29 Mei 2010, genaplah 557 tahun kemenangan Islam di kubu pertahanan terkebal dunia, Konstantinopel di Turki. 29 Mei setiap tahun seharusnya dijadikan bukan sekadar hari memperingati kejayaan Sultan Al-Ghazi Muhammad bin Murad membuka Konstantinopel sehingga menebalkan lagi sindrom ‘hero worshipping’ umat Islam, tetapi lebih penting dari itu ia adalah hari untuk gerakan mahasiswa Islam melakukan muhasabah ke atas soal pemerkasaan organisasi khususnya dalam aspek produktiviti (pencapaian visi) dan kompetensi ahli-ahlinya. Juga sejauhmana agenda ‘sharpen the saw’ organisasi dengan peneluran idea-idea segar dan ‘out of the box’ diraikan mahupun dilaksanakan dengan tujuan agar gerakan anak muda Islam terus berpengaruh di kampus.
Kemenangan menjejakkan keadilan Islam di Haghia Sofia oleh Muhammad Al-Fateh perlu dianalisa dengan pembacaan yang lebih meluas sumbernya dan analisa yang lebih tersirat sifatnya dari fakta yang tersurat, jika benar mahu membongkar hikmah dan mukjizat hadis pujian Nabi kepada baginda dan pasukan baginda. Proses pengepungan yang memakan masa hampir 2 bulan hakikatnya suatu proses yang sangat sukar, mustahil dan hampir-hampir sejarah sedang bersedia saat itu untuk menguburkan sebagai percubaan ke 12 tentera Islam yang gagal selepas 800 tahun Nabi mensabdakannya.
Misi menyebarkan keadilan kerajaan Islam Usmaniah di Konstantinopel bukan sahaja dihalang oleh kesombongan Maharaja Constantine XI dan 40,000 orang komando Byzantine, tetapi juga oleh dua benteng kebal yang mencapai ketebalan 10-15 meter, parit besar sedalam 10 meter, 3 perairan laut, 7 anak bukit dan 400 matarantai gergasi memagari Tanduk Emas dari dijejaki kapal-kapal Usmaniah.
Peristiwa penawanan Konstantinopel oleh sepasukan manusia biasa berajakan seorang yang tidak pun berketurunan Nabi dan bukan pula berbangsa Arab, ditambah pula dengan usia remaja yang mungkin terlalu sangat mentah bagi kebanyakan orang, hakikatnya menyerlahkan kombinasi ampuh persiapan ilmu dan teknologi (IQ), persiapan moral dan emosional tentera (EQ) dan persiapan kerohanian (SQ) terbaik pernah ditonjolkan oleh tentera Islam yang tidak berada dalam lingkaran 300 kurun yang terbaik.
Misi mengibarkan panji Islam di atas tembok Konstantinopel pada 1453 Masihi tersebut ternyata tidak memadai dengan semata doa munajat dan keimanan yang kental pada hadis penawanan Konstantinopel andaikata tiada teknologi membabitkan 4 meriam gergasi Urban dan serangan mortar – pertama kali dalam sejarah - untuk memecahkan benteng kebanggaan empayar Byzantine.
Keseimbangan pendidikan ilmu ‘intelectual sciences’ dan ‘spiritual sciences’ sebagaimana direkodkan Taskopruluzade Ahmed, penguasaan 7 bahasa kawan dan lawan Usmaniah, pemilihan bulan dan tahun kempen pengepungan pada masa paling meresahkan moral pemerintah dan kepercayaan rakyat Byzantine, penggunakan teknologi (meriam gergasi) dan kepakaran musuh tradisi Usmaniah sendiri iaitu Hungary, hakikatnya belum memadai juga tanpa didikan kerohanian yang ketat ke atas Sultan Muhammad sehingga baginda tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak dari aqil baligh. Manakala idea ‘brilliant’ sebagaimana diakui oleh sejarawan dunia seperti Runciman, Babinger dan Schumberger iaitu pemindahan 70 buah kapal dari semenanjung Fera di Bhosporus ke Golden Horn melalui jalan bukit sejauh 5 kilometer - dalam masa hanya satu malam tanpa disedari musuh - takkan mampu dilakukan tanpa ketinggian emosi Zugnush Basha ketika mempertahan keputusan meneruskan serangan dan semangat kental 200,000 orang tentera di fasa akhir serangan.
Syekh Dr Ali Muhammad As-Shollabi dalam bukunya “Ad-Daulah Al-Uthmaniyyah : ‘Awâmil al-Nuhoodh wa Asbâb al-Suqooth” merakamkan peristiwa tersebut denga menyebut: “Keadaan tanah ketika itu tidaklah mudah untuk dilayarkan kapal, tetapi perencanaan itu mesti tetap diteruskan segera. Lantas tentera Usmaniah meratakan tanah dalam hanya beberapa jam, dan dibawakan lembaran-lembaran kayu yang telah disapu dengan minyak dan lemak, dan kemudian disediakan sebuah laluan jalan yang besar untuk memudahkan pergerakan kapal-kapal, dan sesungguhnya peristiwa ini benar-benar luarbiasa andaikata diambilkira keadaan zaman itu dengan teknologi yang telah digunakan jauh mendahului zaman, ini jelas menunjukkan kepantasan berfikir Sultan Muhammad dan kepantasan pelaksanaan tenteranya.”
Muhammad juga sudah hampir pasti mengarahkan tentera pulang andaikata beliau tidak mahu bertemu lantas meminggirkan naqib utama beliau Syekh Aq Syamsuddin Al-Wali ketika tertekan dengan kegagalan Sulaiman Palta Oglu Basha merempuh rantai besi di Tanduk Emas.
Muhammad dilahirkan ke dunia sebagai seorang anak yang sangat nakal dan pemuda diraja yang panas baran serta gopoh membuat keputusan. Namun demikian, sebagaimana diakui sejarawan Turki, Halil Inalchik, kuasa tarbiyah (“medresse”) dan usrah dengan para ulama terbaik Usmaniah sejak dari kecil sehinggalah menjadi ahli politik Usmaniah paling sibuk sekalipun, itulah yang telah merobah beliau menjadi pemimpin agung Islam yang telah melorongkan jalan kepada Sulaiman Al-Qanuni dan pemimpin terkemudian Usmaniah memerintah dua pertiga dunia suatu ketika dahulu. Sarjana Usmaniah dan bekas pensyarah UIAM, Profesor Mehmet Maksudoglu dalam bukunya “Osmanli History 1289 – 1922” pernah merakamkan keadilan pemerintahan Usmaniah sejak dari zaman Muhammad Al-Fateh melalui kenyataan dua bekas pendeta Kristian Ortodoks pada masa itu iaitu Granduke Notaras dan Gennadios. Mereka pernah menyebut pada 1453 Masihi itu bahawa “Kami lebih rela melihat serban-serban Turki daripada topi-topi paderi Latin dari Eropah di kota ini”.
Demikianlah kombinasi persediaan syariatullah dan sunnatullah, jawapan terbaik sejarah yang gagal dibaca oleh mereka yang tidak berminat untuk menjadikan sejarah sebagai pedoman menuju kejayaan organisasi di masa depan dan kemenangan Islam sekaligus. Profesor Ilber Ortayli dalam “Discovering The Ottoman” pernah menyebut: “Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengetahui betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik Sultan Muhammad untuk membuka Balkan. Sesungguhnya penaklukan Balkan antara 1461 dan 1463, penaklukan Balkan dilakukan dengan cara yang sama dengan cara menawan Konstantinopel!”
Sesungguhnya kisah-kisah sejarah di atas akan terus menjadi subjek yang membosankan mahasiswa atau fakta-fakta yang akan terus memberatkan minda aktivis mahasiswa Islam andaikata gesaan 'ulil albab' (ketajaman fikiran) surah Yusuf ayat 111 tidak dipedulikan. Ibnu Khaldun sudah lama mengingatkan kita bahawa sejarah memang akan berulang, beruntunglah mereka yang meneladani sunnatullah yang baik serta binasalah mereka yang memilih untuk mengulangi sunnahtullah yang hitam.
Penulis terkenal Inggeris, Aldous Leonard Huxley pernah menyebutkan bahawa: “That men do not learn very much from the lessons of history is the most important of all the lessons that history has to teach. Experience is not what happens to you. It is what you do with what happens to you.”
Muhamad Syaari bin Ab. Rahman
Mantan Setiausaha GAMIS
*penulis kini bekerja sebagai Motivator di I.P Minda Training & Consultancy
No comments:
Post a Comment