Peperangan Badar telah mempamerkan secara praktikal keteguhan iman para sahabat r.a, satu tanzim (organisasi) yang sangat baik dan jihad yang penuh pengorbanan. Ianya juga memperlihatkan bagaimana Allah SWT menurunkan pertolongan kepada hambaNya.
Di antara pengajaran yang boleh dipetik daripada peristiwa Badar ini ialah:
Kepimpinan Yang Bijaksana
Rasulullah SAW walaupun telah diberikan pengawasan perlindungan yang selamat dan dikawal ketat oleh para sahabat r.a, baginda tetap berada di tengah-tengah medan pertempuran bagi memberikan arahan, semangat dan perangsang kepada tentera-tentera Islam. Berbeza dengan mereka yang bergelar panglima angkatan tentera di zaman kini di mana kebanyakannya berada di istana bergelumang dengan kemewahan dan keseronokan dan melarikan diri ke negara asing bila terjadi sesuatu tragedi.
Persamaan
Kesediaan Rasulullah SAW bertugas bersama-sama anggota pasukan di medan Badar menyebabkan baginda dikasihi dan disayangi. Rasulullah SAW berpenat lelah bersama-sama dan bersedia untuk bergilir menunggang kenderaan bersama ‘Ali dan Mirsad; walaupun para sahabat ingin memberkan kesempatan kepada baginda untuk lebih selesa di atas kenderaan, baginda tetap turun berjalan kaki apabila tiba gilirannya berjalan.
Sifat Pengorbanan dan Semangat Jihad
Para Mujahid Islam berperang dengan penuh keimanan dan bersedia mengorbankan apa sahaja. Semua tugas dilaksanakan dengan hati yang ikhlas dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan amal soleh tanpa rasa dipaksa.
Sifat Lemah-Lembut
Walaupun dalam keadaan perang dan perlu kepada ketegasan, Rasulullah SAW tetap berlemah lembut dengan pengikutnya, keadaan ini menyebabkan wujud rasa sayang yang jitu di kalangan para sahabat R.a dan tidak melarikan diri bila diperintah.
Dipetik daripada Fiqh Al-Harakah Dari Sirah Nabawiyyah 2, Haji Abdul Hadi Awang, Terbitan Dewan Fajar
Masya Allah, medan perang Badar memberikan begitu banyak pengajaran kepada kita
ReplyDelete