Pertarungan antara hak dan batil sentiasa berlaku dalam usaha memastikan risalah Islam itu dapat dimartabatkan dan tugas sebagai khalifah dalam mentadbir dunia dengan panduan Islam itu dapat dilaksanakan. Justeru, proses dakwah akan berterusan dalam apa jua keadaan, sama ada kuat atau lemah, sedikit atau ramai,susah atau senang demi matlamat yang diletakkan oleh Islam.
Ke arah mana dakwah ini? Sewajarnya perlu difahami bahawa pemusatan arah dakwah adalah untuk membawa manusia kepada Allah yang bermaksud berpegang dengan yakin pada risalah Islam.
Firman Allah :
(قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ)[1]
108. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu Yang lain."
Risalah ini dibawa oleh Nabi Muhammad yang merupakan daie pertama sebagaimana firman Allah :
(يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِداً وَمُبَشِّراً وَنَذِيراً وَدَاعِياً إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجاً مُنِيرا)ً[2]
45. Wahai Nabi, Sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang Yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang Yang ingkar). 46. Dan juga sebagai Penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah Dengan taufiq Yang diberiNya; dan sebagai lampu Yang menerangi.
Catatan sejarah Islam merekodkan bahawa usrah yang pertama digerakkan ialah oleh Baginda Rasulullah pada awal gerakan Islam di Mekah bagi menerapkan kefahaman Islam kepada pengikut Baginda pada ketika itu yang jumlahnya masih sedikit
.
Konsep usrah ini kemudiannya diberikan nafas baru oleh Hasan Al Banna Pengasas Gerakan Islam Ikhwan Muslimin di Mesir ketika umat Islam dalam cengkaman penjajah dan musuh Islam selepas kejatuhan Kerajaan Khilafah Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Suasana gawat ini dilakarkan oleh beliau dalam risalahnya bertajuk "بين الأمس واليوم" iaitu "Antara semalam dan hari ini"
.
Pembentukan usrah dan keadaan suasana yang gawat pada ketika itu mempunyai kaitan yang cukup kuat. Oleh itu,kedua-dua risalah tersebut iaitu risalah "Pengurusan Usrah" dan "Antara semalam dan hari ini" perlu dibaca bagi menambahkan kefahaman dan mencetuskan keinsafan di dalam hati semua generasi harakah.
Sewajarnya risalah usrah beliau difahami dengan teliti dan wajib dibaca oleh semua generasi harakah yang ingin membawa usrah dengan baik. Risalah beliau menggariskan perkara seperti berikut :
Muqaddimah
Rukun Usrah
Penerangan kandungan usrah
Aktiviti Tambahan
Dengan memohon berkat taufiq daripada Allah, penulis akan merungkaikan beberapa perkara yang penting pada bahagian muqaddimah sebagai asas kefahaman bersama dan bahagian yang seterusnya boleh diamati oleh individu generasi harakah yang lain, semoga taufiq bersama mereka dengan niat yang ikhlas dalam memahami tuntutan mereka dalam bidang dakwah ini.
Muqaddimah
Teks muqaddimah risalah Pengurusan Usrah oleh Hasan al Banna :
يحرص الإسلام على تكوين الأسر من أهله يوجههم إلى المثل العليا ويقوى روابطهم ويرفع أخوتهم من مستوى الكلام والنظريات إلى مستوى الأفعال والعماليات فاحرص يا أخى أن تكون لبنة صالحة فى هذا البناء ( الإسلام)
Maksud : Islam mementingkan kepada pembentukan usrah membawa kepada contoh yang baik, memperkuatkan keterikatan sesama muslim dan meningkatkan ukhuwah daripada tingkatan teori kepada praktikal. Maka Jagalah dirimu ! Wahai saudaraku agar engkau terdiri daripada salah satu batu binaan yang baik daripada binaan yang didirikan iaitu binaan Islam.[3]
Pada muqaddimah beliau, kita akan mendapati 3 perkara utama iaitu :
Islam, Usrah dan Pembinaan Islam
Peranan Usrah
Pembinaan Islam
Islam, Usrah dan Pembinaan Islam
Islam amat mementingkan pembinaan insan muslim yang mampu mencapai contoh yang terbaik dalam segenap aspek dan menjaga ikatan sesama mereka seterusnya saling membantu bagi melahirkan muslim yang beramal dan bekerja untuk Islam. Amalan dalam Islam amat penting kerana itulah natijah hasil daripada keimanan yang kuat.
Ini dibuktikan daripada firman Allah :
(وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ)[4]
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian - 3. Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Kedudukan Iman dan Amal itu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan akan membawa keugrian kepada manusia itu sendiri dan seterusnya membawa kepincangan pada proses dakwah dan kemenangan Islam. Ini kerana, dakwah ini dibawa oleh daie dan semestinya daie ini memerlukan persiapan yang kuat dan jitu. Mengapa perlu kepada pembinaan iman dan amal? Ini kerana dakwah kepada risalah Islam perlukan kekuatan untuk berkata BENAR dalam suasana cengkaman jahiliah dan sudah sunnah perjuangan Islam bahawa akan menempuh cabaran dan dugaan yang mampu dihadapi dengan SABAR yang berpaksikan pada kekuatan IMAN dan AMAL.
Justeru inilah konklusi daripada ayat di atas yang perlu ditanam dalam sanubari iaitu :
Pembinaan kekuatan IMAN dan AMAL
Membawa risalah Islam dengan BENAR
Meneruskan perjuangan Islam dengan SABAR
Peranan Usrah
Rangkaian Islam, usrah dan pembinaan Islam tadi memerlukan usrah dijadikan medan yang perlu digemblengkan dengan sebaik mungkin bagi mengumpulkan individu-individu muslim diikat dengan kesatuan fikrah dan juga kesatuan amal. Ini kerana umat Islam setelah kejatuhan khilafah mementingkan perkara khilafiah (perbezaan pendapat) yang kecil daripada usul (perkara asas) dalam Islam itu sendiri sehingga boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan yang menyebabkan umat Islam terus lemah dan tunduk kepada musuh Islam. Oleh sebab itu rukun usrah dimulakan dengan asas TAARUF, TAFAHUM dan TAKAFUL. Sewajarnya setiap generasi harakah sama ada naqib atau ahli usrah perlu memahami sebaiknya ketiga rukun tersebut agar peranan usrah ini dapat direalisasikan. Peranan usrah yang utama ialah memastikan peningkatan kepada individu muslim daripada teori kepada praktikal amalan harian yang menjadi sumber kekuatan kepada individu muslim tersebut berhadapan dengan suasana kegawatan semasa.
Pembinaan Islam
Pada ayat yang terakhir dalam teks beliau ini, menyatakan "Jagalah dirimu!" dan ini menggambarkan betapa perkara ini amat perlu diberikan perhatian yang mendalam kerana ianya berkaitan dengan pembinaan Islam itu. Pembinaan Islam memerlukan setiap individu muslim untuk bekerja, menyumbangkan tenaga dan bersatu dalam kesatuan amal dan fikrah bagi memastikan binaan Islam itu terus kukuh. Dan setiap individu itu diibaratkan sebagai batu yang digunakan bagi menyusun binaan Islam tersebut. Batu itu itu bukan sekadar batu biasa bahkan mempunyai ciri "Soleh" iaitu kualiti yang baik. Gambaran ini perlu difahami bahawa seorang naqib itu akan membawa setiap ahlinya yang merupakan binaan kepada Islam dan penerusan kepada kekukuhan binaan Islam tersebut. Jadi tidak hairan dalam satu hadis sohih menceritakan bahawa terdapat seorang budak yang menjadi rebutan kepada seorang ahli sihir yang sudah tua dan juga seorang rahib islam yang sudah tua. Budak tersebut menjadi batu binaan sama ada kepada penerusan cengkaman si sihir tua tersebut yang menyelewengkan akidah manusia atau kepada penerusan usaha si rahib tua dalam mempertahankan risalah Islam agar terus dapat disebarkan. Fahamilah wahai generasi harakah !!!
Penutup
Pembinaan generasi yang akan datang daripada generasi hari ini amatlah penting. Setiap lapisan umur perlu diberikan pendidikan yang selaras dengan akal dan kemampuan mereka agar mereka mampu menggalas bebanan dakwah bila sampai masanya. Menyedari akan kepentingan ini maka Mustafa Mashyur, bekas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin yang ke lima ketika di penghujung hayatnya sempat berpesan agar penumpuan tarbiah kepada generasi muda diambil berat. Katanya, pada generasi inilah terletak kemenangan Islam.
Harapan penulis agar pengamatan ini dapat memberikan faedah kepada para daie dan juga generasi harakah yang ada pada hari ini. Pengubahsuaian dan penambahan berdasarkan kepada keperluan semasa dan suasana amat perlu namun penekanan kepada intipati pembentukan usrah itu perlu diutamakan.
والله من وراء القصد وعليه توكلت وإليه أنيب
وما أريد الا الإصلاح وما توفيقى الا بالله
الفقير إلى الله
Amly AsenarAbu kinanahBA Fakulti Syariah dan Undang-UndangJabatan Syariah IslamiahUniversiti Al Azhar As SyariffCawangan Tanta
PenuntutDarul Ifta' Al MisriahMesir
No comments:
Post a Comment