Kembali Ke Laman Utama

Monday, October 12, 2009

surat kpd sahabat pejuang

(surat tulisan sahabat seperjuangan)
Demi Kekasih...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Muhammad SAW serta pengikut baginda sehingga ke Hari Pembalasan.

Sabda Nabi S.A.W:

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

“Andai tiada kasih, masakan hati bisa bersatu. Andai hati gulita, masakan terasa hangatnya cinta?”

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dikasihi sekalian,

Hati ini sering bertanya, benarkah ada kasih antara kita? Andai sungguh bagai dikata, mengapakah antara kita masih ada sengketa? Mengapa kita masih saling berburuk sangka, lalu fitnah ditabur merata-rata?

Kasih sayang itu baja. Hati yang gersang daripada kasih dan sayang bagai tanah yang kering kontang, tidak bisa menumbuhkan apa-apa. Tidak mampu memberi lantaran tidak memiliki. Sering pula diri bertanya, adakah hati kini dilanda kemarau kasih yang panjang?

Sahabat-sahabat,

Sejarah perjuangan Rasulullah SAW membuktikan kepada kita betapa ukhuwwah Islamiah atau ukhuwwah imaniah itu memainkan peranan yang penting dalam membina sebuah kerajaan. Ukhuwwah Islamiah asasnya aqidah tauhid. Berbeza dengan hubungan yang bermotifkan kepentingan-kepentingan lain, ukhuwwah yang meletakkan cinta Allah sebagai matlamat utama sentiasa kukuh selagi aqidah Islam tersimpul kemas di hati. Kita yang bergelar mahasiswa Islam pastinya perlu menanam cita-cita untuk membela Islam dan meletakkannya di tempat yang asal. Persoalannya, mampukah kita merealisasikan impian ummah itu sendirian? Pastinya tidak!


Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk melaksanakan perintah Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan agama Allah sekaliannya dan janganlah kamu berpecah belah.”

Jangan pula kita yang menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan yang tega menghancurkan kesatuan yang dibina sekian lama. Atau menjadi musuh yang hanya berani menikam dari belakang. Sikap melontar batu sembunyi tangan tidak wajar dimiliki golongan terpelajar. Jika merasakan diri pahlawan sejati, mengapa tidak terus sahaja mara ke gelanggang, tonjolkan identiti sebenar, dan buat perhitungan dengan penuh hemah? Tentunya natijah yang terhasil mampu memuaskan hati semua pihak dan dapat dikecapi generasi akan datang. Hakikatnya, sekarang bukanlah masa untuk mencari kelemahan dan kesilapan sesiapa, sebaliknya inilah waktunya untuk kita mewujudkan ikatan hati antara kita untuk mengukuhkan kesatuan yang sedia ada. Saling melengkapi ibarat batu-bata kerana Allah mengasihi orang-orang yang berperang pada jalanNya dalam satu barisan yang tersusun umpama sebuah bangunan yang teguh sebagaimana yang diterangkan dalam ayat ke-empat surah as-Saf.


Seruan ke jalan Allah itu bukti cinta sesama mukmin. Marilah kita berkasih sayang, meribat ukhuwwah, menjana wehdah, bukan kerana yang lain, tetapi semata-mata demi KEKASIH HAKIKI.

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...