Kaedah serta cara-cara pengendalian Halaqah merupakan salah satu keberhasilan sesuatu Halaqah. Perlu ditegaskan di sini adalah bahawa majlis Halaqah bukanlah suatu majlis ilmu mengikut pengertian yang biasa difahami. Ia merupakan gabungan unsur-unsur majlis ilmu, kerohanian, pembinaan bakat dan kemahiran soft-skill sesama anggota Halaqah itu sendiri. Oleh yang demikian perlaksanaan Halaqah perlu mempunyai perbezaan dari majlis ilmu yang biasa.
1) Bukan sesi dialog sehala
Selain perkongsian maklumat, Halaqah berperanan sebagai interaksi antara Fasilitator/Naqib serta anggota-anggota Halaqah. Jika seorang sahaja yang berbicara, maka Halaqah tersebut akan menjadi bosan dan mengakibatkan tumpuan serta penglibatan/komitmen ahli-ahli Halaqah tidak memberangsangkan.
2) Maudhu’ (tajuk penyampaian) harus bersesuaian dengan marhalah serta peringkat anggota halaqah)
Kandungan/contents kepada pengisian Halaqah haruslah menepati targetnya. Ini dapat dikenalpasti melalui kaedah ta’aruf/berkenalan terlebih dahulu agar diketahui tahap/level anggota. Dalam memenuhi selera anggota Halaqah, maka fasilitator harus bijak menggunakan bahan-bahan serta cara yang bersesuaian dan mudah diterima oleh anggota Halaqah.
3) Sesi Halaqah perlulah dalam suasana penuh ukhuwah (persaudaraan)
Bimbingan fasilitator amatlah perlu agar anggota Halaqah merasai suasana ukhuwah yang mengikat hati-hati mereka. Menyemai kesedaran beragama, memahamkan pengertian menanggung amanah dan menanamkan rasa tanggungjawab menjaga agama adalah lebih utama. Semestinya ia memerlukan minat serta keghairahan anggota Halaqah daripada suasana perlaksanaan fasilitator.
4) Majlis Halaqah tidak boleh dikuasai oleh seorang sahaja
Fasilitator juga hendaklah mempastikan agar tiada anggota tertentu sahaja yang bercakap,sedangkan anggota lain pasif serta tidak bersuara. Suasana sebegini akan mencetuskan perasaan tidak senang anggota Halaqah yang lain.
5) Tidak meminggirkan/menyisihkan anggota halaqah tertentu
Usahlah bersifat sedemikian walaupun terdapat anggota yang membawa karenah tertentu yang kurang disenangi. Masalah peribadi atau pembawaan yang tidak disenanginya perlula diperbetulkan secara beransur-ansur dan penuh hikmah.
6) Jangka masa Halaqah tidak terlalu lama
Apa yang penting merupakan tumpuan anggota Halaqah tersebut. Oleh itu janganlah menimbulkan rasa jemu kepada anggota. Fasilitator hendaklah memperuntukkan masa yang munasabah misalnya untuk al-Quran/Hadis setengah jam, perbincangan dan soal jawab setengah jam, dan isu semasa serta organisasi Halaqah setengah jam. Fasilitator hendaklah memastikan perbincangan tidak meleret dan memakan masa yang lama.
7) Tidak menjadikan suasana Halaqah sebagai majlis bergurau senda
Terlalu banyak jenaka akan menghilangkan wibawa majlis ilmu dan kerohanian. Elakkanlah bersifat sedemikian agar keberkatan majlis terpelihara.
8) Menjadikan Halaqah sebagai pusat pembelajaran hidup berorganisasi
Sangat perlu agar latihan serta praktikal sesuatu arahan serta daya kepekaan anggota dapat berkembang secara positif.
9) Memperuntukkan ruang muhasabah di dalam Halaqah
Persoalan ibadah,fikrah(pemikiran),peribadi, keluarga mahupun organisasi Halaqah dilakukan dalam bentuk nasihat dan teguran dengan penuh hikmah agar soal maruah individu terpelihara. Carilah waktu lain juga untuk berbincang secara peribadi.
“Bukanlah Naqibmu itu seorang yang kamu hanya mendengar daripadanya, tetapi naqibmu yang sebenar ialah yang mana kamu telah mengambil ilmu daripada pengamalannya.”
Edit daripada Rujukan buku; Usrah dan Harakah, Ya’qub Muhammad Hussin terbitan Dewan Pustaka Fajar, untuk terbitan blog Albanna Merintis Masa Depan, http://umarfarouq.blogspot.com.my
No comments:
Post a Comment