Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, October 31, 2010

Hidayah Bahagian 1

“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya daripada Tuhannya; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir.”
-Surah Al-Kahfi: 29-

Hari berganti minggu dan minggu berganti bulan. Kini genap sudah 3 bulan Sultan Murad berada di Pulau Magnesia. Selama ketiadaan baginda, Sultan Muhammad Al-Fateh yang mentadbir negara. Walaupun usianya masih muda namun baginda dapat menunjukkan kemampuannya memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Rakyat berasa selamat walaupun Sultan Murad tidak ada. Mereka mula yakin dengan kemampuan putera baginda itu. Namun musuh mereka yang berpusat di Kota Constantinople sentiasa berusaha menghancurkan kerajaan Uthmaniyyah. 1 demi 1 perancangan yang mereka lakukan. Kali ini Maharaja Constantine menghantar utusan yang diketuai oleh Zaqhanus, seorang ketua paderi yang terkenal dengan kebijaksanannya.

“Tujuan kita memperdayakan Sultan Muhammad dan ulama-ulama mereka adalah supaya mereka keluar dan menganut agama kita. Sekiranya rancangan ini berjaya, kamu mendapat penghormatan seperti seorang raja dan kamu menjadi kaya-raya,” janji Maharaja Constantine kepada Zaqhanus.

“Saya yakin rancangan ini pasti berjaya. Sultan muda itu pasti terpedaya dengan muslihat kita ini. Tambahan pula saya sudah membuat kajian yang mendalam. Saya tahu dimana kelemahan mereka,” kata ketua paderi itu bersungguh-sungguh.

“Tetapi awas..!!!” kata Maharaja Constantine, “Sekiranya rancangan ini gagal kamu jangan pulang ke sini. Aku tidak mahu tengok muka kamu lagi.”

“Baiklah tuanku,” ujar Zaqhanus.

Dia begitu yakin muslihatnya itu pasti mendatangkan kejayaan. Tambahan pula cabarannya itu tidak mampu dilakukan oleh sesiapapun. Usahkan manusia, malaikat, jin, dan syaitan pun tidak mampu melakukannya. Janji Maharaja Constantine menyemarakkan lagi semangatnya. Terbayang di ruang matanya kemewahan hidup dan penghormatan yang dikurniakan oleh maharaja.

Apabila Sultan Muhammad mendapat tahu kedatangan utusan Maharaja Constantine itu, baginda berlapang dada kerana mereka datang dengan niat yang baik. Mereka dilayan sebagai tetamu. Namun ketua paderi itu tetap tidak mengurungkan niatnya hendak memperdayakan Sultan Muhammad. Dia memasang perangkap kata-kata, “Kedatangan kami kali ini tidak membawa apa-apa hadiah daripada Maharaja Constantine. Kami tahu tuanku tidak mahu menerima rasuah. Kedatangan kami kali ini hendak berbincang mengenai hadis Nabi Muhammad,” kata ketua paderi itu sebaik sahaja menghadap.

Sultan Muhammad tertarik hati mendengarnya. Sambil tersenyum baginda berkata, “Alhamdulillah, di sini ramai pakar hadis. Mereka bersedia mengajar kamu ilmu hadis. Semoga kamu mendapat hidayah daripada Yang Maha Berkuasa.”

“Saya datang bukan hendak mempelajari ilmu hadis. Tetapi hendak berbincang mengenai suatu hadis dengan ulama-ulama tuanku,” kata Zaqhanus sambil membuka kitabnya.

“Apa maksud kamu?” tanya Sultan Muhammad.

“Tuanku perintahkan ulama-ulama besar supaya berkumpul ke sini kerana apa yang hendak saya perkatakan ini ada kaitannya dengan hadis nabi tuanku, Muhammad,” jawab ketua paderi itu.

“Apakah kamu hendak mempersendakan nabi kami?” tanya Sultan Muhammad. Baginda mula naik berang. Darah mudanya cepat panas sekiranya ada yang cuba mempersendakan Rasulullah SAW.

Apakah hadis yang ingin diperdebatkan oleh Zaqhanus yang meminta Sultan Muhammad mempersiapkan baginya pertemuan dengan ulama-ulama baginda sehingga baginda berang dengan ucapan angkuh ketua paderi utusan Maharaja tersebut? Ikuti sambungan kisah menarik ini di tajuk “HIDAYAH BAHAGIAN 2” berkutnya.

Sumber: Novel Islam “Sultan Muhammad Al-Fateh; Penakluk Konstantinople” karya Abd Latip Talip.

No comments:

Post a Comment