Kembali Ke Laman Utama

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, September 13, 2009

RAMADHAN MEMERDEKAKAN UMMAH

Bilamana kita menyebut tentang epilog kemerdekaan yang kita kecapi hari ini, ia memberi jawapan yang subjektif. Ada yang mengatakan kemerdekaan itu adalah pelepasan dari tali belenggu. Namun apakah yang dimaksudkan dengan belenggu-belenggu itu?Ada pula yang mengatakan kita masih tidak merdeka, mengapa pula yang demikian?
“Merdeka itu bebas melakukan apa sahaja” kata-kata seorang pelumba tidak terlatih di jalan biasa.

“Merdeka itu tanda Negara bebas dari penjajah asing!!” penuh bersemangat seorang pejuang bangsa mengucapkannya

“Merdeka itu bebas dari ideologi, sosial dan peribadi penjajah” tazkirah seorang ustaz di sebuah masjid kampung yang penuh dengan generasi akhir umur.
Jawapannya pasti berbeza-beza menurut perspektif sendiri. Namun disudut-sudut yang tersirat itu sudah pasti mempunyai cerita-cerita dan kisah-kisah yang melukiskan seribu satu luka disetiap lorong perjuangan.
Sabda Rasulullah s.a.w, "Telah datang kepada kalian bulan Ramadan. Bulan barakah yang Allah wajibkan puasa di dalamnya. Dalam bulan ini pintu-pintu syurga dibukakan, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan di dalamnya, maka ia telah luput dari banyak kebaikan." (H.R. Ahmad)
Bertepatan 10 Ramadhan 1430H, bersamaan 31Ogos 2009 peristiwa Negara menyaksikan sambutan ulangtahun Kemerdekaan Negara bagi kali ke-52 membawa makna satu usia yang matang bagi kelahiran Malaysia di pentas suasa-bangsa. Biarpun sedikit kedukaan disimpan sanubari rakyat Malaysia akan wabak Influenza H1N1 yang menghalang kemeriahan sambutan gemilang ini, namun kesedaran betapa perihal pentingnya erti kemerdekaan manusia yang dipunyai oleh Sang PenciptaNya harus ditagih simpati semua insan yang cintakan kebebasan.
Juga disebalik tarikh 10 Ramadhan, satu peristiwa kemerdekaan yang besar dalam sejarah Islam adalah peristiwa pembukaan kota Makkah atau lebih dikenali sebagai Fathul Makkah. Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah yang mana Nabi s.a.w. bersama-sama 12,000 orang kaum Muslimin bertolak dari Madinah menuju ke Makkah untuk membebaskannya daripada cengkaman Quraisy.
Peristiwa ini menandakan satu era baru dalam Islam di mana sebelum ini umat Islam dizalimi, ditindas bahkan dikepung berminggu-minggu lamanya di Madinah oleh tentera ahzab. Namun, keadaan pula berbalik. Kaum Quraisy pula yang berada dalam ketakutan dan tertanya-tanya apakah nasib yang bakal menimpa mereka. Tetapi dengan rahmat Allah, mereka dibebaskan walaupun pelbagai kezaliman yang mereka timpakan ke atas umat Islam, dan seterusnya melembutkan hati mereka untuk menerima “kemerdekaan” yang diiklankan oleh aqidah Islam.
Betapa cantiknya peristiwa Fathul Makkah ini bagaimana pembebasan maknawi iaitu pembebasan aqidah di bawa oleh Islam di permulaannya diakhiri dengan pembebasan bentuk fizikal yang simbolik – salah satu perkara yang Nabi lakukan sebaik sahaja masuk Makkah adalah Baginda memecahkan semua 360 buah berhala yang mengelilingi Kaabah untuk menyucikannya kembali.Kejayaan itu memberi impak bahawa kita akhirnya berjaya mengisytiharkan aqidah kita yang satu buat pertama kalinya di Makkah.
31 OGOS 1957, HARI KEMERDEKAAN KITA? Hari ini kita katakan bahawa kita telah merdeka. Kita mengatakan kita bebas dari belenggu penjajah. Itu jelas dan mudah sekali kita ungkapkan. Mengimbau keperitan calar-calar luka episod kemerdekaan lalu sudah pasti mengheret perasaan kita ke lembah perasaan hiba apabila lukisan serta lipatan sejarah menukilkan pengorbanan pemimpin-pemimpin negara, pahlawan-pahlawan, ulama-ulama, parti-parti dalam negara pada ketika itu. Nama-nama agung dalam lipatan sejarah terus disebut-sebut generasi hari ini. Namun bezanya penghayatan erti kemerdekaan pada hari ini sudah jauh berbeda dengan dahulu. Para pejuang kemerdekaan memahami bahawa simpulan-simpulan yang diuraikan untuk membentuk lukisan negara dan generasi bukanlah suatu kepintaran biasa tanpa menitiskan kesungguhan mereka melalui usaha luar biasa. Dewasa kini pula, generasi pasca-Millenium mempersembahkan perasaan mereka akan erti kemerdekaan dengan acara hiburan dan kegiatan tidak bermoral.
Apakah generasi muda pada hari ini meletakkan pusingan tahun yang mengulangi sosok kemedekaan itu pada suatu penghayatan yang perlu dikoreksikan? Apakah cukup sekadar kemerdekaan yang dikecapi ummah ini diuar-uarkan sebagai satu hasil kekuatan ummah lampau yang perlu dibanggakan? Mereka menaksirkan dan hanya mampu berbangga dengan usaha nenek moyang mereka yang diwariskan.Kesungguhan serta jihad sudah hilang memancari pada wajah umat Islam pada hari ini. Saudara-saudara mereka dibumi anbiya’ masih lagi tertindas, anak-anak kecil dan wanita masih lagi dizalimi, tanah-tanah mereka masih lagi dijajah sedangkan makna sebuah kemerdekaan yang dilaungkan negara saudara satu ummah disekitar mereka tidak membawa erti kepada realiti kekuatan kepada nama sebuah kemerdekaan.
Baghdad yang pada suatu ketika dahulu terkenal sebagai Kota Ilmu memperlihatkan kesan keagungan tamadun silam, pada hari ini diambang kemusnahan. Suatu masa pada ketika dahulu seorang lelaki dengan suara yang serak basah, Sheikh Abdul Qadir al-Jailani melaungkan kepada penduduk Baghdad, “Seeru ‘alal himamil ‘aliyah” (Bergeraklah kamu dengan cita-citamu yang tinggi). Bertepatan dengan kesungguhan itulah, Ibnul Jauzi berkata di pinggiran Tigris, “Langkah pertama adalah pengorbanan jiwa.”
Sejarah juga telah melucutkan keangkuhan penguasaan yang berteraskan kepada penindasan dan kezaliman penjajahan. Kegemilangan Islam dizaman Salahuddin al-Ayubi, Sultan Muhammad al-Fateh melebarkan empayar mereka adalah dengan membentuk masyarakat berkonsepkan pengabdian diri ummah kepada Tuhan dan pembinaan Negara berdaulat melalui sistem yang mengikut model acuan Islam. Bahkan mereka pula digelar, “menjadi kesatria di siang hari dan menjadi pendeta-pendeta(ahli ibadah) dimalam hari” lantaran hubungan duniawi dan ukhrawi yang dibentuk pada jiwa-jiwa setiap individu.
Lantaran itu penghayatan nilai sebuah kemerdekaan harus diterjemahkan bukan sekadar suatu pekikan dan tetapi ia harus berpunca daripada kesedaran ummah untuk memanipulasikan penguasaan kekuatan ummah yang gemilang. Bulan ramadhan yang merungkai peristiwa Perang Badar harus dipupuk semangat jihad ummah dalam menentang segala bentuk kerosakan dan kemusnahan yang menjajah tanah air,minda dan tindakan demi memacu paradigma ummah ke satu tahap yang memahami erti kemerdekaan hakiki. Ayuh kita Memerdekakan Ramadhan kita kali ini.MERDEKA!!!!! 7X

1 comment:

  1. he3...ada yg copy esei ni yer dan hat kat pertandingan esei...takpelah, ana izinkan....ana kalah pun takpe, asalkan antum dapat manfaat

    ReplyDelete