assalamualaikum wbt, artikel dibawah ini disalin daripada buku Nota kepada diri, 71 Nasihat agama dan akhlak, Nik Abd Aziz Nik Mat... selamat membaca...
Setelah Nabi Isa AS selesai menghadapi segala soalan daripada Allah SWT, kemudian tiba giliran Nabi Muhammad SAW diseru oleh Tuhan: “Manakah dia Muhammad?” Mendengar seruan itu , lalu malaikat yang mengiringi Nabi Muhammad SAW menghadap Tuhan. Sekali lagi Allah taala menyeru dan bertanya kepada Nabi SAW:
“Hai Muhammad, sesungguhnya Jibril menjelaskan bahawa kitab al-Quran yang telah disalinnya dari Luh Mahfuz telahpun diserahkan kepadamu. Benarkah engkau telah menerimanya?”
Jawab Nabi Muhammad SAW:
“Sesungguhnya benarlah segala pengakuan Jibril itu, bahawa kitab al-Quran itu telah diserahkan sepenuhnya. Sebagaimana yang telah diamanahkan kepadaku, maka kesemua kandungan al-Quran telah aku sampaikan kepada umatku.”
Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW naik ke atas mimbar khas yang telah disediakan serta membaca al-Quran, ayat demi ayat sehingga akhir kalimah. Apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran oleh Nabi Muhammad SAW di Mahsyar, sekalian umat baginda yang mendengar bacaan tersebut seolah-olah mereka belum pernah mendengarnya sebelum itu.
Hal yang demikian ini disebabkan bacaan Nabi Muhammad SAW sungguh indah didengar dan beralun menurut rentak dan maksud ayat. Adakalanya suaranya rendah menawan, terutamanya apabila sampai kepada ayat-ayat yang mengandungi doa dan harapan. Ada ketikanya suara Nabi Muhammad SAW meninggi bagaikan suatu amaran yang menggerunkan, terutamanya mengenai ayat-ayat azab dan ancaman kepada mereka yang ingkar terhadap hukum Allah SWT.
Nada bacaan Nabi Muhammad SAW kena pada rentak maksud dan tujuan ayat-ayat, justeru tidak ada manusia yang begitu indah bacaannya selain daripada Nabi Muhammad SAW. Lantaran itu, setiap kalimah yang dibacanya seolah-olah ayat yang baru pertama kali diperdengarkan, sedangkan al-Quran yang dibaca oleh Nabi SAW adalah al-Quran yang diturunkan oleh malaikat Jibril AS di dunia dahulu
Seorang alim dan hafiz bernama Asmu’ei yang terkenal bukan sahaja kerana kelancaran bacaannya serta keindahan sebutannya, malah beliau pernah berkata kepada sahabatnya: “Bahawa setiap kali aku mendengar ayat-ayat al-Quran keluar dari mulut Nabi Muhammad SAW seolah-olah ayat-ayat itu baru diturunkan oleh Allah SWT yang belum pernah aku mendengarnya.”
Jika di dunia, bacaan Nabi Muhammad SAW sentiasa segar seakan-akan wahyu yang baru turun, maka betapa pula bacaan Nabi Muhammad SAW di atas mimbar khas di Mahsyar, iaitu bacaan khusus seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Sudah pasti bacaannya amat indah dan kuar biasa, bukan sahaja umat nabi-nabi terdahulu mendengarnya sebagai sesuatu yang baru, malah umat Muhammad sendiri berasakan seolah-olah bacaan al-Quran oleh Nabi Muhammad SAW itu sesuatu yang baru dan segar.
sekadar gambar hiasan
Apabila seluruh kitab Allah yang telah diturunkan kepada para Rasul telah selesai dibacakan di padang Mahsyar, kemudian datanglah satu suara dari sebuah astaka kebesaran Tuhan. Suara itu berbunyi: “Wamtazul yauma ayyuhal mujrimun.”(Surah Yaasin ayat 59) yang bermaksud: Dan (dikatakan kepada orang kafir): “Berpisahlah kamu (daripada orang-orang mukmin) pada hari (Kiamat) ini, hai orang-orang yang berbuat jahat”.
Pemisahan antara orang-orang mujrimun(kafir) dan orang-orang yang beriman itu dilakukan setelah bacaan kali kedua Kitab-kitab Samawi oleh para Rasul pada hari Mahsyar. Bacaan itu dapat membezakan antara umat para Rasul yang beriman dengan umat yang jahat dan ingkar.
Bacaan pertama kitab-kitab Samawi itu ialah semasa para Rasul menerimanya daripada Allah SWT di dunia dahulu. Sebahagian daripada umat para Rasul itu beriman dengan ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada mereka, namun sebahagian besar mereka menolaknya. Malah ada kalangan para pendusta itu yang menuduh bahawa ayat-ayat yang dibacakan oleh para Rasul itu sebagai dongeng dan rekaan semata-mata.
Golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah itu tidak berasa berasalah terhadap sikap mereka yang keji kerana mereka boleh hidup senang dan mewah, malah sebahagiannya lebih senang dan mewah daripada orang-orang yang beriman itu sendiri.
Namun apabila mereka dibangkitkan semula di Mahsyar, mereka telah diperdengarkan ayat-ayat Allah SWT sekali lagi oleh para Rasul dengan bacaan yang terang. Ketika itu, barulah mereka berasa betapa pentingnya mengimani ayat-ayat Allah itu. Disebabkan keingkaran tersebut, mereka terpaksa menerima hakikat bahawa untuk bersama dengan orang-orang yang beriman di Mahsyar pun mereka tidak layak, apatah lagi untuk menikmati ganjaran syurga adalah lebih jauh sama sekali.
Setelah datang arahan daripada Allah SWT supaya orang-orang mujrimun (kafir) berpisah daripada orang-orang yang beriman, maka kedudukan manusia di Mahsyar telah terbahagi kepada 2 golongan, ialtu golongan mukminun dan golongan mujrimun. Ketika puak mujrimun (kafir) dipisahkan daripada orang-orang yang beriman, mereka mula merasa ketakutan yang terlalu amat.
Ketika itu, datang seruan kedua yang memerintahkan Nabi Adam AS: “Wahai Adam, hantarlah kiriman untuk ke neraka.” Kemudian Nabi Adam AS bertanya semula kepada Tuhan: “Sebanyak mana wahai Tuhan?” lalu Allah Taala menegaskan: “Bahawa daripada 1000 orang, 999 untuk neraka, hanya 1 daripada 1000 yang dimasukkan ke syurga.”
Mulai dari saat itu, puak-puak yang menyeleweng daripada ayat-ayat Allah SWT diheret keluar daripada kumpulan orang-orang yang beriman oleh para malaikat, yang berbaki hanya satu genggaman yang akan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Sebesar manakah genggaman Tuhan itu? Hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mangetahui.
Ketika Abu Bakar as-Siddiq RA mendengar hadis tersebut disampaikan oleh Rasulullah SAW lalu Abu Bakar berdoa kepada Allah Taala. “Semoga kita termasuk kedalam genggaman Tuhan itu”, iaitu dalam kalangan orang-orang mukmin yang bakal menikmati syurga Allah SWT.
No comments:
Post a Comment