku ada 1 rancangan sulit. Tetapi sebelum aku mengemukakannya, aku hendak tahu pendapat kamu dahulu,” beritahu Maharaja Constantine.
“Saya cadangkan supaya kita hantar tentera ke Pulau Magnesia bagi membunuh Sultan Murad dan semua pengiringnya, kata Ardogan, ketua panglima Maharaja Constantine.
“Lebih baik kita terus serang pusat pemerintahannya. Sultan Muhammad itu masih mentah, baginda tidak ada pengalaman berperang dan tidak mampu menyusun tentera menghadapi serangan kita,” kata Alexi pula.
“Saya ada cadangan yang lebih baik,” kata Zaqhanus, dia seorang paderi berasal dari Albania datang ke Constantinople lalu dilantik menjadi ketua paderi.
“Sila kemukakan,” kata Maharaja Constantine.
“Saya yakin Sultan Murad sudah membuat persediaan sebelum berangkat ke Pulau Magnesia kerana baginda seorang sultan yang cerdik. Sekiranya berlaku peperangan ramai lagi nyawa yang terkorban. Tambahan pula kita sudah beberapa kali berperang dengan mereka. Kerana itu saya cadangkan kita hantar utusan perdamaian kepada Sultan Muhammad.”
“Utusan perdamaian? Apa maksud kamu?” tanya Maharaja Constantine.
“Anak muda sukakan permainan dan hiburan. Kita kirimkan hadiah-hadiah yang mahal kepada baginda. Selain itu kita hantar beberapa orang penari dan penyanyi. Bagi mempengaruhi fikirannya, kita hantar guru-guru yang berkelayakan bagi mengajar adab dan adat-istiadat raja-raja,” jawab ketua paderi itu.
Maharaja Constantine terdiam lalu menimbangkan cadangan itu. Kemudian dia berkata, “Aku bersetuju dengan cadangan itu. Anak muda memang sukakan permainan dan tarian. Buat persiapan segera!”
bersambung seterusnya,perangkap bahagian 4...
No comments:
Post a Comment