“Tidur yang sedikit pada waktu tengah hari tidak keji. Rasulullah ada melakukannya.” Misykatul Masabih.
Adakah Saudara Sudah Cukup Tidur?
Tidur adalah rehat yang paling penting. Ia adalah suatu fenomena yang diciptakan oleh Tuhan supaya badan dapat ‘dicas’ semula dengan tenaga. Badan umpama telefon bimbit, semakin saudara kerap menggunakannya, semakin cepat ia perlu dicas. Apabila bateri sudah kehabisan tenaga, sudah pasti saudara tidak dapat lagi menggunakannya.
Saudara pun seumpama telefon bimbit. Siang hari adalah waktu untuk ‘digunakan’, manakala malam pula adalah waktu untuk memulihkan tenaga.. al-Quran ada menyebut di dalam surah an-Naba’ ayat 10 hingga 11, “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian (untuk berlindung dan berehat). Dan juga Kami jadikan siang sebagai kehidupan (untuk bekerja dan berusaha)
Kenapa Mesti Tidur?
Dalam Tinker Ready keluaran 2000 ada memaparkan sebuah artikel, Naps: The Art of Snoozing, yang mana artikel ini memberitahu kekurangan tidur menyebabkan gangguan kepada proses pengeluaran karbohidrat di dalam badan dan mewujudkan keadaan yang seakan-akan penyakit kencing manis. Jika ini berlaku, badan saudara berasa lemah dan tidak bermaya. Sanggupkahh saudara membiarkan diri saudara menjadi sebegini hanya semata-mata ‘takut’ untuk tidur? Oleh itu, jangan biarkan diri saudara dibelenggu dengan penyakit susah tidur, kerana ia tidak dapat memberikan apa-apa faedah kepada saudara. Belajarlah untuk tidur dengan baik, kerana ia adalah kemahiran yang penting bagi menjadikan saudara lebih bertenaga!
Qailulah Yang Diajar Oleh Rasulullah SAW
Ada satu petua yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah saw dalam sebuah riwayat di dalam kitab Misykatul Masabih bermaksud,
“Tidur yang sedikit di waktu tengah hari tidaklah keji. Rasulullah saw ada melakukannya”
Satu kajian saintifik menunjukkan tidur sekejap pada waktu siang amat berkesan meningkatkan tenaga, tumpuan dan juga secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti manusia. Dalam satu artikel, Napping News: Scientific Proof Comfirms: Napping Enhances Worker Productivity menyatakan, satu kajian selama 25 tahun dibuat berkenaan kesan tidur ke atas Negara-negara industry dan pasca-industri. Statistic menunjukkan 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur pada waktu tengah hari mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka menyelesaikan masalah juga meningkat.
Seorang pakar tidur dari Cornell University, Dr James Maas menyatakan, tidur tengah hari selama 15-20 minit sudah mencukupi bagi mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Manakala Donald Greeley, yang juga mengkaji tabiat tidur menyatakan,, tidur tengah hari adalah bermanfaat jika tidak melebihi satu jam. Tips ini dinyatakan dalam satu tulisan Gail Benchener dalam artikelnya yang bertajuk Parents and Sleep Deprivation.
dipetik daripada buku 55 Petua Orang Berjaya, Dato' Dr. Mohd Fadzilah Kamsah & Ahmad Fadzli Yusof
No comments:
Post a Comment