Kembali Ke Laman Utama

Daftar SSPN Di Sini

Wednesday, July 15, 2009

Petua Memberi Tumpuan

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Kegagalan memberikan tumpuan dalam kuliah menyebabkan ramai mahasiswa gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan anda:

· Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh pensyarah terdahulu sebelum memulakan kuliah. Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan pada pensyarah sebelum bermulanya kuliah tersebut. Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu anda. Pensyarah mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.

· Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh pensyarah nanti. Walau pun anda tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang akan diajar oleh pensyarah kelak. Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda meningkat.

· Cuba duduk di barisan depan dalam kelas. Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika pensyarah mengajar.

· Jangan alih mata anda dari melihat pensyarah dan lihat apa yang ditulis di papan hitam/putih.

· Tunjukkan minat yang mendalam. Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan wajah anda. Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar. Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas. Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.

· Pasang telinga. Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan. Terjemahkan apa yang disampaikan oleh pensyarah ke dalam bentuk gambaran minda.

· Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh pensyarah.

· Catat setiap perkara yang anda tidak faham. Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran anda. Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?

· Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan. Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya pensyarah. Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik. Antara tanda-tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda TIDAK TAHU.

· Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan. Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.

· Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila pensyarah keluar dari kelas

No comments:

Post a Comment

Baca Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...